Sunday, November 30, 2008

Orang kita mudah lupa(atau memang pelupa)

Hari ni Pak Man nak cakap pasal 'Skim Cepat Kaya'. Sudah berpuluh-puluh dah skim ini datang dan pergi tapi orang Melayu masih tetap percaya dan melaburkan wang dalam skim ini. Minggu lepas ada keluar di akhbar tempatan, 5 orang penganjur skim cepat kaya dihadapkan ke mahkamah Kota Bharu. Semuanya Melayu.

Mereka telah mengambil deposit tanpa lesen yang sah dari pelabur berjumlah RM 36 juta. Wow ! banyak tu....(dengar cerita mereka ni menjanjikan pulangan 30 % seminggu....tak masuk akal. Kalau sebulan dah jadi 120 %, kalau setahun pulangannya 1440 %, mana ada dalam dunia ni pelaburan yang sebagus itu pulangannya.)

Dalam masa setahun-dua ni Pak Man dah terbaca beberapa kes yang seumpama dengan nya. Semuanya melibatkan orang Melayu. Melayu tipu Melayu. Tapi setiap kali muncul skim baru, berduyun-duyunlah orang Melayu melabur. Dapat pulangan dua tiga bulan, lepas tu syarikat tu akan tutup atau tokeynya kena tahan. Tapi tak serik-serik, nak cepat kaya tapi tanpa disedari makin cepat miskin.

Kalau Hang Tuah masih hidup, apa agaknya dia akan cakap ?

Saturday, November 29, 2008

Tanam pisang lagi baik....

Semalam Pak Man pergi ronda satu kampung, mintak beli anak pisang dari orang kampung. Satu pokok harganya 80 sen. Pak Man beli 50 pokok. Niat dihati nak ajar anak jantan berkebun.

Berbagai-bagai jenis pisang ada. Ada pisang sebatu (pisang yang selalu dibuat pisang goreng), ada pisang awak (please ! otak jangan 'biru'), ada pisang nangka dan pisang emas.

Budak-budak ni kena diajar berkebun, kalau tidak mereka ingat semua tu boleh didapati dengan senang saja. Biar mereka tahu bagaimana susahnya pekebun nak hasilkan pisang-pisang yang mereka beli di kedai tu. Semoga akan timbul rasa keinsafan dan bersyukur dalam diri mereka. Wang bukan lah segalanya.

Rasalah sendiri bagaimana susahnya menggali lubang, bagaimana susahnya mencangkul, biar menitik peluh ke bumi. Negara kita dianugerahi dengan tanah yang subur, jangan tenguk saja. Berbudilah kepada tanah, akan ada balasannya nanti...Insya Allah.




Haaa...tenguk ni ! , ini hasilnya usaha Pak Man setahun yang lalu. Sekarang ni tunggu masa nak kena goreng, atau dibuat pengat, atau dimakan begitu saja. Ini pisang nangka , benihnya Pak Man mintak dari kebun Cikgu Rosli. Terima kasih Cikgu Li, nanti Pak Man hantar separuh ke rumah cikgu.


Friday, November 28, 2008

'Putuh Angin'

Salam semua,

Malam ni Pak Man rasa 'putuh angin '(kecewa) , rasa malas nak tulis. Petang tadi banyak sangat yang marah-marah melalui email dan sms , tak puas hati tentang tulisan Pak Man pasal cerita 'anu'. Kopiah yang tak bersalah pun terlibat sama.

Pak Man bukan niat nak cerita benda-benda yang tak senonoh dengan anak-anak. Pak Man tulis dengan niat supaya anak-anak sedar tentang peri pentingnya bahasa kita. Belajar dalam bahasa orang putih ok, Pak Man tak kata tak boleh, boleh...tapi ambil tahu lah sikit 'istilah' dalam bahasa kita.

Kalau ada yang tak puas hati, boleh semak buku Istilah Matematik KBSM keluaran DBP 1989. Buka m/s 84, cari 'anu'....maknanya 'unknown. Pak Man bukan saja-saja nak buat lawak bodoh. Kalau tuan-tuan pernah belajar matematik dalam Bahasa Melayu sebelum ini, mesti pernah terdengar cikgu ajar...tajuk 'Ungkapan Algebra dengan dua anu atau lebih'. Cuma budak sekarang belajar dalam Bahasa Inggeris. tajuknya dah jadi,' Algebraic expressions in two or more unknowns'. Jadi tak pernah timbul lah istilah 'anu' itu.

Pak Man tak berniat langsung nak ajar budak-budak cakap benda tak elok. Terserah kepada yang membaca, kalau otak kita 'biru'...maka yang dibaca itu akan diterjemahkan sebagai 'biru'.

Pak Man sentiasa membaca dengan otak yang putih bersih.

Pak Man minta maaf kepada semua. Pak Man manusia biasa, orang kampung yang selalu bercakap lurus bendul....

Thursday, November 27, 2008

Bukan 'anu' yang itu !

Sekarang ni musim hujan. Hari-hari hujan. Kalau tidak pagi, petang. Kalau tidak petang, malam. Semalam dah ada yang kena pindah di Kuala Lipis.
Seorang penunggang motorsikal berhenti berteduh dari hujan di tepi cucur atap sebuah rumah kampung. Waktu itu dia terdengar seorang ayah sedang mengajar anaknya matematik. Ayahnya mungkin seorang guru.

"Ayah, macam mana nak selesaikan soalan 2y + 3 = 11 , apa yang soalan ini nak sebenarnya?"

"Mula-mula kita mesti tahu yang mana satu 'anu', lepas tu barulah kita selesaikan masalah tersebut. kita kena cari berapa nilai 'anu' tersebut."

"Apa pula ayah ni...melalut sampai ke 'anu' pula.....ini matematik lah ayah.....macam tok mudim pulak nak kena tenguk 'anu'."

" Bukan 'anu' yang dalam seluar kamu tuh !, 'anu' ni dalam Bahasa Melayu, kalau istilah orang putihnya 'unknown'....ni lah kalau terlalu lebih sangat belajar istilah orang putih, istilah bahasa sendiri tak tahu."

"Cikgu di sekolah tak ajar dalam Bahasa Melayu , ayah. Cikgu cakap orang putih. Kalau cakap Melayu kira satu kesalahan."

"Dalam soalan ini, anu nya ialah y...jadi carilah nilai y."

"Baru lah saya faham."

Penunggang motor itu rasa nak ken.....(telah dipadamkan setelah ditegur oleh guru pendidikan moral sebentar tadi....3:00 pm 28/11/08)

Wednesday, November 26, 2008

Dua hari ke hulu dan ke hilir.

Minta maaf semua, dua hari kebelakangan ini, Pak Man sibuk sikit. Semalam Pak Man ke Muadzam Shah(bagi yang tak tahu, Muadzam ni terletak dalam negeri Pahang. Lebih kurang 350 km dari rumah Pak Man.) tujuan ke sana ialah untuk mengambil anak Pak Man yang baru tamat periksa SPM. Barang-barangnya punya lah banyak!

Balik dari sana dah malam. Pagi tadi lepas sarapan, kami sekeluarga terus ke KL. Menziarah adik ipar Pak Man yang akan berangkat ke Tanah Suci. Sehari suntuk di sana. Mereka bertolak ke Kompleks Haji Kelana Jaya pukul 6:00 pm. Pukul 6:30 pm kami bertolak balik. Sepanjang perjalanan hujan lebat. (Pak Man muat 11 orang dalam kereta, anak Pak Man 4, mak mertua 1, isteri 1, Mak Usu dan anak-anak 4. Pak Man tak berani nak tulis di luar kurungan takut orang JPJ baca.) Terima kasih kepada Mr.Toyoda kerana mencipta kereta ini. Untung sungguh!, beli satu kereta tapi muatan nya menyamai 2 buah kereta.

Domo Arigato Mr.Toyoda.

Tuesday, November 25, 2008

Tak Melayu Hilang Di dunia.

Sedang Pak Man menemankan Si Jelita dan Rupawan makan-makan di dalam kebun di pinggir hutan, tiba-tiba keluar seorang tua dari hutan itu.
Badan nya tegap, rambut panjang, janggutnya sampai ke pusat. Berbaju Melayu berbelang-belang.
Terkejut Pak Man , Jelita dan Rupawan selamba saja.
Orang itu bersuara,"Wahai orang muda,(waaa muda lagi rupanya Pak Man nih).Bolehkah hamba tumpang bertanya?"

"Boleh, apa salahnya, tapi tok ni siapa?"

"Hamba bernama Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melaka."

"Oooo, Laksamana Hang Tuah, apa soalan nya datuk nak tanya?"

"Puas hamba mencari dalam peta, di manakah letaknya Tanah Melayu?"

Jelita menyampuk," Di sinilah, tapi namanya dah tukar....dah jadi Malaysia."

"Ini mesti kerja Si Benggali Putih tu....bedebah! , suka hati dia saja nak tukar-tukar"

"Bukan ....orang Melayu juga yang tukarkan tu...masa tu kita dah merdeka." pandai pula Si Jelita ni cakap pasal sejarah tanah air kita.

"Nasib baik Bahasa Melayu masih ada..." Hang Tuah mengurut dada.

Rupawan pula menyampuk,"Bahasa Melayu pun dah bertukar nama."

"APA? dah ditukar nama? apa namanya sekarang?"dia memegang-megang kerisnya. Pak Man dah naik risau.

"Bahasa Malaysia."

"Bagaimana pula dengan Baju Melayu?, dah jadi Baju Malaysia juga kah?". sekarang kerisnya dah dikeluarkan dari sarungnya.

"Yang ini masih belum bertukar nama lagi datuk, tapi tak selalu dipakai, orang pakai bila Hari Raya, hari Jumaat, hari kematian, kenduri kahwin dan majlis akad nikah saja ."kata Rupawan.

"Oh, nasib baik masih belum tukar lagi.....Tak Melayu Hilang Di dunia!." jerit Datuk Laksamana Hang Tuah.

Pak Man pula bersuara,"Datuk Laksamana boleh tunggu sekejap...hamba nak balik rumah ambil kamera, tangkap gambar , masuk blog."orang tua itu senyum dan terus ghaib.


*Peringatan untuk anak-anak yang belum 'baligh'....Baris pertama sampai 'tiba-tiba.......' itu sahaja kisah benar, yang lain-lain adalah rekaan(khayalan )semata.

Monday, November 24, 2008

6 tahun dalam penjara...kisah benar.

Assalamualaikum semua,

Pagi ni Pak Man nak cerita lah sikit kisah masa Pak Man muda-muda dulu.
Bermula tahun 1990 Pak Man dah mula keluar masuk penjara. Mula-mula Penjara Kajang, lepas tu Penjara Pudu. Dalam kedua-dua penjara tersebut Pak Man jumpa macam-macam jenis manusia. Pada masa tu di Penjara Kajang saja ada lebih kurang 40 lawyer (ramai tu...boleh buat 'BAR Council'(ejaannya tak pasti), doktor ada 4 ke 5 orang. Pegawai bank 10 orang lebih.). Ada yang betul-betul lawyer, ada yang ditahan kerana menyamar jadi lawyer.

Salah seorang daripadanya ialah A*** S*** pegawai bank yang menggelapkan wang bank tempat dia bekerja, berjuta-juta RM. Beli kereta mewah berpuluh-puluh buah. Buat pameran di BB Plaza. Sebut saja kereta apa, semua ada. Berita ni heboh satu Malaya. Anak-anak mungkin kecik lagi masa tu. Akhir 80 an dan awal 90 an. Dalam penjara dapat pula kerja opis. Orang lain kerja bengkel kasut, bengkel jahit, bengkel dobi dan sebagainya.

Pak Man juga pernah masuk Penjara Taiping, Pusat Tahanan ISA Kamunting, Penjara Marang, Penjara Kuantan, dan akhir sekali Penjara Penor.

Semua tu sebagai pegawai penjara....bukan sebagai banduan!.

Sunday, November 23, 2008

Pagi esok kertas Biologi

Pagi esok anak Pak Man nak periksa SPM kertas Biologi. Entah kenapa malam ni Pak Man susah nak tidur,

Ya Allah ya tuhan ku, terangkan lah hati anak ku Azrul Amri.
Permudahkan lah segala urusan nya.
Tenangkan lah hati nya.
Kuatkan lah semangat nya dalam menghadapi peperiksaan tersebut.
Hindarilah dia dari melakukan sebarang kesilapan.
Semoga lulus dengan cemerlang.

Sollallahuala sayyidina Muhammad wa'ala aalisayyidina Muhammad,
Subha narobbika izzati amma yasifuun wasalamun alalmursalin walhamdulillahirabbil aalamin.

Amin yaa rabbal aalamin.

Saturday, November 22, 2008

Gear satu.

Petang tadi Pak Man ke kedai motor. Hajat di hati nak belikan motor untuk anak Pak Man yang sedang ambil SPM sekarang ni. Tapi nak tenguk-tenguk lah dulu. Baru boleh pilih. Jenisnya, harganya, warna nya, dan sebagainya.

Kawan Pak Man, Shahrum pernah menasihatkan Pak Man, dia kata anak lelaki ni kita mesti bagi dia pandai bawa motor, bawa kereta, biar dia jadi berani sikit. Jangan terlalu manjakan sangat nanti dia tak pandai nak berdikari. Pak Man terima nasihat dia, jadi mula-mula Pak Man nak beli motor, lepas tu nak hantar dia belajar memandu dan ambil lesen.

Shahrum kata lagi,"Jangan jadi macam satu kisah Tok Batin di Satak (kg.orang asli di Raub), baru beli motor, tak ada sapa yang ajar dia, naik dari Satak ke Raub, 40 km. Sampai di Raub, enjinnya berasap-asap macam nak meletup. Motor jalan terhangguk-hangguk."

"Kenapa jadi macam tu?"

"Ni nak cerita lah ni........dia bawa ke pomen cina, pomen tu tanya, tok naik gear berapa tadi?"

Dia jawab,"gear satu saje!"

"Dari Satak ke Raub tok bawa motor ni, dengan gear satu?.....40 km tuuuuu, jauhnya! kenapa tak masuk gear 2, 3 dan 4?"

"Saya ni orang miskin.....jimat-jimatlah sikit......kalau guna gear satu saje...bila dah rosak , boleh guna gear 2 pulak, bila gear 2 dah rosak, boleh guna gear 3 pulak , akhir sekali kalau 1,2,3 telah rosak, masih ada lagi gear 4. Kalau macam orang bandar, guna gear 1,2,3,dan 4 sekaligus, kalau rosak habislah tak boleh jalan lagi."

Pak Man ketawa, Shahrum lagilah kuat ketawanya. Mungkin dia rasa dia dah berjaya dalam penceritaannya itu. "Dari mana mu dapat cerita nih?" Pak Man tanya, dia jawab,"Tokey cina pomen tu lah yang cerita ....kalau dia tipu....aku tak tahu lah."

Tapi tak apalah, pengajaran nya ialah 'berjimat biar bertempat'.

Kulat/Cendawan/Mushroom

Kulat yang baru keluar, jangan ambik lagi, esok baru boleh, dalam tanah tu ada banyak lagi yang akan keluar. Esok biar dia kembang dulu baru ambik. Itu pesan Opahnya.


Petang semalam Pak Man ronda-ronda tepi pagar sekeliling rumah, periksa kalau-kalau ada lubang baru yang di tebuk oleh 'Ba Alif Ba Ya'. Tak ada nampak nya, tapi rezeki pula yang dapat. Pak Man jumpa kulat baru keluar. Bertahu Opahnya, dia kata jangan ambik lagi , tunggu esok. Esok dia akan keluar 3 kali ganda banyaknya. Pak Man kira ada dalam 10 pokok.(ada orang sebut kuntum). Maknanya pagi esok akan ada 30 pokok. Waaa..banyak tu.

Patut la malam tadi selepas hujan renyai-renyai berhenti, ada kalkatu masuk ke rumah. Itu tandanya esok akan ada kulat yang akan keluar. Teori ini terbukti benar. Opahnya dah hidup 70 tahun lebih dah, dia kata ,tak pernah tak betul petua tu. Mesti ada kulat, pagi esok pergi lah cari.

Orang kampung sini panggil kulat tu ,'Kulat Tahun'....mungkin sebab musimnya setahun sekali. Pak Man agak-agak saja. Mungkin tempat lain, lain pula nama nya.

Friday, November 21, 2008

Hitam Putih

Rumah kami di Sempam , dalam hutan, tak ada jiran, tempat tinggi, aman-damai..... tapi sekali sekala ada monyet datang mengganggu.


Pagi tadi Pak Man pergi melihat-lihat rumah kami yang di Sempam tu, macam biasalah, kami kena cuci benda hitam putih yang banyak bergolek sana-sini dalam rumah. Bendanya sebesar butir beras sahaja tapi begitu menyusahkan dan menjijikkan, najis!

Tiga tahun dulu, masa kami tinggal di sini, tiap-tiap malam Pak Man lastik cicak. Tak sempatlah mereka nak melepas. Tapi sekarang ni bebaslah mereka buat macam rumah sendiri. Sana-sini mereka buang....selamba jer.

Bil letriknya tak sampai RM 20, tak payah bayar. Ada tertulis 'dibayar oleh kerajaan'. Best juga macam ni. Hidup Pak Lah.
Pernah sekali terjadi peristiwa , pukul 2:00 am ada pencuri cuba nak pecah masuk rumah Pak Man ni, Mak Jah terjaga. Dia kejutkan Pak Man, "ada bunyi macam orang cungkil pintu dapur".

Pak Man bagi Mak Jah sebotol Ridsect,"pegang ni, kalau dia masuk, sembur betul-betul pada muka. Pak Man akan nyalakan api lighter, jangan terkejut, apinya besar nanti. Biar tebakar rambut dan segala bulu". Lepas tu dalam dia dok kelam kabut tu Pak Man akan ketuk kepala dia dengan parang. Itu perancangan Pak Man. Mak Jah setuju.

Kami ke pintu dapur, memang ada bunyi pintu sedang diumpil. Tiba-tiba pintu terbuka......belum sempat nampak muka pencuri tu, Mak Jah dah bertempik, Pak Man terkejut dan terus menjerit sama. Rupa-rupanya pencuri tu pun terkejut. Dia pun menjerit sama dan terus lari.

Pak Man buka lampu pagar, terus ke depan. Tak ada......mana dia pergi?. Buka semua lampu, tak nampak batang hidung pun. Selepas satu jam menunggu, kami pun tidur.

Bangun pagi esok, periksa seluruh kawasan rumah, rupa-rupanya pagar di belakang kena potong. Luas lubangnya, patutlah senang dia lari keluar. Ada kesan tapak kaki, besar juga. Saiz 8.

Report polis, polis kata ini orang baru belajar. Dengar orang bertempik dah lari. (Pak Man beritahu polis Mak Jah bertempik....Pak Man tidak!)

Wednesday, November 19, 2008

Bersama Jelita dan Rupawan

Kalau cuti sekolah, bukan budak-budak saja yang gembira, kami pun gembira. Pak Man ada banyak masa lapang. Dapatlah dia bawa kami makan di luar."Makan ! makan ! tambah lagi...jangan risau..hari ni Pak Man belanja."kata Jelita kepada Rupawan.


Hai kawan-kawan!..saya lah Jelita yang Pak Man selalu cerita pada kawan-kawan tu....selamat berkenalan !.

Pagi tadi Pak Man tak ada nak buat apa...jadi Pak Man lepaskan Jelita dan Rupawan meragut di luar pagar. Pak Man kena pantau selalu kerana mereka berdua ni suka makan pokok lada, daun kesum, daun kunyit dan lain-lain pokok ulam yang ada di sekitar rumah. Pokok ubi kayu yang baru tanam tu pun habis dimakan mereka nanti.


Hai kawan-kawan !..saya lah Rupawan.....bulan November ni Pak Man kata bulan kami berdua dilahirkan. Jadi hari ni Pak Man belanja kami makan di luar.....terima kasih Pak Man.

Bagi mereka makan puas-puas kerana petang nanti Rahim nak datang potong rumput. Esok tak leh makan di luar lagi. Dalam pagar tu pun cukup makanan untuk mereka berdua, tapi sekali-sekala bagi peluang kepada mereka makan di luar. Gembira nampaknya mereka berdua. Senyum kambing nampaknya.....

Seminggu dua lagi Pak Man nak bawa balik kambing jantan dari kandang Rahim, Pak Man dah beli, cuma tunggu masa nak bawa balik. Bersedialah wahai Jelita dan Rupawan !

Kalau tak ada aral melintang , 6 bulan lagi bertambah lah bilangan kambing Pak Man.

Dalam banyak-banyak sunah Nabi Muhammad s.a.w ini lah yang mampu Pak Man buat.
Menternak kambing. Ada orang simpan janggut, ada orang menjadi pendakwah, berniaga, menunggang kuda dan sebagainya. Itu semua sunah Nabi.

Tuesday, November 18, 2008

Pukul empat pagi.

Baru sebentar tadi Pak Man baca blog kawan Pak Man, Fudzail dari Dubai. Cerita orang di sana terpaksa bangun pukul 4 pagi nak pergi kerja. Lebuhraya 14 lorong pun tak dapat menampung kenderaan orang di sana. Hoiii, tak dapat Pak Man bayangkan betapa berserabutnya hidup dalam keadaan macam tu.(nak baca lebih lanjut boleh klik pada nama Fudzail di sebelah).

Masa Pak Man kecil dulu, orang kampung Pak Man memang bangun pukul 4 pagi nak pergi ke laut. Kedai kopi dah buka pada masa tu. Mereka akan bersarapan dan beli bekal untuk dibawa ke laut. Sembahyang subuh dalam sampan. Terhoyong-hayang. Macam mana lah...Pak Man tak pernah alami. Bayangkan kalau tengah nak ruku' tiba-tiba datang ombak besar terus sujud jadinya. Macam mana tu ustaz?......kena mula dari awal balik ke?

Sekarang ni Pak Man tinggal di Raub. Pak Man dengar ada orang pergi menoreh pukul 2 pagi. Itu masa getah mahal dulu lah...
Ada seorang ustaz, pergi menoreh pukul 4 pagi. Pukul 6 pagi, balik. Sembahyang subuh dan pergi sekolah. Lumayan!...gaji tak usik pun. Belanja hari-hari guna duit jual getah aje.

Masa Pak Man berniaga kelapa dulu, Pak Man balik ambil kelapa di kampung 2 minggu sekali. Bertolak dari Bachok pukul 4 pagi. Sampai Gua Musang pukul 6:30 pagi. Sembahyang subuh, minum pagi dan teruskan perjalanan. Sampai di Raub pukul 10:00 pagi.

Sekarang ni tak mampu lagi nak buat macam tu. Kalau terdesak , terpaksalah buat juga.

Berehat di Sempam

Pagi tadi setelah hantar Mak Jah ke sekolah kerana dia bertugas, nak uruskan murid-murid yang ambil kertas Add Math. SPM, Pak Man ke bengkel kereta. Hantar servis kereta Pak Man yang dah banyak kali berjalan jauh dalam bulan ni. Lagi dua minggu nak ambil Azrul. Lepas tu nak gi KL pula. Mama dan Daddy Alfateh nak gi Mekah.

Itu belum kira perjalanan balik Kelantan lagi. Nampak gaya nya tayar nak kena tukar juga. Harga getah makin murah, tapi harga tayar makin naik. Barang kita demo beli murah, barang demo nak jual mahal. Bengong!

Lepas tu Pak Man ke rumah kami di Sempam. Macam biasalah tenguk-tenguk saja. Pak Man ada dengar ustaz beri ceramah, rumah kita jangan tinggalkan kosong lebih dari 40 hari. Kalau lebih 40 hari nanti ada makhluk halus yang akan duduk. Pak Man buka pintu, buka tingkap, bagi udara bersih masuk.

Lepas tu Pak Man pasang kaset ayat-ayat suci Al-qur'an. Dalam hadis ada sebut, iblis sendiri mengaku dengan Nabi Muhammad s.a.w yang mana iblis akan menjadi cair seperti timah dibakar dengan api bila terdengar bacaan ayat-ayat suci Al-qur'an. Kadang-kadang Pak Man baca Yaasin....

Sambil dengar bacaan ayat-ayat suci, Pak Man melayari internet.

"Wah , ada 2 mesej yang belum dibaca". Pak Man terus baca. Satu dari Zolkiffli Sulong(ExTIKuantan8081) dan satu lagi dari Fudzail Dubai (juga ExTIKuantan8081).

Zol mengirimkan kisah iblis dengan Nabi Muhammad s.a.w. panjang ceritanya. Di sini Pak Man nak kongsi sedikit dengan anak-anak.

Hadis diriwayatkan oleh Mu'adz bin Jabal r.a dari Ibnu Abbas r.a
Kisah iblis yang mendatangi Rasulullah s.a.w dalam satu majlis, dalam banyak-banyak dialog tersebut Pak Man nak ketengahkan dialog di bawah;

Rasulullah s.a.w : Wahai iblis, siapa teman duduk mu?
Iblis : Orang-orang yang suka makan riba.

Rasulullah s.a.w : Siapa teman dekat mu?
Iblis : Orang yang berzina.

Rasulullah s.a.w : Siapa teman tidur mu?
Iblis : Orang yang mabuk.

Rasulullah s.a.w : Siapa tamu mu?
Iblis : Pencuri.

Rasulullah s.a.w : Siapa utusan mu?
Iblis : Tukang sihir.

Rasulullah s.a.w : Apa yang menyenangkan pandangan mata mu?
Iblis : Orang yang bersumpah dengan talak.

Rasulullah s.a.w : Siapa kekasih mu?
Iblis : Orang yang meninggalkan solat Jumaat.

Tiba-tiba h/p Pak Man bergetar dan lagu anok tupa berkumandang......ado seko anok tupa...

Pak Man jawab panggilan tu,"Assalamualaikum."

Orang di sana jawab,"Waalaikum mussalam, abang Othman, ni Kak Long Zaidah anak Teh ni.." cemas saja bunyi nya.

"Ya, ada apa?"

"Abang Othman ada tak nota pasal Numerical Method?, saya tak faham lah, orang yang bagi lecture tu pun bukan ajar sangat. Langsung tak faham. Bulan depan nak exam."

"Nantilah saya cari, maklumlah ada kawan-kawan yang pinjam, ada yang hantar balik, ada yang buat harta terus, nantilah saya cari."

"kalau ada soalan-soalan kuiz ke ...bagilah sekali."

"Insya Allah....kalau ada nanti saya bagi tahu."

"terima kasih, sori ya, mengganggu."

"Tak apa.."

Jadi sekarang ni Pak Man nak pergi cari nota-nota tu. Berhenti dulu di sini.

Terima kasih Zol.

Racun pun mahal

Dua hari lepas Pak Man ke kedai barang pertanian di Raub. Nak beli racun. Terkejut betul Pak Man tenguk harganya naik berlipat kali ganda. Kalau hasil pertanian harganya naik macam tu juga tak apalah. Tapi realiti nya harga getah jatuh berlipat-lipat. Harga kelapa sawit jatuh berdebuk-debuk.

Kos menguruskan ladang naik mencanak-canak, harga hasil pertanian jatuh merudum. Tekanan darah tinggi petani turut naik mencanak-canak.
Kesimpulannya, tekanan darah tinggi petani adalah berkadar songsang dengan harga hasil pertanian dan berkadar terus dengan harga racun rumpai.
Ini belum diajar lagi dalam mana-mana sekolah ekonomi. Ini penemuan baru oleh Pak Man.

Satu lagi yang Pak Man dapat kesan ialah penurunan kes bunuh diri dengan cara meminum racun rumpai. Agaknya orang dah tak mampu lagi nak bunuh diri dengan racun rumpai, kosnya dah meningkat. Kesimpulannya, kes bunuh diri dengan cara meminum racun rumpai adalah berkadar songsang dengan harga racun.

Monday, November 17, 2008

Saya nak pinggan kamu pula

Tulisan ini Pak Man petik dari Sinar Harian, Ahad 16 November 2008. Dalam ruangan 'yang tersurat yang tersirat' oleh Muhamad Mat Yakim.

Saya sedang duduk makan nasi dengan pinggan yang penuh berisi lauk-pauk dan sayur. Segala isi pinggan itu tiada yang kurang, maka saya pun makan dengan cukup berselera. Saya yakin dan tidak bimbang apa-apa.
Tiba-tiba datang seorang kawan. Sebagai seorang yang biasa bersikap baik hati dan berasa cukup dengan apa yang dimiliki, saya mempelawa kawan itu makan tanpa sebarang rasa curiga.
Mula-mula kami berkongsi nasi. Dia ucap terima kasih. Lepas tu dia kata,"Hai, tak kan nasi saja , bagilah sayur sikit."

Saya bagi sayur. Saya tak kisah kerana masih ada lagi ayam goreng.Lepas tu dia kata lagi,"Minta ayam goreng sikit."
Saya dah mula rasa terganggu. Selera saya tiba-tiba sahaja terencat. Dia kata,"Sedikit saja..nak rasa je."
Lama-lama naluri baik hati saya akur dan saya berikan dia sedikit ayam goreng. Kawan tadi tambah berselera. Dalam keadaan sudah terlanjur memberi, saya rasa sudah tidak mampu lagi mempertahankan ayam goreng yang sememangnya menjadi pembuka selera saya.

Dalam keadaan saya menyuap nasi dengan selera yang tidak sepenuhnya, tiba-tiba kawan tadi bersuara lagi,"Nasi sudah dapat, sayur sudah dapat, ayam goreng pun sudah dapat, tapi saya tak puas hati lagi. Sekarang saya nak pinggan kamu pula." (Pak Man ringkaskan sedikit cerita itu)

Sekadar untuk renungan.

Cuti...semua benda boleh buat.

Macam biasalah bila cuti sekolah, bukan murid aje yang suka, cikgu pun sama. Bagi Pak Man banyak kerja dalam senarai menunggu. Pagi ni Pak Man nak ke rumah yang di Sempam, dah janji dengan Rahim nak menebas dan meracun.

Malam tadi dah jalankan 'operasi tikus'. Tahan perangkap, kena dua ekor. Dua perangkap kena dua-dua. Nampak gaya kena tambah lagi perangkap tikus ni.

Benih pisang dah order tapi belum dihantar lagi. Nak tanam keliling rumah. Sekarang ni tengah cari benih nanas. Semalam tanya makcik-makcik Kelantan yang berjual di pasar minggu, mereka semua kata,"Tak dok , Awe! , mok cik raso tak dok ore tane lanas di Raub nih."

Di Kelantan memang banyak, tapi jauh sangat. Pak Man cuma nak dalam 100 pokok je, tak berbaloi kalau semata-mata balik kerana nak beli benih nanas. Mungkin bila balik kampung nanti Pak Man akan cuba dapatkan sikit. Tak boleh nak beli banyak kerana beg pakaian kami sekeluarga pun dah penuh kereta.

Di sekolah ada dua tiga orang cikgu buat projek'mural'. Mereka tangguhkan balik kampung lewat seminggu. Mungkin ada budak-budak datang menolong. Sayang sungguh mereka dengan sekolah tu. Mereka kata kita mahu apa yang ada di sekolah bandar, semua ada di sekolah kita.

"Cikgu yang ada blog pun kita ada", kata mereka. Sejak Pak Man promosikan blog di sekolah tu, mereka dah mula mengikuti blog Pak Man dan blog kawan Pak Man, Fudzail. Seronok !...mereka kata. Blog-blog lain tu pandailah mereka cari sendiri. Cikgu Fandi, Cikgu Rozana dan Cikgu Ummie dah ada blog sendiri. Mula-mula Pak Man tunjukkan, lepas tu mereka pandailah tambah sana-tambah sini. Orang muda, lagi terkehadapan dari Pak Man. Mereka bertiga ni jadi 'follower'kepada blog Pak Man.

Bercakap pasal SK Semantan Ulu ni, pada Sabtu yang lalu, ada seorang pembaca blog Pak Man (dari KL)bagi RM 100 untuk di agihkan kepada budak dua orang yang dapat 5A tu. Dapatlah mereka RM 50 seorang. Akan Pak Man hantarkan ke rumah mereka nanti. Terima kasihlah kepada hamba Allah yang sudi bersedekah itu. Semoga Allah akan memberi balasan yang berlipat kali ganda di dunia dan di akhirat. Amin yaa rabbal aalamin.

Semalam Rahim tanya bila Pak Man nak ambil kambing dia yang sepasang tu?. Pak Man kata nantilah tunggu kandang siap. Pak Man beli sepasang anak kambing dari Rahim. Nama-nama mereka Pak Man dah siap pilih dah. Tunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.

Pelancaran nama-nama itu akan di buat di blog Pak Man. Tungguuuuu....

Sunday, November 16, 2008

Pak Cik klik next,next,next.....

Dari pagi tadi lagi Pak Man tak boleh nak sambung internet. Alat broadband tu ada masalah agaknya. Pak Man agak-agak aje lah. Sebab yang sebenarnya, tak tahu.

Malam baru dapat sambungan. Nampak gaya nya nak kena pergi tanya dengan budak yang kerja di kedai Celcom tu. Dulu dia kata kalau ada masalah pak cik datang tanya saya.

Pak Man teringat masa nak beli benda tu dulu,"Adik, pakcik nak tanya sikit".

"Apa dia pak cik?"

"Pak cik nak beli benda yang boleh sambung internet tu, ada ke jual?"

"Oooo, benda tu, namanya broadband, pak cik sendiri ke nak guna?"

"Ya, pak cik sendiri lah.....apa nama nya tadi broad van?"(Pak Man buat-buat tak tahu)

"Bukan van...band...broadband. Pak cik tahu ke guna nih?"(berkerut dahi).Lepas tu dia pun cakap dengan kawan dia,"Engkau teranglah kepada pak cik ni, aku nak ke tandas jap."

Agaknya budak tu ingat Pak Man main-main, maklumlah orang tua pakai baju Pagoda. Mana tahu guna internet. Ada 3 orang pelanggan dalam kedai tu, semua memandang Pak Man sambil tersenyum. Pak Man buat selamba...lakonan makin real. Budak tu keluarkan alat tersebut dan tunjuk kan kepada Pak Man.

"Pak cik kena cucuk benda ni kat belakang komputer, pada tempat dia...jangan tempat lain."

"USB port ke?"

"A-ah USB port...ooooi pak cik tahu rupanya!"

"Agak-agak je!...tadi adik kata cucuk kat belakang, tapi komputer pak cik tak ada tempat cucuk tu kat belakang, macam mana?"

"Ehhhh....mesti ada!...cuba pak cik tenguk ni." dia tunjukkan komputer pada Pak Man.

"Komputer pak cik macam ni kan?"

"Tak..bukan macam ni...pakcik punya boleh lipat-lipat."

"Ooooo..cakap lah Lap top....yang itu namanya lap top." sambil tunjuk ke arah lap top.

"Pak Cik punya ke anak pak cik yang punya?" dia tak percaya.

"Pak Cik punya......mak cik pun ada juga satu!" Sekali lagi pelanggan yang tiga orang tadi menoleh ke arah Pak Man. Agaknya mereka kata dalam hati...tak betul agaknya orang tua ni.

"Macam ni lah kita ringkaskan cerita, berapa harganya?.....kalau lagi banyak tanya ,lagi pelik orang dengar."

"RM 499.00......bulan-bulan pak cik kena bayar RM 68.00..macam mana boleh?" sekali lagi yang 3 orang tu menoleh dengan penuh saspen.

"Boleh...." Pak Man keluarkan duit dan bayar."Nanti dulu Pak Cik, biar saya tulis resit dulu."

Lepas bayar, budak tadi ada sedikit pesanan lagi,"Sebelum guna pak cik kena install dulu."

"Apa tu?"

"Senang saja..pak cik klik next,next, next..saja."

"Kalau next,next, next, bila nak habis?...tak ada ke... finish?"

"Oh ya...akhir sekali pak cik klik finish.....pak cik ni macam dah tahuuuu je.."

"Pak cik agak-agak je.."

Tapi bila nak isi borang barulah dia tahu kerja Pak Man. "Patutlah lah pak cik tahu semuaaaaa...pakcik mainkan saya ya?"

Bila Pak Man toleh ke belakang, eh! orang yang 3 orang tadi dah tak ada. Ajaib!

Maaf, semalam tak menulis

Pak Man nak minta maaf kepada semua kerana semalam tak berkesempatan nak tulis apa-apa. Pagi semalam(Sabtu) Pak Man pergi KL ambil Mak Jah balik dari kursus. Macam biasalah, Pak Man pergi rumah Alfateh dulu, kemudian daddy Alfateh ajak Pak Man pergi ambil Alfateh balik dari kelas B.Inggeris di British Council. Lepas tu terus ke Hotel tempat Mak Jah berkursus. Sampai tepat-tepat pada waktu. Pandai betul daddy nya mengagak.

Lepas tu balik ke rumah Alfateh semula. Lepas makan kami bertolak balik ke Raub. Sampai di Raub lebih kurang pukul 3:00 pm. Singgah di kedai beli barang dapur.

Sampai rumah, rasa letih betul. Ya lah penat yang sehari sebelum tu belum habis lagi. Badan dah tak kuat lagi. Pak Man tabik lah kepada pemandu bas ekspress dan pemandu lori. Mereka nampak macam tak letih langsung kalau bawa lori 5 atau 6 jam , selamba je.

Malam tidur awal. Biasanya mesti berdengkur........badan penat.

Pagi lepas sarapan ,pergi pasar minggu. Macam biasalah, beli ikan, sayur, bawang, lada , .........senarai berjela-jela. Mahal betul barang makan sekarang ni. Masa harga minyak mula-mula naik dulu, harga barang ikut naik. Harga minyak dah tiga kali turun, tapi harga barang tak turun-turun. Di pasaraya besar-besar adalah dengar khabar harga turun. Itu orang bandar sajalah yang merasa. Orang kampung macam Pak Man ni...melopong!!!!!

Friday, November 14, 2008

Baru sampai dari Kuantan

Baru sekejap tadi (9:30pm) Pak Man sampai di rumah, lepas makan rehat sekejap tapi tak tertahan-tahan rasa nak buka tenguk blog.
Lepas sekolah tadi Pak Man terus ke Kuantan ambil anak di MRSM kuantan. Masa balik tadi hujan sekejap-sekejap, Pak Man memang tak berapa nampak malam-malam, tambah-tambah kalau hujan. Merayaplah bawa kereta, macam orang tua(memang dah tua pun).

Pagi esok Pak Man nak ke KL pula ambil Mak Jah balik dari kursus. Sudah genaplah seminggu Pak Man jadi bapa tunggal. Esok hidup Pak Man akan kembali normal.

Nak cerita sikit pasal di sekolah tadi, sebelum balik semua guru-guru dijemput ke kantin. Ada jamuan , makan tengahari. Lauk gulai nangka, ikan masin, ulam-ulam, sambal, sayur goreng campur tempe, gulai ayam, ayam goreng dan telur asin(orang kampung Pak Man kata'telur jeruk'). Air oren dan ada ais krim.
Oleh kerana nak cepat, Pak Man makan saja, lepas makan terus balik. Lupa pula nak tanya sapa yang belanja. Esok kena telefon ustaz, tanya sapa belanja. Nak ucap terima kasih. Sehari dua ni rezeki memang murah. Alhamdulillah.

Pagi tadi bapa Syafinas(salah seorang budak yang dapat 5A) datang jumpa ustaz, dia kata kalau anaknya dapat sekolah asrama penuh yang jauh-jauh tak mampulah dia nak menghantarnya. Kalau boleh biarlah dapat Sek.Men. Sains Raub saja.(ustaz memang tempat ibubapa mengadu hal kalau ada sebarang masalah).

Pak Man dengar dari jauh(curi-curi dengar), dalam hati rasa kesian pula, tapi nak buat macam mana. Hanya mampu berdoa.

Zaman sekarang kabel masih penting lagi........wireless tak laku!

Pagi yang ceria

Pagi ini Pak Man rasa begitu senang hati. Dalam perjalanan ke sekolah, bila masuk saja ke simpang kg.Semantan, orang kampung yang ada di tepi-tepi jalan semua nya mengangkat tangan, ada yang mengangguk-angguk kepala, ada yang menunjukkan isyarat'bagus'.
Wah ...begitu sekali kesan nya. Mungkin berita 2 orang pelajar mendapat 5A telah tersebar ke seluruh kampung.
Ada yang sedang minum di kedai kopi, melambai sambil menunjukkan isyarat 'ajak minum'. Yang naik motorsikal membunyikan hon. Ohhh..terharunya.
Ini makin menaikkan lagi semangat Pak Man. Perjuangan untuk mendidik anak bangsa di pedalaman ini akan Pak Man teruskan selagi terdaya.
Semoga Allah kurniakan kami semua dengan kesihatan yang baik.

Thursday, November 13, 2008

Gambar Hari Anugerah Kecemerlangan

Murid-murid Pra-sekolah bersama dengan guru-guru mereka di hari graduasi, senyum....senyum..


Persembahan murid Tahun6 dan murid Pra-sekolah, tarian ala pop yeh-yeh 60 an.


Ibubapa menjamu selera selepas upacara penyampaian hadiah. Inilah rezeki kita pada hari ini.



Persembahan tarian oleh murid Pra-sekolah. Joget Kelantan......rajin cikgunya mengajar.



Cenderahati dari pihak sekolah untuk Pengurus Bank Rakyat Cawangan Raub. Terima kasih daun keladi.
Sebentar tadi Pak Man mendapat berita dari kawan Pak Man di Dubai. Beliau mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar kami yang berjaya mendapat 5A. Beliau akan mengirimkan sejumlah wang untuk setiap seorang pelajar tersebut sebagai hadiah galakan. Terima kasih banyak-banyak sahabat!
Semoga Allah membalas jasa baik sahabat itu dengan menganugerahi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin yaa rabbal aalaamin.
Gunung Daik nampak berbayang,
Orang baik Allah sayang.




Berbudi Kepada Tanah - Punah harapan ku

Dua minggu selepas kami pergi melihat keadaan kebun yang terbakar itu, tiba-tiba datang pula Tarmizi membawa khabar,"Kebun tu terbakar pula dah , macam mana boleh terbakar sampai dua kali dalam sebulan."

Pak Man malas dah nak fikir, buat naik darah tinggi saja."Tak apa lah Zi, selagi tak habis terbakar kebun tu, mungkin mereka tak puas hati."

"Saya ada satu tawaran, tolong hebah kan kepada orang kampung, khas untuk orang yang membakar kebun tu, tolong bagi tahu kata Cikgu Othman nak ajak bertumbuk, kalau berani marilah, bila-bila masa boleh." Geram sangat dah tu, tak leh nak tahan.

"Sabar cikgu, mungkin ada hikmahnya tu."

Baru dua hari lepas Pak Man pergi jumpa pegawai RISDA, bincang bagaimana nak selamatkan pokok yang masih tinggal itu. Tapi Tarmizi kata, kali ini, habis semuanya. Api naik menjulang-julang tinggi nya. Kalau ada tinggal pun yang tepi-tepi bukit ajelah. Adalah dalam 200 pokok. Durian ada tinggal sebatang. Dokong habis semua nya menjadi abu.

Terduduk juga lah sekejap, tapi lepas tu Pak Man buat tak tahu saja lah. Malas nak fikir lagi. Harapan sudah punah-ranah......

Dua orang murid dapat 5A

Alhamdulillah, setelah beberapa tahun SK Semantan Ulu tidak menghasilkan murid yang mendapat 5A dalam UPSR, tahun ini ada dua orang yang dapat 5A.
Lega rasanya. Berhasil juga usaha kami selama ini.

Dua orang pelajar tersebut ialah, Nur Aqilah bt.Razaman dan Nurul Syafinas bt. Zakaria.

Keputusan keseluruhan 60% lulus. Meningkat 10% berbanding dengan tahun lepas.

Kami semua bergembira hari ini......

Mungkin bagi orang lain ini tidak seberapa, tapi bagi kami, besar ertinya.

Wednesday, November 12, 2008

SK Semantan Ulu

Tuan Guru Besar SK Semantan Ulu, En.Sabarudin Mustafa sedang menyampaikan piala kepada pelajar terbaik Pra-sekolah .


En.Abdul Raof bin Abdul Kadir, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Raub, sedang menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar yang berjaya.
Pagi tadi SK Semantan Ulu telah mengadakan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah serta Hari Graduasi bagi pelajar-pelajar Pra-sekolah. Pelajar Pra-sekolah yang bergraduasi ialah seramai 8 orang. Ini bermakna murid Tahun 1 SK Semantan Ulu pada tahun 2009 ialah 8 orang.
Kalau nak dibandingkan dengan pelajar Tahun 1 pada 2008, yang seramai 3 orang , ini sudah dikira ada peningkatan. Tapi pelajar Tahun 6 yang keluar pada tahun ini adalah seramai 15 orang. Ini bermakna pelajar sekolah kami pada tahun depan sudah tidak sampai 50 orang. Apa boleh buat.........
Berbalik kepada Hari Ucapan tadi, Pak Man rasa tak ada lagi sekolah yang mengadakan hari ucapan yang mana semua pelajar mendapat hadiah. Ini satu pengelaman baru bagi Pak Man. Semua pelajar SK Semantan Ulu dapat hadiah. Yang berjaya sudah tentulah dapat hadiah(hadiah kecemerlangan), tapi yang tak berjaya juga di beri hadiah, namanya hadiah 'galakan'.
Terima kasih kepada Bank Rakyat kerana sudi menaja hadiah-hadiah tersebut. Sebenarnya sekolah ini adalah anak angkat Bank Rakyat. Bertuah budak-budak ni dapat bapak angkat yang baik dan pemurah macam Bank Rakyat.
Ibubapa yang hadir semuanya dijamu dengan nasi hujan panas. Semua orang dapat makan. Kanak-kanak semua gembira. Meriah betul, rasa macam kenduri kahwin pulak!(harap-harap lepas ni adalah sepasang dua cikgu yang bujang tu, menjemput kami ke majlis kenduri kahwin mereka. Cikgu Haji Fendi bila lagi?)...tak dapat nasi hujan panas....dapat nasi hujan rintik-rintik pun jadi lah.
Insyaallah tahun depan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah akan kami buat dengan lebih meriah lagi. Semoga Bank Rakyat akan bertambah untung.........

Tuesday, November 11, 2008

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM

Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh,

Pak Man nak ucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada semua calon-calon SPM. Terutama kepada anak Pak Man, Azrul Amri di MRSM Muadzam Shah.

Buat betul-betul, SPM adalah penentu masa depan anak-anak.

Masuk dewan , mula-mula baca bismillah....

Lepas tu baca selawat 3x....

Lepas tu tarik nafas panjang-panjang, dan hembus.....

Jangan keluar selagi masa yang diperuntukkan belum tamat. Walaupun dah siap, semak lah beberapa kali.....ingat jangan keluar awal!!!....mana tahu kalau-kalau ada tersilap jawab boleh betul kan. Kalau dah keluar tak boleh nak betulkan lagi.

Selamat berjaya!!!

Monday, November 10, 2008

Alamak! lupa tutup pintu pagar.

Macam mana boleh lupa pulak. Hari ni, memang kelam kabut sikit. Balik sekolah tadi singgah di rumah kami yang kami tak duduk tu.(di atas bukit dalam hutan tu, Pak Man panggil tempat tu Sempam Hill View.)Sudah beberapa hari Pak Man tak ke sana. Sepatutnya setiap hari kena pergi tenguk, manalah tahu, kalau lama tak tenguk, tiba-tiba ada pula orang gila yang duduk. Bukan kah haru jadinya. Lagi satu, dalam peti ais ada tempoyak tiga botol besar. Takut terputus bekalan letrik ke...berkulatlah tempoyak tu nanti. Itu stok untuk bulan Disember nanti.

Berbalik kepada kisah pintu pagar tadi, kalau tak tutup, malam-malam biasa nya ada kerbau masuk. Habislah pokok pisang, daun pandan, daun kesom, serai, daun kunyit, pokok betik, semua dia sapu. Penyapu buruk sungguh!. Lepas tu dia bagi kita cenderahati pulak. Dodol Raja Sulaiman!...selambak di depan tangga...kurang ajar!
Bila Mak Jah tak ada keadaan jadi kelam kabut sikit. Pak Man ni pelupa sikit, maklumlah masa kecik dulu banyak makan kepala ikan kering dan ikan rebus. Orang miskin lah katakan!..kalau boleh tulang ikan pun nak makan sekali. Kesian kucing!

Malam tadi Pak Man dengar bunyi macam orang mengerang kesakitan. Eaaaah! Eaaaah! Eaaaah!...lama betul. Dari arah tepi sungai. Pagi tadi Pak Man tanya Opahnya , "Bunyi apa malam tadi.....macam orang mengerang kesakitan saja."

"oooo, kalau macam tu biasanya, bunyi musang."

"Oooo..musang . Ingatkan apa, tak pernah dengar pulak sebelum ni." Buat muka selamba saja, takut nanti opahnya kata,"penakut juga rupanya menantu aku ni." .....cover line, cover line.

Malam tadi Pak Man terfikir pasal pokok ara yang baru ditebang tu......hai..jangan....jangan...

Malam ni hajat tu nak tidur lewat sikit. Nak buat sembahyang hajat, anak sulung Pak Man nak ambil SPM esok. Minta-minta berjaya lah anak Pak Man ni dengan cemerlang, amin.

Sudah dua hari dah Pak Man berbalas-balas email dengan Mak Jah. Tak pernah buat sebelum ini, hai...seronok pula.

Masa muda-muda dulu tak ada pulak benda ni...dah ada agak nya , tapi Pak Man yang tak tahu kot.

Sunday, November 9, 2008

Berbudi Kepada Tanah.(Ini jalan atau longkang?)

Berkebun ni, mengisi masa lapang saja, macam orang main golf. Tapi kalau ada rezeki dapat hasil, kalau tidak, dapat 'exercise' saja lah.


Bermula 1997 hinggalah 1999, kebun tak ada masalah. Masuk saja tahun 2000, jalan masuk, nak naik ke bukit(kebun Pak Man) dah jadi macam longkang. Bila hujan air dari atas akan mengalir ikut jalan turun ke bawah. Lama-lama jalan pun terhakis dan bertukar menjadi longkang. Dalam nya lebih kurang 2 kaki. Kalau terjatuh tayar jip, boleh tenggelam. Sungguh mencabar. Macam dalam Camel Trophy.


Lama-lama jalan tersebut tak boleh lalu langsung. Nak ke kebun kena jalan kaki panjat bukit. Tonggek punggung. Pokok getah semakin membesar. Upah orang menebas dan meracun. Selalu kena tipu. Kerja tak pernah selesai. Duit upah datang minta ke rumah. Pak Man mudah percaya dengan orang. Macam kes berniaga kelapa dululah.


Dipendekkan cerita, pertengahan 2004, Johari tuan kebun sebelah kebun Pak Man datang ke rumah."Cikgu, Cikgu....ada berita buruk ni sikit Cikgu. Jangan terkejut."


"Apa dia Jo?"


"Kebun Cikgu terbakar......habislah separuh .......tapi boleh diselamatkan lagi tu...bubuh kapur."


"Macam mana boleh terbakar?"


"Entahlah Cikgu....mungkin budak-budak dadah kot buat projek dalam kebun Cikgu, bila dah hayal tu...terbakar lah habis rumput dan lalang."


Dalam hati Pak Man terdetik, " mungkin orang tu kot.....hiss , tak baik tuduh orang."


"Tak apalah Jo, terima kasih banyak-banyak kerana beritahu."


Hari minggu berikutnya, Pak Man dan Mak Jah pergi ke kebun. Parking kereta tepi jalan, sama-sama mendaki bukit. Hoiiii....penat betul. Tercungap-cungap kami berdua. Bawa parang sorang satu. Takut bertembung dengan binatang. Manalah tahu....


Sampai di atas bukit, aduuh...kami mengeluh. Sayang sungguh, getah dah nak masuk 7 tahun, dah nak boleh toreh, habis terbakar. Dalam kepala Pak Man terbayang sekali lagi muka orang tu. Tak mungkin...tak mungkin...Syaitan kata, "Yaaa...dia lah yang bakar...sapa lagi...dia tu memang jahat. Dia tu tak suka kamu....kamu orang luar..." Setan...setan..itulah kerja dia!.


Opahnya pun marah sangat....dia kata, "Jual aje lah tanah tu!, heiii , sapa lah yang jahat sangat nih. Apa nak jadi dengan orang kampung kita nih.."


Tapi bagi Pak Man tak apa kerana masih ada lagi separuh , dalam 5 ekar lagi. Tahun depan boleh toreh lah. Harga getah tengah naik. Dah rezeki kita sebanyak tu, nak buat macam mana. Redha aje lah.

Saturday, November 8, 2008

Pokok sudah ditebang.

Pagi tadi Pak Man ke KL. Dari Raub kami terus ke rumah Alfateh di Kemensah Height, belakang Zoo Negara. Rupa-rupanya Mak Jah dah janji dengan adiknya(mama Alfateh), nak singgah. Nadirah ikut bersama. Syafiqa sukarela nak tinggal di rumah. Dia kata nak temankan opahnya. Mak Cik Misah kerja sampai pukul 3:00pm saja. Baguslah kalau macam tu.

Kami berada di rumah Alfateh sampai pukul 3:15 pm. Lepas tu Syed Omar(daddy Alfateh)hantar kami ke Hotel Dynasty dengan Harrier nya. Lain betul rasanya kalau nak dibandingkan dengan jip Pak Man yang selalu Pak Man gunakan ke kebun tu. Macam langit dengan bumi!.(Pak Man ni memang'darat' sikit.)

Nasib baiklah Syed hantar kami. Tak ada tempat parking. Syed turunkan kami berdua, lepas tu dia pergi......lepas selesai urusan pendaftaran Mak Jah, Pak Man hantar dia kebilik, di tingkat 21. Kawan sebiliknya dah ada. Mak bapak nya ada sekali. Satu keluarga hantar, meriah....mereka dari Ipoh.

Selesai semua urusan, Pak Man turun ke lobby. SMS ke Syed, beberapa minit kemudian Syed sampai. Kami terus balik ke rumah. Alhamdulillah...Allah permudahkan segala urusan Pak Man.

Sampai di rumah, Nadirah tengah rancak bermain dengan sepupu-sepupunya. Ada Amirah, Sarah, Ainul Umairah, Nabila dan Alfateh. Pak Man bagi masa lebih kurang 30 minit untuk mereka bermain, lepas tu terus balik. Takut lewat sampai , nanti takut pula yang berdua (opah & cucu) di rumah.

Lebih kurang 7:15 pm, sampai di rumah. Wow !! pokok-pokok dah siap bertebang. Hebat sungguh Jamin. Memang pro. Esok pagi-pagi lagi Pak Man mesti pergi rumah dia, bayar upah(duitnya Syed yang sponsor). Kerjanya sangat baik. Puas hati sungguh Pak Man. Bayar lebih sikit pun tak apa.

Ambil senarai semak, ambil pen, tanda pada ruangan 'menebang pokok'- dah selesai....tanda tangan.....manlaksam.

Geram nya!

Baru sekejap tadi Pak Man baca blog MSO, dia tulis pasal Bahasa Melayu. Ada komen yang mengatakan kalau cakap Melayu, itu makna nya seperti katak di bawah tempurung. Berasap telinga Pak Man macam dalam filem kartun' cerita monyet makan lada.'

Sedarlah semua, mula-mula bahasa kita ditolak ketepi, lama-lama anak-cucu kita pula. Percayalah cakap Pak Man. Orang yang bercakap tu, fikir lah sekali lagi. Pejuang-pejuang Bahasa Melayu, seperti Datuk Dr.Hassan(bekas Ketua Pengarah DBP), adalah orang yang sangat fasih dan tinggi penguasaan Bahasa Inggerisnya, tapi tetap bercakap Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Bukan nak menunjuk-nunjuk kehandalan berbahasa Inggerisnya. Jangan nak menunjuk pada tempat yang salah.

Kalau katak nak keluar dari tempurung, bagus! tenguklah dunia luas-luas......tapi AWAS jangan dilanggar kereta atau lori, kerana di luar sana banyak bahaya nya . Mesti pandai melintas jalan. Kalau tidak kamu akan MATI KATAK, kering di atas jalan raya.

Sebenarnya, Bahasa Inggeris ni bukanlah bahasa pertuturan orang kelas atasan. Itu tanggapan yang salah tu. Juga bukan bahasa pertuturan orang-orang terpelajar. Salah tu anak-anak. Ketinggian ilmu pengetahuan bukan terletak pada bahasa apa yang kita pertuturkan. Kalau cakap Bahasa Inggeris lancar macam roket, tapi bila ditanya soalan matematik 4 kuasa 3 berapa?...tak tahu! ...malu kita. Kawan Pak Man(Duan Pok Jak)yang tinggal di London beritahu Pak Man yang orang gila di London pun cakap orang putih!

Kalau orang Melayu yang cakap Inggerisnya lancar mengalah kan orang putih, tapi bila cakap Melayu, asyik cakap..aaaaaa apa namaaaa...aaaaa apa namaaaaa...macam robot habis bateri! malulah...

Maaf, pagi-pagi lagi dah beremosi........hilang sudah ketenangan dan kesegaran tadi. Belakang tengkuk dah rasa lain macam, rasa-rasanya darah tinggi Pak Man dah naik.

Assalamualaikum warah matullahiwabarakatuh.

Nikmat Allah

Melayari internet....sambil menyedut udara segar diwaktu pagi, berlatarkan bunyi air terjun dan kicauan burung......syukur di atas kurniaan Allah taala.


Bismillah hirrahmanirrahim,
Assalamualaikum semua, Pagi ini Pak Man rasa sungguh damai dan tenteram. Selepas sarapan Pak Man keluar rumah(orang kampung Pak Man di Bachok kata,'turun ke tanah') buka pintu pagar. Kerana sekejap lagi Misah, pembantu Opahnya akan sampai. Nanti bertempik pula Si Misah tu kalau pintu pagar masih berkunci. Pitching nya sangat tinggi, mengalahkan Ramlah Ram.

Kalau hari cuti, Pak Man macam biasa akan melayari internet selepas tenguk berita di tv. tempat pilihan Pak Man ialah di anjung depan. Dapat dengar kicauan burung, sesekali dapat tenguk tupai dan monyet melompat-lompat di atas pokok rambutan sekeling rumah. Sekali sekala di sapa oleh Jelita dan Rupawan, embeeek...embeeek..

Depan rumah, ada tali air JPS. Tali air itu bertingkat mengikut muka bumi. Jadi dapat dengar bunyi air terjun, 24 jam . Bayangkan tidur malam berlatarkan bunyi air terjun...ooooh! tak boleh dapat kalau duduk di New York ke...Hong Kong ke....London ke....hatta KL sekalipun.

Melayari internet sambil menyedut udara segar, ooooh! nikmatnya....alhamdulillah!

Maaflah semua anak-anak, pagi ni Pak Man tak boleh lama-lama kerana sekejap lagi Pak Man nak kena pergi KL. Nak hantar Mak Jah berkursus di Hotel Dynasty. Pak Man belum pernah pergi lagi ke hotel tu sebelum ni. Hai...tak tahu lah boleh jumpa ke tidak. Mak Jah berkursus di sana selama seminggu . Tinggal lah Pak Man tiga beranak dengan opahnya.

Pak Man minta diri dulu.....daun selasih sidaun kayu, terima kasih thank you!

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakaatuh.

Friday, November 7, 2008

Berbudi Kepada Tanah - Bahagian 3

Boleh dikatakan setiap hari, selepas waktu asar Pak Man dan Mak Jah akan ke kebun dengan jip buruk itu. Pada 1997, kami berdua masih kuat, bertenaga. Bukan macam sekarang ni, baru tanam ubi kayu sikit dah penat.

Kebun tu jauh, dalam hutan, atas bukit. Kami sekadar pergi melihat-lihat saja. Pastikan tiada kerbau dan lembu yang dilepas liar, masuk ke kebun kami. Waktu masuk, Pak Man bunyikan hon jip kuat-kuat. Biar semua binatang terkejut, baru mereka lari jauh-jauh. Bila dah habis memantau, Pak Man akan pasang ubat nyamuk. Pada hujung ubat nyamuk tersebut Pak Man ikatkan mercun. Buat macam bom jangka. Satu lingkaran ubat nyamuk boleh tahan sampai 8 jam, jadi Pak Man potong separuh, untuk setkan masa selama 4 jam. Pasang lebih kurang pukul 6:30pm, jadi lebih kurang pukul 10:30 pm mercun itu akan meletup. BOMMMM!!!!

Waktu itu adalah dijangkakan babi-babi hutan sedang mencari makan. Jadi kalau tiap-tiap malam dalam kebun Pak Man ada letupan , mungkin babi tak akan datang. Pergilah ke tempat lain. Bumi Allah ni kan luas.

Pak Man tak pernah dengar lagi ada kebun kepunyaan orang Cina dikacau oleh babi. Mungkin babi tahu orang Cina makan babi, jadi babi takut.........sebagai alternatifnya babi masuk kebun orang Melayu.

Dalam dok pergi melawat hari-hari pun, ada juga pokok pisang kena sondol, nak buat macam mana. Pak Man tak bolehlah nak tunggu kat situ 24 jam. Tokey babi pun tak tunggu kandangnya 24 jam. Biarlah , kalau ada rezeki, adalah....kalau tak dak nak buat macam mana.

Budak yang Pak Man upah untuk tanam getah tu, dia ada cadangkan supaya Pak Man cari baju orang Cina yang dah tak pakai lagi dan gantungkan pada pagar kebun. Budak tu kata, babi boleh kenal sama ada bau orang Cina atau bau orang Melayu. Kalau ada bau orang Cina, babi tak akan masuk. Entah lah, betul ke tidak. Pak Man tak buat pun!

Pak Man minta maaflah kalau ada yang sensitif bila Pak Man sebut babi hutan, sebenarnya tak payahlah nak sebut khinzir ke....ba alif ba ya ke......kerana Pak Man rasa benda nya sama saja. Haram kalau di makan, tapi kalau sebut seribu kali pun tak haram!

Thursday, November 6, 2008

Hujan!!! kesian Jelita dan Rupawan

Ketika ini hujan turun agak lebat. Sayup-sayup bunyi embeeeek...embeeek..., Pak Man rasa bersalah kerana belum berkesempatan membaiki atap kandang kambing. Kambing Pak Man cuma ada dua ekor saja. Dua-dua betina. Nama mereka Jelita dan Rupawan. Tahun lepas ada enam ekor kesemuanya. Bapa mereka Perkasa telah Pak Man jual kepada orang Raub, dia nak buat akikah. Ibu mereka Kemboja juga Pak Man jual tak lama selepas itu.

Dua ekor lagi Aduka dan Taruna. Aduka hilang, keluar makan dan tak balik-balik. Taruna pula mati, penyakitnya Pak man agak , kembung perut sebab termakan daun ubi kayu.(yang sebenarnya tak tahu sebab tak buat post-mortem). Dah mati , gali lubang kambus saja.

Beberapa tahun yang lalu, Pak Man pernah bela seekor anak beruk. Pak Man beli dari orang asli. Yang ini Pak Man tak bagi nama Melayu, Pak Man bagi nama dia Micheal, sebab suka terlompat-lompat macam MJ, BEAT IT!!!

Tak sampai sebulan mati. Tak sesuai dengan nama tu agaknya. Membazir saja Pak Man ambik lesen, RM 100 untuk setahun. Jangan main-main, lesen beruk lebih mahal dari road tax motor. Lepas tu Pak Man malas lagilah nak beli beruk. Lesen nya Pak Man simpan kat rumah. Nak bawa dalam dompet nanti ,takut ada sekatan jalanraya, bila polis minta lesen memandu takut terberi lesen beruk pulak.......kacau!

Gocoh Dahi Tanya Hati

Pak Man baru saja baca blog Abe Meli (Melipriapapa). Pak Man paling suka baca pepatah-pepatah dan istilah-istilah baru ciptaan beliau. Biasanya dalam bahasa Melayu campur loghat Kelantan. Setiap tulisan beliau mesti ada diselitkan satu dua pepatah seperti tajuk diatas.

Abe Meli tulis mengenai nasib Bahasa Melayu. Kalau orang bandar asyik bercakap dalam bahasa Inggeris saja, bila bahasa kita nak berkembang. Bangga sebagai orang bandar , mesti cakap bahasa campur-campur, Melayu + Inggeris. Kalau ada bunyi Inggeris dua tiga patah tu kira ada kelas lah tu. Kalau lagi tinggi kedudukannya lagilah banyak perkataan Inggeris dia guna, sampaikan berak-kencing pun dalam Bahasa Inggeris. Termasuklah juga batuk-bersin nya.

Abe Meli bagi contoh Negara Thai, kalau tengok TV Siam, Shah Rukh Khan pun cakap Siam. Mc Gyver, President Amerika, David Beckham, pendek kata semua orang yang keluar Tv siam cakap siam. Mereka tak pernah agung-agungkan Bahasa Inggeris. Bahasa Siam tu lah yang mereka guna. Tak kira Cina, Melayu dan apa keturunan pun. Kalau nak duduk di Thailand mesti kuasai bahasa siam.

Adakah kerana mereka tak agungkan bahasa Inggeris, maka mereka menjadi lebih mundur?....tenguklah dalam bidang pertanian, siapa lebih maju? Mereka ataupun kita? dari mana mereka dapat ilmu? buku bahasa Inggeris mereka(petani) tak tahu baca.....yang pastinya buku pertanian ditulis dalam bahasa mereka sendiri. Terjemah saja lah dari buku-buku bahasa Inggeris atau buku dari Taiwan ataupun Jepun. Kan senang, kalau ilmu itu diajar dalam bahasa sendiri.

Mereka popularkan 'tomyam' mereka ke seluruh dunia. Bukan macam kita, baru pandai cakap Inggeris sikit dah tak nak makan makanan Melayu. Hagah!

Jadi kata Abe Meli, ' Tepuk dada tanya selera, gocoh dahi tanya hati '

Pak Man pernah hantar komen kepada satu laman blog yang ditulis oleh orang Melayu,(blognya ditulis dalam Bahasa Inggeris), Pak Man komen dalam Bahasa Melayu. Komen Pak Man tak tersiar, itu tak apalah....dia punya sukalah...tapi selepas tu Pak Man terima mesej" You are not invited to read this blog"....tak apalah...Pak Man faham, orang tu tak nak blog dia tercemar dengan tulisan dalam Bahasa Melayu. Hagah!

Pak Man macam biasalah, senyum dan geleng-gelengkan kepala.

Penat Sikit

Hari ni Pak Man penat sikit. Balik dari sekolah, tengok-tengok TNB dah pindahkan wayar pada tiang yang melekat pada pokok ara. Di alihkan ketepi sebelah kanan. Tambah 2 tiang baru. Tiang yang lama dibiarkan di situ. Apakah mereka pun takut nak usik tiang yang melekat pada pokok ara itu?....yang dah senget 60 darjah.

Banyaklah dahan-dahan yang berserakan. Kena bersihkan lah.....sebab itu sajalah jalan masuk Pak Man ke rumah ini. Mungkin esok atau lusa Pak Man akan jumpa Jamin (penebang pokok profesional.....pengelaman 15 tahun kerja dengan tokey balak). Kalau setakat pokok yang macam ni...semesek! (kata orang Kelantan, makna nya 'kacang' saja.)

Sepatutnya orang TNB tu tebanglah sekali pokok tu.......mereka ada semua kemudahan, tentu lagi lah semesek!

Petangnya, Pak Man ke bandar, beli barang-barang keperluan perkhemahan Syafiqa. Macam-macamlah cikgu dia suruh beli. Baju hujan, lampu picit, baldi kecil, macam-macam lagi.........

Kalau sekolah Semantan Ulu, tak payah beli apa-apa, bawak je apa yang ada kat rumah!

Lain padang lain belalang!!!!!

Wednesday, November 5, 2008

Berbudi Kepada Tanah - Bahagian 2

Suatu pagi, pada hari persekolahan, di SMK Chung Ching Raub. Tahun 1997, dalam bilik guru.”Cikgu Osme, kawe dengar demo ada buat kebun di sini.” Kata Cikgu Goh Tok Yen(Cina Kelantan).

“Mana demo tahu ni Goh?”

“Cikgu Ya royak, dia kata ari minggu baru ni dia gi ke kebun demo, tolong demo meracun.”

“Buke(bukan) kebun kawe, yang sebenarnya kebun keluarga ore rumah kawe. Kawe tolong buat saja. Sementara kawe masih larat ni.”

“Banyak tanam durie katanya.”

“Durie ada lah 100 pokok. Durie kunyit semuanya. Kawe beli di Karak, RM10 sepokok.”

“Kalu berbuah nanti boleh lah kawe tumpang rasa….ha..ha..ha.. lagi, pokok apa lagi?”

“Dokong ada 100 pokok, benih kawe beli di Kelate 40 pokok, di Karak 60 pokok.”

“Nak tunggu berbuah nanti, mungkin kawe dah tukar balik kelate doh….tapi kalau ada rezeki tak kemana…”kata Goh.

“Betul kata demo tu Goh. Kalau tak dok rezeki…usah kan demo, kawe sendiri pun mungkin tak dapat makan.

“Pokok apa lagi yang demo tanam? Katanya tanah tu 10 ekar lebih.”

“Getah ada dalam 1500 pokok, celah-celah tu, kawe tanam pise dalam 200 pokok.”

“Waaa..kalu berjaya, boleh jadi OKB demo, tak payah ngajar doh!”

“Buke kawe punya….keluarga ore rumah kawe yang punya.”

“Ya lah , kira macam demo punya jugalah tu.”

“Kawe sebagai ore Kelate bangga dengan demo, walaupun kawe Cina, demo Melayu, Kelate tetap di hati.”

“Demo sokong Tok Guru juga ko Goh?”

“Aaaaaa…itu tak leh royak…rahsia….ha..ha..ha..ha.”

Itulah dia Goh Tok Yen. Kawan Pak Man semasa di SMK Chung Ching . Itu peristiwa 11 tahun yang lalu. Sekarang ni Goh sudah bertukar ke Kelantan.
Mungkin dia tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti kiriman buah dokong dan durian dari Pak Man, atau setidak-tidaknya call dari Pak Man menjemput dia sekeluarga makan buah di kebun Pak Man.

Tapi apa kan daya……….

Tuesday, November 4, 2008

Berbudi Kepada Tanah - Bahagian 1

Daripada tanah terbiar kosong, lebih baik Pak Man tanam getah. Getah mahal ke..murah ke...itu terserah lah. Masa depan tak siapa boleh meramal, itu kerja Allah.


Sementara menunggu hasil getah, pisang akan berbuah dahulu. Mudah-mudahan berhasil.





Pokok durian...ini memakan masa yang lama untuk berbuah. Kalau panjang umur, dapatlah merasa hasilnya. Kalau tidak, ini akan jadi rezeki anak cucu saja. Pak Man tak kesah.




Pokok dokong, benih nya Pak Man beli dari Kelantan. Kalau tak sempat makan, kira rezeki anak cucu juga lah ni.




Monday, November 3, 2008

Halaalan Toyyiba

Selesai sudah projek membaiki pagar. Kini tiada lagi ancaman babi hutan. Pak Man rasa tak sabar hendak mulakan projek ubi kayu dan pisang. Dalam kepala ada satu lagi projek, Pak Man nak tanam nanas. Harga nanas dan pisang mahal betul sekarang. Hari minggu yang lalu, Pak man beli pisang kebatu RM2.50 sesikat, mahal tu!....nanas RM5.00 sebiji, woi! Cekik darah betul.
Lepas sembahyang asar, Pak Man dan Mak Jah mula berkebun. Pak Man mencangkul dan Mak jah tolong tanam benih ubi kayu. Senang saja, Cuma selama ni…tertangguh kerana pagar belum siap dibaiki. Benih Pak Man ambil dari kebun Pak Man juga (selepas isinya diambil untuk rebus dan buat kuih, batangnya boleh dibuat benih). Potong , kumpul dan tanam.

Selepas setengah jam, hoi…berpeluh. Siaplah 3 batas. Kalau hidup semuanya tu, tak habis makan dah tu. Pucuk nya nanti boleh dibuat sayur. Kalau ada lebih boleh lah bersedekah kepada kawan-kawan di sekolah. Semoga pokok ubi kayu Pak Man hidup subur di bumi Allah ini. AAMIN.
Pukul 8 malam, Pak Man tenguk berita di TV3, ada di tunjukkan pekebun betik di Kedah guna najis babi sebagai baja. UWEK!...nak muntah Pak Man. Pak Man tak akan beli lagi betik di pasar minggu. Kalau dari kebun orang kampung sendiri, boleh lah. Pak Man rasa nak tanam betik jugalah dua tiga pokok. Bertambah lagi satu projek.

Sepatutnya di negara Islam seperti Malaysia ini, tidak susah bagi kita nak cari makanan yang betul-betul terjamin kehalalan nya. Boleh dimakan tanpa was-was.

Kesian Budak-Budak Semantan Ulu

Hari ini Peperiksaan Akhir Tahun bermula. Pagi tadi kertas B.Melayu 1 & 2. Semua ok, tak ada masalah. Lepas tu Mathematics paper 2. Ini yang banyak masalah nya!

Sekejap-sekejap tanya, sekejap-sekejap tanya." Sir, question no.5 apa maknanya?"

"Ok, question no.5....everybody listen!...I will explain to you, after this don't ask me about this question again...Amirul saves RM 15 every month. How much does he save in 6 months?, maksudnya, Amirul simpan RM 15 sebulan, berapa banyak yang dia simpan dalam masa 6 bulan."

"Oooooo! kalau macam tu faham lah !, ok sir, ok , kami boleh buat."

Kesian mereka!

Sunday, November 2, 2008

Sudah 7 Tahun Rupanya!

Hari ini adalah hari jadi anak Pak Man yang paling kecil. Namanya Nur Nadirah Azwa. Pagi-pagi lagi masa sarapan tadi dia ingatkan Pak Man, "ayah ingat tak hari ni hari jadi adik?"

"Ayah ingaaaat, mana boleh tak ingat."

"Habis tu kenapa tak ucapkan Selamat Hari Jadi..."

"Ayah nak ucap lah ni...Selamat Hari Jadi Adiiiik."

"Terima kasih."

"Tapi hari ni, kedai tutup, macam mana nak beli kek?"

"Tak ada kek pun tak apa lah." Opah nya tersenyum..."Adik nak kuih apa?, biar opah buat."

"Adik nak kuih yang warna coklat dan atasnya ada kelapa. Dulu opah buat, sedap!"

"Kuih apa tu?" Mak nya meneka.."Kuih kasui?"

"A'ah ya kuih kasui. Boleh ke Pah?" Opahnya senyum, "Boleh...senang je tu."

Pagi tadi juga ada SMS dari sepupunya Amirah dan Alfateh ucap selamat hari jadi. Sarah dan adik beradiknya pun ada hantar SMS. Suka hati bukan main lagi dia!...lepas tu kakaknya yang dok asrama call ucap selamat juga....berseri-seri muka dia.

Sebenarnya Pak Man terlupa nak ucapkan tadi, nasib baik dia ingatkan. Pagi-pagi ni dok fikir apa nak beli dekat pasar minggu, lepas tu nak tunggu Kadir datang sambung projek pagar yang dah buat semalam. Harap-harap hari ni siap lah.

Duit upah dah siap ni. Upah tak boleh tangguh-tangguh nanti lain kali dia tak nak buat, susah Pak Man. Semua kerja di rumah ini Kadir yang buat. Tandas, setor, sambung anjung belakang, paip air, pagar, kandang kambing, mesin rumput, garaj kereta, dan projek seterusnya mungkin reban ayam pulak.

Besar jasa Kadir kepada kami semua.

Saturday, November 1, 2008

Sepak Takraw & Bola Tampar

Pasukan Bola Tampar TI Kuantan 1981. Jurulatih: Mr.Queck, Pak Man duduk, pakai no.12.
Duduk dari kiri: Othman, Ariffin, Nik, Zawawi.
Berdiri dari kiri: Mr.Queck, Shamsul, Badrul, Abduh, Sam, Nik Azmi, Wong.

Bila terkenang zaman main bola tampar ni, rasa seronok. Sayang, sekarang ni tak leh nak main dah. Nak lompat pun tak terangkat bodi. Biasalah, pantai pun berubah......


Pasukan Sepak Takraw TI Kuantan 1981. Jurulatih: Ustaz Abdullah, Pak Man nombor 3 dari kanan.
Dari kiri: Zul, Jamal, Fauzi, Badrul, Syamsuri, Ustaz, Jalil, Ku Fadzil, Othman, Zaid, Bakhtiar.
Sepak Takraw adalah sukan yang paling Pak Man suka. Wakil sekolah semenjak darjah 5 lagi. Masa tingkatan 3, sekolah Pak Man(SMK Badak), jadi johan negeri Kelantan bawah 15 tahun. Sekarang ni, nak angkat kaki tinggi sikit pun tak berapa boleh. Angkat tangan suap nasi ke mulut tu boleh lagi lah...Alhamdulillah!

Ex-TI Kuantan 5B 1981

Ex-TI Kuantan 5B 1981

Assalamualaikum Semua, Pak Man harap kawan-kawan semua sihat dan berbahagia dengan keluarga masing-masing. Harap jangan marah kerana memaparkan gambar kita semua bersama guru kelas kita yang selamba tu, Ustaz Abdullah Tahir.

Pak Man akan cuba sebut nama seorang demi seorang. Kalau salah tolong betulkan, maklumlah dah 27 tahun tak jumpa, mungkin ada yang dah terlupa.

Barisan depan dari kiri kekanan: Marhana Abd.Latiff berita terakhir Pak Man dengar dia kini bertugas di Politeknik Kuantan, habis SPM dulu, dia masuk UTM, ambil kursus arkitektur. Itu saja yang Pak Man tahu. Sebelah Marhana, Che Zaini, pada tahun 1994, dia mengajar di SMA Al-Ikhsan Kuantan sama dengan isteri Pak Man. Masa tu Pak Man kerja di Penjara Penor. Dah lama tak dengar berita. Sebelah Che Zaini ialah Rohana. Ini Pak Man tak ada apa-apa maklumat. Lepas SPM terus tak dengar khabar.

Sebelah Rohana, Marzuki. Masa di ITM dulu Pak Man ada jumpa. Dia ambil kursus Kejuruteraan . Lepas tu, tak dengar berita. Sebelahnya, Zaidi Abd. Rahman, lepas SPM dengar khabar pergi USA. Sekarang kerja dengan Titan Petrochemical SB.

Sebelah nya, Ustaz Abdullah Tahir, sekarang dah pencen. 3 tahun lepas Pak Man jumpa di Hotel Perdana KB. Masih segak. Rambut belum uban.”Macam mana rambut awak lebih putih dari saya?”kata ustaz.

Sebelahnya, Hazrin Salim(Ein), 5tahun lepas ada datang rumah Pak Man di Raub, dalam perjalanan ke Gua Musang, ada projek pertanian disana , katanya. Sebelah tu, Fauzi, Pak Man tak dengar khabar sampai sekarang.

Sebelahnya, Yusof Othman(ustaz), sekarang kerja dengan JKR, dengar khabar di UIAM. Sebelahnya, Rosli Ghazali, dulu kerja Jabatan Ukur KB, sekarang dengar cerita dah berhenti. Buat bisnes, dah pakai kereta mata belalang. Akhir sekali Borhan, dengar cerita jadi kontraktor berjaya di Lipis, TA Bob Holding SB.

Barisan tengah dari kiri ke kanan: Anuar, tak dengar khabar. Mat Roni, tak dengar khabar. Jan.1982 Pak Man jumpa dia di S’pore. Sama –sama jadi buruh kontrak(tunggu result SPM). Lotfi Talib, sekarang kerja dengan PLUS Bhd. Sharani Mat Lia, Cikgu di Lurah Bilut. Azman Ismail, lepas UTM, dengar cerita pergi over-sea, pernah jadi Ketua Pemuda Umno Jerantut. Sekarang usahawan, Aidah Engineering & Construction SB. FUDZAIL, balik NZ kerja di KL, sekarang kerja di Dubai, dah 10 tahun dah. Masih berhubung dengan Pak Man di alam maya.

Sebelah Fudzail, Zulkifli Selamat, balik dari Jepun kerja dengan Matshushita. See Kong Lam, tak ada berita. Jimmy Teo, budak Kelantan. Sekarang kerja di Golden Key, KL. Zafrullah, kerja di Kementerian Pelajaran, Putra Jaya. Yusuf Hussin, kerja di Majlis Perbandaran Kuantan, orang besar jugak, khabarnya. Razani, kerja di MRY Norehan Resources. Rosli Harun, Mendza Builders SB. Mohd.Saupi, Cikgu di SK Gelang Mas, Kelantan.

Barisan Belakang dari kiri ke kanan: Abd.Razak, tak ada berita. CM Roslan, balik USA kerja di Spirac Sarco SB. Othman, lepas ITM, kerja penjara, sekarang jadi cikgu di Raub. MN Mazlan, kerja di Politeknik PD. Ayub, tak ada berita. Sudin, kerja di Majlis Daerah Rompin. Izzudin, ITM sama Pak Man, sekarang tak ada berita. Ghaffar, kerja di Hospital KL, Mohamad Ibrahim, Emma Rampai Selera Kuantan. Ramesh, tak dapat dikesan. Nik Ainul, tak ada berita. Junaidi, konsultan dengan KLIA. M Zawawi, tak ada berita.

Tiada dalam gambar: Ibrahim (mat skodeng)