Wednesday, December 31, 2008

Amin, tahniah !....maaf terlewat.

Amin, yang duduk ccokoh atas tangga berbaju putih, paling kanan.

Amin adalah anak sedara Pak Man yang duduk di Kota Bharu.
Amin, tahniah dari ayah chik(Pak Man) kerana Amin dapat 7A 1B. Sebenar nya semasa ayah chik tulis tentang Ain dan Nabila tu , ayah chik belum terima lagi berita tentang Amin. Kalau tidak sudah tentu ayah chik masukkan sekali cerita Amin.
Amin pun termasuk dalam senarai orang yang boleh berdehem bila jumpa ayah chik, ok Min....jangan lupa "ehem! ehem!"
Sekali lagi tahniah dan minta maaf banyak-banyak kerana terlewat siaran........

Tuesday, December 30, 2008

Tahniah!... Nabila dan Ain dapat 8A.

Dari kanan: Nabila, Munirah, Nadia, Syafiqa dan Azrul (10 thn. yang lalu)



Anis Nabila atau Kak Lala, anak sedara Mak Jah yang belajar di sekolah dekat Taman Melawati(Pak Man tak pasti nama sekolahnya), dapat 8A dalam PMR yang baru diumumkan pagi tadi. Tahniah dari Pak Man dan Mak Jah. Ada hadiah dari Pak Man, kalau jumpa Pak Man jangan lupa berdehem,"ehem! ehem!".......insyaAllah Pak Man akan ingat dan terus bagi hadiah.

Duduk di kerusi dari kanan: Farhana, Ain, Aiman, Amin dan Ngah. (7 thn. yang lalu)
Anak sedara Pak Man, Wan Norain Farhah (Ain) juga dapat 8A. Ain belajar di sekolah dekat Tangok, Bachok. Ain ambil 9 subjek(tambah Bahasa Arab), Bahasa Arab nya dapat 'B'. Jadi Ain dapat 8A1B. Tahniah dari Pak Man dan Mak Jah. Sama lah juga...kalau jumpa nanti berdehem lah dua kali,"ehem! ehem!" insyaAllah Pak Man akan bagi hadiah.
Kepada anak-anak yang kurang menyerlah kali ini, harap jangan bersedih. Mungkin belum rezeki lagi, boleh cuba dalam SPM pula.


Monday, December 29, 2008

Koghe Lipat

Masa kecil dulu Pak Man selalu ditugaskan mengukur kelapa bila mak nak masak gulai. Koghe(kukuran) yang kami guna bukan lah yang boleh lipat macam dalam gambar di atas tu. Kami punya koghe sama macam yang dalam gambar di bawah tapi tak ada lah berukir secantik tu. Yang biasa-biasa saja.
Seronok bila disuruh kukur nyor, kami akan naik berdua macam orang naik motor. Kadang-kadang berangan naik kuda. Sekarang ni tak ada lagi 'koghe' di dapur-dapur rumah orang kampung, ianya telah digantikan dengan 'mesin nyor'.


'Koghe' digunakan untuk pertunjukan di Muzium atau di majlis-majlis tertentu. Kadang-kadang diadakan pertandingan mengukur kelapa.

Usaha Pos Malaysia mengabadikan benda-benda lama ni pada setem adalah satu usaha yang patut dipuji. Tapi setem 'koghe lipat' tak ada.



Saturday, December 27, 2008

Penjala ikan dan 'jong deghat'

Masa kecil dulu, bila tiba bulan 12 maknanya tak adalah bekalan ikan basah dari laut. Semua nelayan tidak turun ke laut. Masa tu tak ada lagi ikan beku ni. Jadi makan nasi dengan ikan kering atau telor atau ikan sardin atau ikan pekasam. Kalau nak makan ikan segar dan percuma, pergilah menjala ikan sungai.
Masa umur Pak Man sekitar 5 ke 10 tahun, Pak Man selalu ikut ayah pergi menjala. Tukang bawa bekas ikan(jong deghat), berjalan berbatu-batu sepanjang tepi sungai. Antara ikan-ikan yang biasa dapat ialah ikan belanak, ikan kitam, dan beberapa jenis ikan sungai yang Pak Man dah lupa namanya.

Bila dapat ikan, tugas Pak Man ialah buka bekas('rajut'- ada yang di buat dari anyaman dan ada yang di buat dari pukat), masukkan ikan dan bawalah ke mana si penjala pergi.



Kalau musim udang, 2 jam pergi menjala senang-senang boleh dapat 2 ke 3 kg. Bila dah agak cukup untuk makan satu keluarga, ayah akan kata,"cukuplah tu, maghi kita balik."
Sampai sekarang Pak Man masih tertanya-tanya kenapalah ayah Pak Man tak tangkap banyak-banyak udang tu dan kemudian jual....boleh dapat duit!



Biasanya Mak akan goreng atau masak lemak atau goreng bercili, inilah 3 resipi udang yang mak Pak Man selalu masak. Kami adik-beradik makan saja apa yang dihidang tanpa banyak soal.....



Thursday, December 25, 2008

Cerita kerbau dan padi

Ini kira sambungan dari entri yang sebelum ini. Kisah orang tanam padi lagi, harap anak-anak tak akan jemu membaca nya. Gambar di atas tu menunjukkan bagaimana orang membajak sawah dengan menggunakan kerbau. Anak-anak kena ingat, ini kisah zaman dulu, dalam tahun 70 an dulu. Sekarang ni dah tak ada lagi dah, semua guna jentera.
Selepas sawah siap dibajak, petani akan pindahkan anak padi dari tapak semaian ke sawah. Proses ni orang kampung Pak Man panggil'menyabut'(asal dari perkataan 'cabut'). Setelah siap dicabut, diikat dan dibawa ke sawah untuk ditanam. Proses menanam dipanggil 'ccedong'(mencedong). Pak Man cerita ni ikut versi kampung Pak Man. Gambar orang sedang 'ccedong' tak ada, maaflah....

Setelah ditanam, padi akan dijaga airnya , bajanya, serta racun serangga kena cukup. Selepas beberapa bulan, padi akan masak dan sedia untuk dituai........


Ini salah satu cara menuai padi pada zaman dulu. Sekarang ni guna jentera. Lepas dituai, padi akan dibawa ke kilang untuk dijual atau di kampung Pak Man ada kilang kecil kepunyaan orang kampung, ambil upah memproses padi untuk jadi beras. Pada masa dulu upahnya untuk satu tin minyak tanah(sukatan)padi ialah 50 sen. Kalau kita bawa seguni padi untuk dimesin, kita akan dapat setengah guni beras.....




Kisah ambo tanam padi

Anak-anak kenal tak apa nama benda ni? Ini namanya 'tenggala' atau orang kampung Pak Man panggil 'hnolak'. Guna nya untuk membajak sawah, Tenggala ni akan ditarik oleh lembu, samada se ekor(kalau jantan) atau dua ekor(kalau betina). Matanya yang tajam kat bawah tu akan menggemburkan tanah.
Masa kecik dulu Pak Man pernah diajar oleh ayah Pak Man cara guna benda ni. Kita pegang pada hujungnya. Lembu akan tarik. Antara arahan-arahan kepada lembu ialah; Hih ! Hih ! (maksudnya 'jalan' atau 'go'). Cha! Cha! (maksudnya 'kanan' atau 'right'). No! No! (maksudnya 'kiri' atau 'left').

Selepas siap guna tenggala, kita akan guna 'bajak sikat' atau 'geghat'(gerat). Benda ni pun akan ditarik oleh lembu juga. Gunanya untuk melumatkan lagi tanah tadi. Menghancurkan lagi rumput-rampai dan memberi ruang untuk udara masuk kedalam tanah.(itu ayah Pak Man yang cakap).



Semasa proses pusing keliling dalam sawah itu, kalau anak-anak nak naik atas 'geghat' ini pun boleh. Pak Man dulu naik duduk 'ccokoh' atas tu...hehehe..(berangan naik kereta lah tu!). Ayah Pak Man kontrol dari belakang...cha! cha!...no! no!...hih! hih!...sampailah siap satu sawah tu menjadi lumat tanahnya dan sedia untuk ditanam padi(ccedong).
Sekarang ni tinggal kenangan saja, benda tu dah tak ada lagi...dah masuk muzium. Bukan saja budak bandar, tapi budak kampung pun tak kenal lagi dengan benda ni....
Sekian lah dulu 'kisah ambo tanam padi'


Wednesday, December 24, 2008

Pulut gaul nyor


Masa kecik dulu Pak Man memang suka makan pulut gaul nyor berlaukkan ikan kering atau ikan goreng atau ikan rebus. Minuman kegemaran Pak Man ialah teh 'o'(itu saja yang mampu).
Sekarang ni tak boleh makan selalu pulut ni....angin lah....sakit urat lah....macam-macam.
Satu jenis lagi pulut yang Pak Man suka ialah 'nasi manis'. Kalau campur sedikit isi durian semasa proses memasaknya lagi sedap.

Tuesday, December 23, 2008

Barang penting masa kenduri


Selepas Raya Haji hari tu sampai sekarang ni, tak putus-putus Pak Man dapat jemputan kenduri kahwin. Di Kelantan dua tiga minggu lepas, sedara-mara kahwin, di Raub ni pulak bekas anak murid kahwin, kawan-kawan kahwinkan anak, 27 Dis ni pak sedara Pak Man yang tinggal di Bangi Golf Resort nak menyambut menantu.
Dalam setiap jamuan kenduri yang kita hadiri, barang yang paling penting sebelum kita makan ialah benda merah tu. Kalau di Kampung Pak Man orang panggil 'bekas basuh tangan'. Ada satu tempat yang Pak Man pergi tu Pak Man ada terdengar seorang warga mas panggil 'ketor'. Lain tempat lain pula namanya.
Pernah juga Pak Man jumpa di satu tempat kenduri, disediakan air dalam baldi dengan satu gayung. Lagi puas cuci tangan dengan gayung......tapi ini di kampung la, kalau di bandar mungkin tak ada. Orang kampung simple saja.

Sunday, December 21, 2008

Kalau singgah masjid hulurlah RM sikit!

Pagi tadi Pak Man pergi Pasar Minggu, dekat dengan masjid. Penuh tempat parking dalam pagar masjid. Bagus...bertambahlah isi tabung masjid. Satu kereta bayar RM1.00, tapi ada yang bagi lebih. Pak Man tanya orang yang kutip duit tu,"kalau hari minggu berapa dapat?"
Dia jawab,"Ada lah RM 400 lebih." Alhamdulillah.....

Ada seorang hambaAllah ni pulak dia cakap macam ni,"Buat apa nak parking kat masjid, hari ni hari minggu, parking kat luar free!"....hai ada jugak....

Kalau hari biasa parking dalam kawasan masjid ni tak ada yang minta duit, jadi ramailah yang parking dan pergi kerja atau pergi kedai...kat luar kena bayar.....kisahnya...

Tapi pada pintu pagar ada disediakan tabung derma, sapa nak bagi derma masukkan lah dalam tu. Pada pintu bilik air dan tandas pun ada tabung derma, lepas guna derma lah sikit. Tukang cuci tandas pun nak kena bayar juga. Jangan lah berkira sangat.

Saturday, December 20, 2008

Patin + Tempoyak + Cili api + Bara api

Ikan patin Pak Man beli dari kolam Ustaz Hashim. Dalam kolam nya ada ikan patin dan juga tilapia. Beberapa minggu lepas dah beli tilapia, jadi kali ini patin lah pula. Pak Man nak bakar pula kali ini. Tidak seperti selalu dibuat masak gulai tempoyak.

Caranya mudah saja. Ikan yang telah dibersihkan itu dilumurkan dengan tempoyak yang telah digaulkan dengan cili api yang ditumbuk halus. Dalam perutnya juga dimasukkan tempoyak dan beberapa tangkai daun kesum.

Seterusnya, bungkus dengan daun pisang. Bakarlah di atas bara api. Baunya saja sudah pasti menyelerakan. Makan dengan nasi panas-panas. Fuiiiii.....berpeluh dahi!!!...cubalah!!!!

Thursday, December 18, 2008

Hempedu Bumi Pak Man


Daun hempedu bumi ada lah baik untuk menurunkan tekanan darah tinggi, menurunkan kandungan gula dalam darah, melancarkan perjalanan darah dan melegakan demam. Itu yang Pak Man tahu. Mungkin banyak lagi khasiatnya yang Pak Man tak tahu, harap ada orang yang tahu akan tolong beritahu.
Mak mertua Pak Man ada penyakit darah tinggi, jadi di rumah Pak Man memang ada banyak pokok ini ditanam. Bila darahnya naik(pening), dia akan ambik dua helai daun itu, rendam kan dalam air panas dan minum. Rasanya hoooo pahit sekali. Memang berkesan, peningnya akan hilang.
Pak Man memang tak boleh tahan rasa pahitnya. Jadi Pak Man keringkan daunnya, lepas tu kisar sampai jadi serbuk. Masukkan dalam kapsul. Sehari telan dua biji. Badan rasa segar. Kalau nak beli mungkin mahal. Bila mak mertua nak pergi kemana-mana dia akan bawa beberapa biji sebagai bekal.

Tuesday, December 16, 2008

Nasi berlauk gulai Serati

Nasi kerabu kuning dan biru, gulai ayam kampung, gulai ikan, gulai itik serati, semua ada.

Sudah dua pagi dah Pak Man mengambil tugas pergi beli sarapan pagi di Bachok. Anak-anak suka nasi berlauk gulai serati(itik). Chek Pak Man suka 'pulut pagi', mok suka nasi berlauk gulai ikan masin, isteri suka nasi berlauk gulai ayam kampung. Nasi dagang sebungkus kongsi 2 orang, masa tak cukup nak makan semua(kata anak-anak).

'Nasi tumpang'cara bungkusnya mesti tajam macam tu.....

Pak Man cuba perkenalkan 'nasi tumpang' kepada anak-anak, nampaknya mereka tak berapa suka. Orang Kelantan sendiri pun ada yang tak suka, malah ada yang tak berapa kenal dengan 'nasi tumpang'.

Pak Man macam biasalah setiap hari bersarapan dengan dua gulung laksam.


Monday, December 15, 2008

Chek ambo(Ayah ku)

Ada orang memanggilnya ayah, ada yang panggil daddy, abah, papa, baba, apaa dan sebagainya. Ambo memanggilnya 'chek'. Ambo tak tahu bagaimana istilah itu boleh terjadi, tapi ramai jugalah orang kampung ambo yang panggil ayah mereka dengan panggilan itu.

Setelah berpuluh-puluh tahun 'chek ambo' bekerja membanting tulang di kebun untuk membesarkan kami berenam beradik, akhirnya sekarang ni chek ambo dah tinggal tulang dan kulit sahaja.

Selalu sakit-sakit, batuk-batuk dan kerap keluar masuk wad. Dalam telinga ada alat bantuan pendengaran. Usianya dah 80++ tahun. Setiap pagi setelah selesai mengambil sarapan, chek akan duduk di pondok kayu depan rumah yang dibuatnya sendiri. Setiap orang yang lalu akan disapanya,"nok kuano tuh?". Kalau yang naik motor atau kereta chek akan angkat tangan.

Bila tiba waktu sembahyang, chek akan bersiap-siap dan terus ke 'balasah'(surau) dengan motor merahnya. Dulu motornya hitam tapi dah kena curi. Kecewa betul dia, bila bangun pagi nak pergi sembahyang subuh tengok motor dah tak ada. Lepas tu kami adik-beradik belikan dia motor baru. Sekarang ni bila balik dari sembahyang isya' chek akan tolak motor tu masuk ke dapur, simpan dalam rumah.

Friday, December 12, 2008

Masuk kamera dalam perut

Semalam Pak Man gi Hospital, sakit perut, rasa pedih macam gastrik. Jumpa doktor, kebetulan doktor Myanmar.

Pak Man banyak guna bahasa isyarat dari bercakap. Dia faham, alhamdulillah. Dia suruh baring nak buat pemeriksaan. Kena pakai kain, masukkan salur yang ada kamera di hujung nya kedalam mulut.

Dia tunjuk kepada monitor suruh Pak Man tenguk. Nampak keadaan dalam perut, dia kata 'good'. Pak Man lega , dia jolok lagi dalam....'good'. Lagi dalam....'good'. Semua ok nampaknya. Tapi dia jolok lagi dalam...Pak Man rasa lain macam.

Tiba-tiba dia kata, "Eh!...ini kasut saya !...macam mana ada dalam perut awak?"
Pak Man kata, "Doktor, kamera tu dah keluar ikut bawah....you jolok dalam sangat, dah lepas ke bawah katil dah, nampaklah kasut you yang kat bawah tu!"

'Oooo, macam tu ka?"

Wednesday, December 10, 2008

Banjir dan Raya Korban

Mengagih-agihkan daging korban dengan perahu ke rumah mangsa banjir. Semangat 'pengorbanan' betul-betul dapat dihayati. Peristiwa ini berlaku di Rantau Panjang , Kelantan. Semoga kedua-dua belah pihak akan mendapat rahmat dari Allah . Yang penting kita mesti bersyukur!
(Gambar dari Utusan M'sia)



Semangat adik-adik ini perlu menjadi contoh kepada yang lain. Berperahu meredah banjir ke sekolah kerana nak ambil peperiksaan STPM. Gambar dari BH(sebelum Hari Raya). Tempat Rantau Panjang Kelantan. Pak Man cadangkan mereka ni dikecualikan dari kursus PLKN. Bagi Pak Man mereka sudah cukup kuat semangat melawan cabaran dalam hidup. Anak-anak yang lembik dan manja sahaja perlu ikuti PLKN.

Monday, December 8, 2008

Jangan lah buat macam tu


Tuan punya banglo yang runtuh sedang mengangkut barang-barang mereka ke tempat selamat.

Hari ni hari raya korban, tapi ada orang yang buat benda tak baik pada hari ini. Penghuni banglo -banglo Bukit Antarabangsa yang runtuh mula risau kerana sudah ada pencuri yang memasuki rumah mereka yang ditinggalkan itu.

Mereka terpaksa memunggah barang-barang yang penting untuk disimpan di tempat yang selamat. Kenapalah manusia ini tak ada rasa belas kasihan langsung. Mereka tu kan di dalam kesusahan, simpatilah sikit.

Friday, December 5, 2008

Hutang Wajib dibayar

Pak Man tak bercadang nak komen tentang apa yang dikata oleh 'senyum kambing' tu, tapi Pak Man nak ingatkan di sini bahawa setiap hutang itu adalah wajib kita bayar.

Jangan masa nak pinjam semua setuju, tapi bila dah dapat macam-macam alasan pula .......tak nak bayar. Pak Man dah serik dah nak bagi hutang ni. Pak Man dah kena sekali....cukup lah tu.

Selamat Berkorban !!

Thursday, December 4, 2008

Laksam Bangladesh

Gambar ni Pak Man dah lupa dari mana Pak Man dapat. Kepada tuan nya, Pak Man minta halal. (mungkin dari blog Eiyda kot)

Bila semua orang riuh rendah dok bincang pasal 'Laksam Nik dan Eiyda' di blog Pp, Pak Man pun terpanggil nak kongsi sedikit maklumat berkenaan dengan laksam. Pak Man bukan pakar tapi peminat laksam nombor wahid.
Pak Man pernah tulis dulu, tapi mungkin tak semua orang ada baca. Pak Man ada buat sedikit soal selidik tentang laksam ni, tapi sampai sekarang belum tahu lagi dari mana asal-usulnya.
Orang Terengganu kata berasal dari sana, nama nya 'laksang'. Orang Kelantan kata," Dok...namanya 'lakse'. Bukan 'laksang'.
Tapi Pak Man terjumpa satu bukti yang agak munasabah juga, iaitu 'Laksam'....nama sebuah bandar di Bangladesh. Kalau roti canai itu namanya diperoleh dari nama bandar asal roti tersebut iaitu 'Chennai' di India, mungkin juga 'laksam' ini berasal dari Laksam , Bangladesh.
Pak Man ada terima emel dari seseorang yang tidak dikenali , dia tanya,"are you from Laksam , Bangladesh?". Oh ! Pening ambo....

Wednesday, December 3, 2008

Bila tiba bulan 12

Kalau tuan-tuan dan puan-puan pernah tinggal di Pantai Timur, bila tiba bulan 12, hujan tu perkara biasa. Kalau tak hujan mungkin orang di sana risau, pelik pula rasanya. Adakah dunia nak kiamat?.

Pak Man dilahirkan dan dibesarkan di Bachok , di sebuah kampung nelayan. Bila tiba bulan 12 semua nelayan tak turun ke laut. Ini bermakna tiada pendapatan. Hidup mesti diteruskan. Jadi waktu ni lah semua barang kemas anak-isteri akan masuk ke pajak gadai, berehat dalam peti besi. Tapi sekarang Pak Man rasa tak berlaku lagi. Pendapatan nelayan dah tinggi. Ada banyak simpanan.

Bot ditambat di jeti, masa nilah nak baiki apa-apa yang patut. Bot pun nak kena make-up juga.


Pagi tadi Pak Man baca surat khabar, satu kejadian menimpa sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Rhu Renggeh, Marang ...dinding dapurnya runtuh. Bukit belakang dapurnya runtuh lalu merempuh dinding. Berlubang dinding, nampak pokok di luar sana.
Tiga hari lepas, sebuah rumah ranap dirempuh dan ditindih oleh tanah bukit yang runtuh juga di belakang rumah. Ini berlaku di Ulu Yam. Pak Man rasa semua orang di Malaysia ada baca berita tu kan.....dua orang anak meninggal tertimbus semasa sedang tidur.

Tuesday, December 2, 2008

Berita banjir

Pagi tadi Pak Man baca surat khabar, banyak berita banjir, antara nya ialah :

1. 'Banjir di Kelantan ragut dua lagi nyawa' - ibubapa janganlah biarkan anak-anak main air atau pergi menahan jaring. Bahaya tu.

2. '1,909 di pusat pemindahan Terengganu' - kalau dok di pusat pemindahan tu jangan lah banyak sangat merungut. Orang bagi nasi lauk sardin pun ok lah tu......terima kasih aje lah. Lepas makan...erkkkk, alhamdulillah.

3. 'Jumlah mangsa meningkat di Rantau Panjang' - sedih juga nampak mereka pindah dok di kaki lima stesen keretapi. Tapi mereka semua nampaknya tersenyum saja. Tabah betul...

4. 'Peniaga lelong barang Pasar Payang dinaiki air' - semua barang-barang jualan tenggelam. Beras yang basah dilelong RM 1.00/kg. Ada seorang peniaga tu dia sedekah kan semua barang jualan nya kepada orang ramai. Bagus tu, dalam kesusahan begini pun dia masih ingat nak buat pahala.

5. 'Rumah roboh dihanyut arus sungai' - ini di Terengganu, nasib baik semasa peristiwa tu berlaku, tuan rumah berada di Johor. Tiada kemalangan jiwa. Tak dapat Pak Man bayangkan bila dia balik nanti mesti terkejut yang amat.

6. 'UMT tutup dilanda bah' - universiti pun terpaksa ditutup. Jalan masuk terputus.

7. 'Banjir di Pantai Timur kemungkinan berterusan' - Jabatan Meteorologi meramalkan demikian, jadi bersedialah.

Monday, December 1, 2008

Terima kasih kerana bersedekah

Terima kasih diucapkan kepada hamba Allah yang memberi sedikit sumbangan di atas kejayaan dua orang murid SK Semantan Ulu yang telah berjaya mendapat 5A dalam UPSR yang lalu. Penderma itu ialah seorang dari bumi Arab dan seorang dari KL. Mereka kata ini adalah hadiah galakan kepada murid yang berjaya.
Pak Man memang berhajat sangat nak ambil gambar budak berdua tu semasa menerima wang tersebut, tetapi mereka tak nak bergambar kerana malu. Keluarga mereka pun begitu juga.
Terpaksalah Pak Man cari serata tempat, akhirnya dapat juga gambar mereka.


Ini Nur Aqilah bt. Razaman semasa menerima keputusan UPSR daripada Tuan GB. Murid tersenyum, GB pun tersenyum. Tahniah Aqilah !. Aqilah sekeluarga ucapkan jutaan terima kasih kepada hamba Allah yang baik hati itu.
Ini pula Encik Zakaria atau Pak Ya, ayah kepada Nurul Syafinas, anak dapat 5A...senyumlah sikit Pak Ya. Hari-hari terpaksa lewat pergi menoreh kerana terpaksa hantar anak-anak ke sekolah dahulu. Pak Ya juga ucapkan terima kasih kepada hamba Allah tersebut.

Ini rumah Pak Ya, Pak Man mintak Syafinas bergambar di depan rumah ini tapi dia malu ......maka gambar rumahnya saja lah yang dapat. Semoga hamba Allah tersebut dapat bayangkan betapa berterima kasihnya mereka kepada hamba Allah tersebut.


Ini lah dia Syafinas, yang berdiri di tengah-tengah tu. Tinggi orangnya.....semoga dia akan berjaya dalam pelajarannya dan akan dapat mengubah masa depan keluarganya.
Pak Man tak sangka juga yang hasil tulisan Pak Man tentang kejayaan dua murid tersebut mendapat perhatian dari dua orang hamba Allah.
Teringat lagu Herman Tino.....harta bukan milik mu.....untuk mu hanya rezeki....terkurang himpun lagi....terlebih memberi lah....tangan kanan memberi....sorokkan tangan kiri.




Sunday, November 30, 2008

Orang kita mudah lupa(atau memang pelupa)

Hari ni Pak Man nak cakap pasal 'Skim Cepat Kaya'. Sudah berpuluh-puluh dah skim ini datang dan pergi tapi orang Melayu masih tetap percaya dan melaburkan wang dalam skim ini. Minggu lepas ada keluar di akhbar tempatan, 5 orang penganjur skim cepat kaya dihadapkan ke mahkamah Kota Bharu. Semuanya Melayu.

Mereka telah mengambil deposit tanpa lesen yang sah dari pelabur berjumlah RM 36 juta. Wow ! banyak tu....(dengar cerita mereka ni menjanjikan pulangan 30 % seminggu....tak masuk akal. Kalau sebulan dah jadi 120 %, kalau setahun pulangannya 1440 %, mana ada dalam dunia ni pelaburan yang sebagus itu pulangannya.)

Dalam masa setahun-dua ni Pak Man dah terbaca beberapa kes yang seumpama dengan nya. Semuanya melibatkan orang Melayu. Melayu tipu Melayu. Tapi setiap kali muncul skim baru, berduyun-duyunlah orang Melayu melabur. Dapat pulangan dua tiga bulan, lepas tu syarikat tu akan tutup atau tokeynya kena tahan. Tapi tak serik-serik, nak cepat kaya tapi tanpa disedari makin cepat miskin.

Kalau Hang Tuah masih hidup, apa agaknya dia akan cakap ?

Saturday, November 29, 2008

Tanam pisang lagi baik....

Semalam Pak Man pergi ronda satu kampung, mintak beli anak pisang dari orang kampung. Satu pokok harganya 80 sen. Pak Man beli 50 pokok. Niat dihati nak ajar anak jantan berkebun.

Berbagai-bagai jenis pisang ada. Ada pisang sebatu (pisang yang selalu dibuat pisang goreng), ada pisang awak (please ! otak jangan 'biru'), ada pisang nangka dan pisang emas.

Budak-budak ni kena diajar berkebun, kalau tidak mereka ingat semua tu boleh didapati dengan senang saja. Biar mereka tahu bagaimana susahnya pekebun nak hasilkan pisang-pisang yang mereka beli di kedai tu. Semoga akan timbul rasa keinsafan dan bersyukur dalam diri mereka. Wang bukan lah segalanya.

Rasalah sendiri bagaimana susahnya menggali lubang, bagaimana susahnya mencangkul, biar menitik peluh ke bumi. Negara kita dianugerahi dengan tanah yang subur, jangan tenguk saja. Berbudilah kepada tanah, akan ada balasannya nanti...Insya Allah.




Haaa...tenguk ni ! , ini hasilnya usaha Pak Man setahun yang lalu. Sekarang ni tunggu masa nak kena goreng, atau dibuat pengat, atau dimakan begitu saja. Ini pisang nangka , benihnya Pak Man mintak dari kebun Cikgu Rosli. Terima kasih Cikgu Li, nanti Pak Man hantar separuh ke rumah cikgu.


Friday, November 28, 2008

'Putuh Angin'

Salam semua,

Malam ni Pak Man rasa 'putuh angin '(kecewa) , rasa malas nak tulis. Petang tadi banyak sangat yang marah-marah melalui email dan sms , tak puas hati tentang tulisan Pak Man pasal cerita 'anu'. Kopiah yang tak bersalah pun terlibat sama.

Pak Man bukan niat nak cerita benda-benda yang tak senonoh dengan anak-anak. Pak Man tulis dengan niat supaya anak-anak sedar tentang peri pentingnya bahasa kita. Belajar dalam bahasa orang putih ok, Pak Man tak kata tak boleh, boleh...tapi ambil tahu lah sikit 'istilah' dalam bahasa kita.

Kalau ada yang tak puas hati, boleh semak buku Istilah Matematik KBSM keluaran DBP 1989. Buka m/s 84, cari 'anu'....maknanya 'unknown. Pak Man bukan saja-saja nak buat lawak bodoh. Kalau tuan-tuan pernah belajar matematik dalam Bahasa Melayu sebelum ini, mesti pernah terdengar cikgu ajar...tajuk 'Ungkapan Algebra dengan dua anu atau lebih'. Cuma budak sekarang belajar dalam Bahasa Inggeris. tajuknya dah jadi,' Algebraic expressions in two or more unknowns'. Jadi tak pernah timbul lah istilah 'anu' itu.

Pak Man tak berniat langsung nak ajar budak-budak cakap benda tak elok. Terserah kepada yang membaca, kalau otak kita 'biru'...maka yang dibaca itu akan diterjemahkan sebagai 'biru'.

Pak Man sentiasa membaca dengan otak yang putih bersih.

Pak Man minta maaf kepada semua. Pak Man manusia biasa, orang kampung yang selalu bercakap lurus bendul....

Thursday, November 27, 2008

Bukan 'anu' yang itu !

Sekarang ni musim hujan. Hari-hari hujan. Kalau tidak pagi, petang. Kalau tidak petang, malam. Semalam dah ada yang kena pindah di Kuala Lipis.
Seorang penunggang motorsikal berhenti berteduh dari hujan di tepi cucur atap sebuah rumah kampung. Waktu itu dia terdengar seorang ayah sedang mengajar anaknya matematik. Ayahnya mungkin seorang guru.

"Ayah, macam mana nak selesaikan soalan 2y + 3 = 11 , apa yang soalan ini nak sebenarnya?"

"Mula-mula kita mesti tahu yang mana satu 'anu', lepas tu barulah kita selesaikan masalah tersebut. kita kena cari berapa nilai 'anu' tersebut."

"Apa pula ayah ni...melalut sampai ke 'anu' pula.....ini matematik lah ayah.....macam tok mudim pulak nak kena tenguk 'anu'."

" Bukan 'anu' yang dalam seluar kamu tuh !, 'anu' ni dalam Bahasa Melayu, kalau istilah orang putihnya 'unknown'....ni lah kalau terlalu lebih sangat belajar istilah orang putih, istilah bahasa sendiri tak tahu."

"Cikgu di sekolah tak ajar dalam Bahasa Melayu , ayah. Cikgu cakap orang putih. Kalau cakap Melayu kira satu kesalahan."

"Dalam soalan ini, anu nya ialah y...jadi carilah nilai y."

"Baru lah saya faham."

Penunggang motor itu rasa nak ken.....(telah dipadamkan setelah ditegur oleh guru pendidikan moral sebentar tadi....3:00 pm 28/11/08)

Wednesday, November 26, 2008

Dua hari ke hulu dan ke hilir.

Minta maaf semua, dua hari kebelakangan ini, Pak Man sibuk sikit. Semalam Pak Man ke Muadzam Shah(bagi yang tak tahu, Muadzam ni terletak dalam negeri Pahang. Lebih kurang 350 km dari rumah Pak Man.) tujuan ke sana ialah untuk mengambil anak Pak Man yang baru tamat periksa SPM. Barang-barangnya punya lah banyak!

Balik dari sana dah malam. Pagi tadi lepas sarapan, kami sekeluarga terus ke KL. Menziarah adik ipar Pak Man yang akan berangkat ke Tanah Suci. Sehari suntuk di sana. Mereka bertolak ke Kompleks Haji Kelana Jaya pukul 6:00 pm. Pukul 6:30 pm kami bertolak balik. Sepanjang perjalanan hujan lebat. (Pak Man muat 11 orang dalam kereta, anak Pak Man 4, mak mertua 1, isteri 1, Mak Usu dan anak-anak 4. Pak Man tak berani nak tulis di luar kurungan takut orang JPJ baca.) Terima kasih kepada Mr.Toyoda kerana mencipta kereta ini. Untung sungguh!, beli satu kereta tapi muatan nya menyamai 2 buah kereta.

Domo Arigato Mr.Toyoda.

Tuesday, November 25, 2008

Tak Melayu Hilang Di dunia.

Sedang Pak Man menemankan Si Jelita dan Rupawan makan-makan di dalam kebun di pinggir hutan, tiba-tiba keluar seorang tua dari hutan itu.
Badan nya tegap, rambut panjang, janggutnya sampai ke pusat. Berbaju Melayu berbelang-belang.
Terkejut Pak Man , Jelita dan Rupawan selamba saja.
Orang itu bersuara,"Wahai orang muda,(waaa muda lagi rupanya Pak Man nih).Bolehkah hamba tumpang bertanya?"

"Boleh, apa salahnya, tapi tok ni siapa?"

"Hamba bernama Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melaka."

"Oooo, Laksamana Hang Tuah, apa soalan nya datuk nak tanya?"

"Puas hamba mencari dalam peta, di manakah letaknya Tanah Melayu?"

Jelita menyampuk," Di sinilah, tapi namanya dah tukar....dah jadi Malaysia."

"Ini mesti kerja Si Benggali Putih tu....bedebah! , suka hati dia saja nak tukar-tukar"

"Bukan ....orang Melayu juga yang tukarkan tu...masa tu kita dah merdeka." pandai pula Si Jelita ni cakap pasal sejarah tanah air kita.

"Nasib baik Bahasa Melayu masih ada..." Hang Tuah mengurut dada.

Rupawan pula menyampuk,"Bahasa Melayu pun dah bertukar nama."

"APA? dah ditukar nama? apa namanya sekarang?"dia memegang-megang kerisnya. Pak Man dah naik risau.

"Bahasa Malaysia."

"Bagaimana pula dengan Baju Melayu?, dah jadi Baju Malaysia juga kah?". sekarang kerisnya dah dikeluarkan dari sarungnya.

"Yang ini masih belum bertukar nama lagi datuk, tapi tak selalu dipakai, orang pakai bila Hari Raya, hari Jumaat, hari kematian, kenduri kahwin dan majlis akad nikah saja ."kata Rupawan.

"Oh, nasib baik masih belum tukar lagi.....Tak Melayu Hilang Di dunia!." jerit Datuk Laksamana Hang Tuah.

Pak Man pula bersuara,"Datuk Laksamana boleh tunggu sekejap...hamba nak balik rumah ambil kamera, tangkap gambar , masuk blog."orang tua itu senyum dan terus ghaib.


*Peringatan untuk anak-anak yang belum 'baligh'....Baris pertama sampai 'tiba-tiba.......' itu sahaja kisah benar, yang lain-lain adalah rekaan(khayalan )semata.

Monday, November 24, 2008

6 tahun dalam penjara...kisah benar.

Assalamualaikum semua,

Pagi ni Pak Man nak cerita lah sikit kisah masa Pak Man muda-muda dulu.
Bermula tahun 1990 Pak Man dah mula keluar masuk penjara. Mula-mula Penjara Kajang, lepas tu Penjara Pudu. Dalam kedua-dua penjara tersebut Pak Man jumpa macam-macam jenis manusia. Pada masa tu di Penjara Kajang saja ada lebih kurang 40 lawyer (ramai tu...boleh buat 'BAR Council'(ejaannya tak pasti), doktor ada 4 ke 5 orang. Pegawai bank 10 orang lebih.). Ada yang betul-betul lawyer, ada yang ditahan kerana menyamar jadi lawyer.

Salah seorang daripadanya ialah A*** S*** pegawai bank yang menggelapkan wang bank tempat dia bekerja, berjuta-juta RM. Beli kereta mewah berpuluh-puluh buah. Buat pameran di BB Plaza. Sebut saja kereta apa, semua ada. Berita ni heboh satu Malaya. Anak-anak mungkin kecik lagi masa tu. Akhir 80 an dan awal 90 an. Dalam penjara dapat pula kerja opis. Orang lain kerja bengkel kasut, bengkel jahit, bengkel dobi dan sebagainya.

Pak Man juga pernah masuk Penjara Taiping, Pusat Tahanan ISA Kamunting, Penjara Marang, Penjara Kuantan, dan akhir sekali Penjara Penor.

Semua tu sebagai pegawai penjara....bukan sebagai banduan!.

Sunday, November 23, 2008

Pagi esok kertas Biologi

Pagi esok anak Pak Man nak periksa SPM kertas Biologi. Entah kenapa malam ni Pak Man susah nak tidur,

Ya Allah ya tuhan ku, terangkan lah hati anak ku Azrul Amri.
Permudahkan lah segala urusan nya.
Tenangkan lah hati nya.
Kuatkan lah semangat nya dalam menghadapi peperiksaan tersebut.
Hindarilah dia dari melakukan sebarang kesilapan.
Semoga lulus dengan cemerlang.

Sollallahuala sayyidina Muhammad wa'ala aalisayyidina Muhammad,
Subha narobbika izzati amma yasifuun wasalamun alalmursalin walhamdulillahirabbil aalamin.

Amin yaa rabbal aalamin.

Saturday, November 22, 2008

Gear satu.

Petang tadi Pak Man ke kedai motor. Hajat di hati nak belikan motor untuk anak Pak Man yang sedang ambil SPM sekarang ni. Tapi nak tenguk-tenguk lah dulu. Baru boleh pilih. Jenisnya, harganya, warna nya, dan sebagainya.

Kawan Pak Man, Shahrum pernah menasihatkan Pak Man, dia kata anak lelaki ni kita mesti bagi dia pandai bawa motor, bawa kereta, biar dia jadi berani sikit. Jangan terlalu manjakan sangat nanti dia tak pandai nak berdikari. Pak Man terima nasihat dia, jadi mula-mula Pak Man nak beli motor, lepas tu nak hantar dia belajar memandu dan ambil lesen.

Shahrum kata lagi,"Jangan jadi macam satu kisah Tok Batin di Satak (kg.orang asli di Raub), baru beli motor, tak ada sapa yang ajar dia, naik dari Satak ke Raub, 40 km. Sampai di Raub, enjinnya berasap-asap macam nak meletup. Motor jalan terhangguk-hangguk."

"Kenapa jadi macam tu?"

"Ni nak cerita lah ni........dia bawa ke pomen cina, pomen tu tanya, tok naik gear berapa tadi?"

Dia jawab,"gear satu saje!"

"Dari Satak ke Raub tok bawa motor ni, dengan gear satu?.....40 km tuuuuu, jauhnya! kenapa tak masuk gear 2, 3 dan 4?"

"Saya ni orang miskin.....jimat-jimatlah sikit......kalau guna gear satu saje...bila dah rosak , boleh guna gear 2 pulak, bila gear 2 dah rosak, boleh guna gear 3 pulak , akhir sekali kalau 1,2,3 telah rosak, masih ada lagi gear 4. Kalau macam orang bandar, guna gear 1,2,3,dan 4 sekaligus, kalau rosak habislah tak boleh jalan lagi."

Pak Man ketawa, Shahrum lagilah kuat ketawanya. Mungkin dia rasa dia dah berjaya dalam penceritaannya itu. "Dari mana mu dapat cerita nih?" Pak Man tanya, dia jawab,"Tokey cina pomen tu lah yang cerita ....kalau dia tipu....aku tak tahu lah."

Tapi tak apalah, pengajaran nya ialah 'berjimat biar bertempat'.

Kulat/Cendawan/Mushroom

Kulat yang baru keluar, jangan ambik lagi, esok baru boleh, dalam tanah tu ada banyak lagi yang akan keluar. Esok biar dia kembang dulu baru ambik. Itu pesan Opahnya.


Petang semalam Pak Man ronda-ronda tepi pagar sekeliling rumah, periksa kalau-kalau ada lubang baru yang di tebuk oleh 'Ba Alif Ba Ya'. Tak ada nampak nya, tapi rezeki pula yang dapat. Pak Man jumpa kulat baru keluar. Bertahu Opahnya, dia kata jangan ambik lagi , tunggu esok. Esok dia akan keluar 3 kali ganda banyaknya. Pak Man kira ada dalam 10 pokok.(ada orang sebut kuntum). Maknanya pagi esok akan ada 30 pokok. Waaa..banyak tu.

Patut la malam tadi selepas hujan renyai-renyai berhenti, ada kalkatu masuk ke rumah. Itu tandanya esok akan ada kulat yang akan keluar. Teori ini terbukti benar. Opahnya dah hidup 70 tahun lebih dah, dia kata ,tak pernah tak betul petua tu. Mesti ada kulat, pagi esok pergi lah cari.

Orang kampung sini panggil kulat tu ,'Kulat Tahun'....mungkin sebab musimnya setahun sekali. Pak Man agak-agak saja. Mungkin tempat lain, lain pula nama nya.

Friday, November 21, 2008

Hitam Putih

Rumah kami di Sempam , dalam hutan, tak ada jiran, tempat tinggi, aman-damai..... tapi sekali sekala ada monyet datang mengganggu.


Pagi tadi Pak Man pergi melihat-lihat rumah kami yang di Sempam tu, macam biasalah, kami kena cuci benda hitam putih yang banyak bergolek sana-sini dalam rumah. Bendanya sebesar butir beras sahaja tapi begitu menyusahkan dan menjijikkan, najis!

Tiga tahun dulu, masa kami tinggal di sini, tiap-tiap malam Pak Man lastik cicak. Tak sempatlah mereka nak melepas. Tapi sekarang ni bebaslah mereka buat macam rumah sendiri. Sana-sini mereka buang....selamba jer.

Bil letriknya tak sampai RM 20, tak payah bayar. Ada tertulis 'dibayar oleh kerajaan'. Best juga macam ni. Hidup Pak Lah.
Pernah sekali terjadi peristiwa , pukul 2:00 am ada pencuri cuba nak pecah masuk rumah Pak Man ni, Mak Jah terjaga. Dia kejutkan Pak Man, "ada bunyi macam orang cungkil pintu dapur".

Pak Man bagi Mak Jah sebotol Ridsect,"pegang ni, kalau dia masuk, sembur betul-betul pada muka. Pak Man akan nyalakan api lighter, jangan terkejut, apinya besar nanti. Biar tebakar rambut dan segala bulu". Lepas tu dalam dia dok kelam kabut tu Pak Man akan ketuk kepala dia dengan parang. Itu perancangan Pak Man. Mak Jah setuju.

Kami ke pintu dapur, memang ada bunyi pintu sedang diumpil. Tiba-tiba pintu terbuka......belum sempat nampak muka pencuri tu, Mak Jah dah bertempik, Pak Man terkejut dan terus menjerit sama. Rupa-rupanya pencuri tu pun terkejut. Dia pun menjerit sama dan terus lari.

Pak Man buka lampu pagar, terus ke depan. Tak ada......mana dia pergi?. Buka semua lampu, tak nampak batang hidung pun. Selepas satu jam menunggu, kami pun tidur.

Bangun pagi esok, periksa seluruh kawasan rumah, rupa-rupanya pagar di belakang kena potong. Luas lubangnya, patutlah senang dia lari keluar. Ada kesan tapak kaki, besar juga. Saiz 8.

Report polis, polis kata ini orang baru belajar. Dengar orang bertempik dah lari. (Pak Man beritahu polis Mak Jah bertempik....Pak Man tidak!)

Wednesday, November 19, 2008

Bersama Jelita dan Rupawan

Kalau cuti sekolah, bukan budak-budak saja yang gembira, kami pun gembira. Pak Man ada banyak masa lapang. Dapatlah dia bawa kami makan di luar."Makan ! makan ! tambah lagi...jangan risau..hari ni Pak Man belanja."kata Jelita kepada Rupawan.


Hai kawan-kawan!..saya lah Jelita yang Pak Man selalu cerita pada kawan-kawan tu....selamat berkenalan !.

Pagi tadi Pak Man tak ada nak buat apa...jadi Pak Man lepaskan Jelita dan Rupawan meragut di luar pagar. Pak Man kena pantau selalu kerana mereka berdua ni suka makan pokok lada, daun kesum, daun kunyit dan lain-lain pokok ulam yang ada di sekitar rumah. Pokok ubi kayu yang baru tanam tu pun habis dimakan mereka nanti.


Hai kawan-kawan !..saya lah Rupawan.....bulan November ni Pak Man kata bulan kami berdua dilahirkan. Jadi hari ni Pak Man belanja kami makan di luar.....terima kasih Pak Man.

Bagi mereka makan puas-puas kerana petang nanti Rahim nak datang potong rumput. Esok tak leh makan di luar lagi. Dalam pagar tu pun cukup makanan untuk mereka berdua, tapi sekali-sekala bagi peluang kepada mereka makan di luar. Gembira nampaknya mereka berdua. Senyum kambing nampaknya.....

Seminggu dua lagi Pak Man nak bawa balik kambing jantan dari kandang Rahim, Pak Man dah beli, cuma tunggu masa nak bawa balik. Bersedialah wahai Jelita dan Rupawan !

Kalau tak ada aral melintang , 6 bulan lagi bertambah lah bilangan kambing Pak Man.

Dalam banyak-banyak sunah Nabi Muhammad s.a.w ini lah yang mampu Pak Man buat.
Menternak kambing. Ada orang simpan janggut, ada orang menjadi pendakwah, berniaga, menunggang kuda dan sebagainya. Itu semua sunah Nabi.

Tuesday, November 18, 2008

Pukul empat pagi.

Baru sebentar tadi Pak Man baca blog kawan Pak Man, Fudzail dari Dubai. Cerita orang di sana terpaksa bangun pukul 4 pagi nak pergi kerja. Lebuhraya 14 lorong pun tak dapat menampung kenderaan orang di sana. Hoiii, tak dapat Pak Man bayangkan betapa berserabutnya hidup dalam keadaan macam tu.(nak baca lebih lanjut boleh klik pada nama Fudzail di sebelah).

Masa Pak Man kecil dulu, orang kampung Pak Man memang bangun pukul 4 pagi nak pergi ke laut. Kedai kopi dah buka pada masa tu. Mereka akan bersarapan dan beli bekal untuk dibawa ke laut. Sembahyang subuh dalam sampan. Terhoyong-hayang. Macam mana lah...Pak Man tak pernah alami. Bayangkan kalau tengah nak ruku' tiba-tiba datang ombak besar terus sujud jadinya. Macam mana tu ustaz?......kena mula dari awal balik ke?

Sekarang ni Pak Man tinggal di Raub. Pak Man dengar ada orang pergi menoreh pukul 2 pagi. Itu masa getah mahal dulu lah...
Ada seorang ustaz, pergi menoreh pukul 4 pagi. Pukul 6 pagi, balik. Sembahyang subuh dan pergi sekolah. Lumayan!...gaji tak usik pun. Belanja hari-hari guna duit jual getah aje.

Masa Pak Man berniaga kelapa dulu, Pak Man balik ambil kelapa di kampung 2 minggu sekali. Bertolak dari Bachok pukul 4 pagi. Sampai Gua Musang pukul 6:30 pagi. Sembahyang subuh, minum pagi dan teruskan perjalanan. Sampai di Raub pukul 10:00 pagi.

Sekarang ni tak mampu lagi nak buat macam tu. Kalau terdesak , terpaksalah buat juga.

Berehat di Sempam

Pagi tadi setelah hantar Mak Jah ke sekolah kerana dia bertugas, nak uruskan murid-murid yang ambil kertas Add Math. SPM, Pak Man ke bengkel kereta. Hantar servis kereta Pak Man yang dah banyak kali berjalan jauh dalam bulan ni. Lagi dua minggu nak ambil Azrul. Lepas tu nak gi KL pula. Mama dan Daddy Alfateh nak gi Mekah.

Itu belum kira perjalanan balik Kelantan lagi. Nampak gaya nya tayar nak kena tukar juga. Harga getah makin murah, tapi harga tayar makin naik. Barang kita demo beli murah, barang demo nak jual mahal. Bengong!

Lepas tu Pak Man ke rumah kami di Sempam. Macam biasalah tenguk-tenguk saja. Pak Man ada dengar ustaz beri ceramah, rumah kita jangan tinggalkan kosong lebih dari 40 hari. Kalau lebih 40 hari nanti ada makhluk halus yang akan duduk. Pak Man buka pintu, buka tingkap, bagi udara bersih masuk.

Lepas tu Pak Man pasang kaset ayat-ayat suci Al-qur'an. Dalam hadis ada sebut, iblis sendiri mengaku dengan Nabi Muhammad s.a.w yang mana iblis akan menjadi cair seperti timah dibakar dengan api bila terdengar bacaan ayat-ayat suci Al-qur'an. Kadang-kadang Pak Man baca Yaasin....

Sambil dengar bacaan ayat-ayat suci, Pak Man melayari internet.

"Wah , ada 2 mesej yang belum dibaca". Pak Man terus baca. Satu dari Zolkiffli Sulong(ExTIKuantan8081) dan satu lagi dari Fudzail Dubai (juga ExTIKuantan8081).

Zol mengirimkan kisah iblis dengan Nabi Muhammad s.a.w. panjang ceritanya. Di sini Pak Man nak kongsi sedikit dengan anak-anak.

Hadis diriwayatkan oleh Mu'adz bin Jabal r.a dari Ibnu Abbas r.a
Kisah iblis yang mendatangi Rasulullah s.a.w dalam satu majlis, dalam banyak-banyak dialog tersebut Pak Man nak ketengahkan dialog di bawah;

Rasulullah s.a.w : Wahai iblis, siapa teman duduk mu?
Iblis : Orang-orang yang suka makan riba.

Rasulullah s.a.w : Siapa teman dekat mu?
Iblis : Orang yang berzina.

Rasulullah s.a.w : Siapa teman tidur mu?
Iblis : Orang yang mabuk.

Rasulullah s.a.w : Siapa tamu mu?
Iblis : Pencuri.

Rasulullah s.a.w : Siapa utusan mu?
Iblis : Tukang sihir.

Rasulullah s.a.w : Apa yang menyenangkan pandangan mata mu?
Iblis : Orang yang bersumpah dengan talak.

Rasulullah s.a.w : Siapa kekasih mu?
Iblis : Orang yang meninggalkan solat Jumaat.

Tiba-tiba h/p Pak Man bergetar dan lagu anok tupa berkumandang......ado seko anok tupa...

Pak Man jawab panggilan tu,"Assalamualaikum."

Orang di sana jawab,"Waalaikum mussalam, abang Othman, ni Kak Long Zaidah anak Teh ni.." cemas saja bunyi nya.

"Ya, ada apa?"

"Abang Othman ada tak nota pasal Numerical Method?, saya tak faham lah, orang yang bagi lecture tu pun bukan ajar sangat. Langsung tak faham. Bulan depan nak exam."

"Nantilah saya cari, maklumlah ada kawan-kawan yang pinjam, ada yang hantar balik, ada yang buat harta terus, nantilah saya cari."

"kalau ada soalan-soalan kuiz ke ...bagilah sekali."

"Insya Allah....kalau ada nanti saya bagi tahu."

"terima kasih, sori ya, mengganggu."

"Tak apa.."

Jadi sekarang ni Pak Man nak pergi cari nota-nota tu. Berhenti dulu di sini.

Terima kasih Zol.

Racun pun mahal

Dua hari lepas Pak Man ke kedai barang pertanian di Raub. Nak beli racun. Terkejut betul Pak Man tenguk harganya naik berlipat kali ganda. Kalau hasil pertanian harganya naik macam tu juga tak apalah. Tapi realiti nya harga getah jatuh berlipat-lipat. Harga kelapa sawit jatuh berdebuk-debuk.

Kos menguruskan ladang naik mencanak-canak, harga hasil pertanian jatuh merudum. Tekanan darah tinggi petani turut naik mencanak-canak.
Kesimpulannya, tekanan darah tinggi petani adalah berkadar songsang dengan harga hasil pertanian dan berkadar terus dengan harga racun rumpai.
Ini belum diajar lagi dalam mana-mana sekolah ekonomi. Ini penemuan baru oleh Pak Man.

Satu lagi yang Pak Man dapat kesan ialah penurunan kes bunuh diri dengan cara meminum racun rumpai. Agaknya orang dah tak mampu lagi nak bunuh diri dengan racun rumpai, kosnya dah meningkat. Kesimpulannya, kes bunuh diri dengan cara meminum racun rumpai adalah berkadar songsang dengan harga racun.

Monday, November 17, 2008

Saya nak pinggan kamu pula

Tulisan ini Pak Man petik dari Sinar Harian, Ahad 16 November 2008. Dalam ruangan 'yang tersurat yang tersirat' oleh Muhamad Mat Yakim.

Saya sedang duduk makan nasi dengan pinggan yang penuh berisi lauk-pauk dan sayur. Segala isi pinggan itu tiada yang kurang, maka saya pun makan dengan cukup berselera. Saya yakin dan tidak bimbang apa-apa.
Tiba-tiba datang seorang kawan. Sebagai seorang yang biasa bersikap baik hati dan berasa cukup dengan apa yang dimiliki, saya mempelawa kawan itu makan tanpa sebarang rasa curiga.
Mula-mula kami berkongsi nasi. Dia ucap terima kasih. Lepas tu dia kata,"Hai, tak kan nasi saja , bagilah sayur sikit."

Saya bagi sayur. Saya tak kisah kerana masih ada lagi ayam goreng.Lepas tu dia kata lagi,"Minta ayam goreng sikit."
Saya dah mula rasa terganggu. Selera saya tiba-tiba sahaja terencat. Dia kata,"Sedikit saja..nak rasa je."
Lama-lama naluri baik hati saya akur dan saya berikan dia sedikit ayam goreng. Kawan tadi tambah berselera. Dalam keadaan sudah terlanjur memberi, saya rasa sudah tidak mampu lagi mempertahankan ayam goreng yang sememangnya menjadi pembuka selera saya.

Dalam keadaan saya menyuap nasi dengan selera yang tidak sepenuhnya, tiba-tiba kawan tadi bersuara lagi,"Nasi sudah dapat, sayur sudah dapat, ayam goreng pun sudah dapat, tapi saya tak puas hati lagi. Sekarang saya nak pinggan kamu pula." (Pak Man ringkaskan sedikit cerita itu)

Sekadar untuk renungan.

Cuti...semua benda boleh buat.

Macam biasalah bila cuti sekolah, bukan murid aje yang suka, cikgu pun sama. Bagi Pak Man banyak kerja dalam senarai menunggu. Pagi ni Pak Man nak ke rumah yang di Sempam, dah janji dengan Rahim nak menebas dan meracun.

Malam tadi dah jalankan 'operasi tikus'. Tahan perangkap, kena dua ekor. Dua perangkap kena dua-dua. Nampak gaya kena tambah lagi perangkap tikus ni.

Benih pisang dah order tapi belum dihantar lagi. Nak tanam keliling rumah. Sekarang ni tengah cari benih nanas. Semalam tanya makcik-makcik Kelantan yang berjual di pasar minggu, mereka semua kata,"Tak dok , Awe! , mok cik raso tak dok ore tane lanas di Raub nih."

Di Kelantan memang banyak, tapi jauh sangat. Pak Man cuma nak dalam 100 pokok je, tak berbaloi kalau semata-mata balik kerana nak beli benih nanas. Mungkin bila balik kampung nanti Pak Man akan cuba dapatkan sikit. Tak boleh nak beli banyak kerana beg pakaian kami sekeluarga pun dah penuh kereta.

Di sekolah ada dua tiga orang cikgu buat projek'mural'. Mereka tangguhkan balik kampung lewat seminggu. Mungkin ada budak-budak datang menolong. Sayang sungguh mereka dengan sekolah tu. Mereka kata kita mahu apa yang ada di sekolah bandar, semua ada di sekolah kita.

"Cikgu yang ada blog pun kita ada", kata mereka. Sejak Pak Man promosikan blog di sekolah tu, mereka dah mula mengikuti blog Pak Man dan blog kawan Pak Man, Fudzail. Seronok !...mereka kata. Blog-blog lain tu pandailah mereka cari sendiri. Cikgu Fandi, Cikgu Rozana dan Cikgu Ummie dah ada blog sendiri. Mula-mula Pak Man tunjukkan, lepas tu mereka pandailah tambah sana-tambah sini. Orang muda, lagi terkehadapan dari Pak Man. Mereka bertiga ni jadi 'follower'kepada blog Pak Man.

Bercakap pasal SK Semantan Ulu ni, pada Sabtu yang lalu, ada seorang pembaca blog Pak Man (dari KL)bagi RM 100 untuk di agihkan kepada budak dua orang yang dapat 5A tu. Dapatlah mereka RM 50 seorang. Akan Pak Man hantarkan ke rumah mereka nanti. Terima kasihlah kepada hamba Allah yang sudi bersedekah itu. Semoga Allah akan memberi balasan yang berlipat kali ganda di dunia dan di akhirat. Amin yaa rabbal aalamin.

Semalam Rahim tanya bila Pak Man nak ambil kambing dia yang sepasang tu?. Pak Man kata nantilah tunggu kandang siap. Pak Man beli sepasang anak kambing dari Rahim. Nama-nama mereka Pak Man dah siap pilih dah. Tunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.

Pelancaran nama-nama itu akan di buat di blog Pak Man. Tungguuuuu....

Sunday, November 16, 2008

Pak Cik klik next,next,next.....

Dari pagi tadi lagi Pak Man tak boleh nak sambung internet. Alat broadband tu ada masalah agaknya. Pak Man agak-agak aje lah. Sebab yang sebenarnya, tak tahu.

Malam baru dapat sambungan. Nampak gaya nya nak kena pergi tanya dengan budak yang kerja di kedai Celcom tu. Dulu dia kata kalau ada masalah pak cik datang tanya saya.

Pak Man teringat masa nak beli benda tu dulu,"Adik, pakcik nak tanya sikit".

"Apa dia pak cik?"

"Pak cik nak beli benda yang boleh sambung internet tu, ada ke jual?"

"Oooo, benda tu, namanya broadband, pak cik sendiri ke nak guna?"

"Ya, pak cik sendiri lah.....apa nama nya tadi broad van?"(Pak Man buat-buat tak tahu)

"Bukan van...band...broadband. Pak cik tahu ke guna nih?"(berkerut dahi).Lepas tu dia pun cakap dengan kawan dia,"Engkau teranglah kepada pak cik ni, aku nak ke tandas jap."

Agaknya budak tu ingat Pak Man main-main, maklumlah orang tua pakai baju Pagoda. Mana tahu guna internet. Ada 3 orang pelanggan dalam kedai tu, semua memandang Pak Man sambil tersenyum. Pak Man buat selamba...lakonan makin real. Budak tu keluarkan alat tersebut dan tunjuk kan kepada Pak Man.

"Pak cik kena cucuk benda ni kat belakang komputer, pada tempat dia...jangan tempat lain."

"USB port ke?"

"A-ah USB port...ooooi pak cik tahu rupanya!"

"Agak-agak je!...tadi adik kata cucuk kat belakang, tapi komputer pak cik tak ada tempat cucuk tu kat belakang, macam mana?"

"Ehhhh....mesti ada!...cuba pak cik tenguk ni." dia tunjukkan komputer pada Pak Man.

"Komputer pak cik macam ni kan?"

"Tak..bukan macam ni...pakcik punya boleh lipat-lipat."

"Ooooo..cakap lah Lap top....yang itu namanya lap top." sambil tunjuk ke arah lap top.

"Pak Cik punya ke anak pak cik yang punya?" dia tak percaya.

"Pak Cik punya......mak cik pun ada juga satu!" Sekali lagi pelanggan yang tiga orang tadi menoleh ke arah Pak Man. Agaknya mereka kata dalam hati...tak betul agaknya orang tua ni.

"Macam ni lah kita ringkaskan cerita, berapa harganya?.....kalau lagi banyak tanya ,lagi pelik orang dengar."

"RM 499.00......bulan-bulan pak cik kena bayar RM 68.00..macam mana boleh?" sekali lagi yang 3 orang tu menoleh dengan penuh saspen.

"Boleh...." Pak Man keluarkan duit dan bayar."Nanti dulu Pak Cik, biar saya tulis resit dulu."

Lepas bayar, budak tadi ada sedikit pesanan lagi,"Sebelum guna pak cik kena install dulu."

"Apa tu?"

"Senang saja..pak cik klik next,next, next..saja."

"Kalau next,next, next, bila nak habis?...tak ada ke... finish?"

"Oh ya...akhir sekali pak cik klik finish.....pak cik ni macam dah tahuuuu je.."

"Pak cik agak-agak je.."

Tapi bila nak isi borang barulah dia tahu kerja Pak Man. "Patutlah lah pak cik tahu semuaaaaa...pakcik mainkan saya ya?"

Bila Pak Man toleh ke belakang, eh! orang yang 3 orang tadi dah tak ada. Ajaib!

Maaf, semalam tak menulis

Pak Man nak minta maaf kepada semua kerana semalam tak berkesempatan nak tulis apa-apa. Pagi semalam(Sabtu) Pak Man pergi KL ambil Mak Jah balik dari kursus. Macam biasalah, Pak Man pergi rumah Alfateh dulu, kemudian daddy Alfateh ajak Pak Man pergi ambil Alfateh balik dari kelas B.Inggeris di British Council. Lepas tu terus ke Hotel tempat Mak Jah berkursus. Sampai tepat-tepat pada waktu. Pandai betul daddy nya mengagak.

Lepas tu balik ke rumah Alfateh semula. Lepas makan kami bertolak balik ke Raub. Sampai di Raub lebih kurang pukul 3:00 pm. Singgah di kedai beli barang dapur.

Sampai rumah, rasa letih betul. Ya lah penat yang sehari sebelum tu belum habis lagi. Badan dah tak kuat lagi. Pak Man tabik lah kepada pemandu bas ekspress dan pemandu lori. Mereka nampak macam tak letih langsung kalau bawa lori 5 atau 6 jam , selamba je.

Malam tidur awal. Biasanya mesti berdengkur........badan penat.

Pagi lepas sarapan ,pergi pasar minggu. Macam biasalah, beli ikan, sayur, bawang, lada , .........senarai berjela-jela. Mahal betul barang makan sekarang ni. Masa harga minyak mula-mula naik dulu, harga barang ikut naik. Harga minyak dah tiga kali turun, tapi harga barang tak turun-turun. Di pasaraya besar-besar adalah dengar khabar harga turun. Itu orang bandar sajalah yang merasa. Orang kampung macam Pak Man ni...melopong!!!!!

Friday, November 14, 2008

Baru sampai dari Kuantan

Baru sekejap tadi (9:30pm) Pak Man sampai di rumah, lepas makan rehat sekejap tapi tak tertahan-tahan rasa nak buka tenguk blog.
Lepas sekolah tadi Pak Man terus ke Kuantan ambil anak di MRSM kuantan. Masa balik tadi hujan sekejap-sekejap, Pak Man memang tak berapa nampak malam-malam, tambah-tambah kalau hujan. Merayaplah bawa kereta, macam orang tua(memang dah tua pun).

Pagi esok Pak Man nak ke KL pula ambil Mak Jah balik dari kursus. Sudah genaplah seminggu Pak Man jadi bapa tunggal. Esok hidup Pak Man akan kembali normal.

Nak cerita sikit pasal di sekolah tadi, sebelum balik semua guru-guru dijemput ke kantin. Ada jamuan , makan tengahari. Lauk gulai nangka, ikan masin, ulam-ulam, sambal, sayur goreng campur tempe, gulai ayam, ayam goreng dan telur asin(orang kampung Pak Man kata'telur jeruk'). Air oren dan ada ais krim.
Oleh kerana nak cepat, Pak Man makan saja, lepas makan terus balik. Lupa pula nak tanya sapa yang belanja. Esok kena telefon ustaz, tanya sapa belanja. Nak ucap terima kasih. Sehari dua ni rezeki memang murah. Alhamdulillah.

Pagi tadi bapa Syafinas(salah seorang budak yang dapat 5A) datang jumpa ustaz, dia kata kalau anaknya dapat sekolah asrama penuh yang jauh-jauh tak mampulah dia nak menghantarnya. Kalau boleh biarlah dapat Sek.Men. Sains Raub saja.(ustaz memang tempat ibubapa mengadu hal kalau ada sebarang masalah).

Pak Man dengar dari jauh(curi-curi dengar), dalam hati rasa kesian pula, tapi nak buat macam mana. Hanya mampu berdoa.

Zaman sekarang kabel masih penting lagi........wireless tak laku!

Pagi yang ceria

Pagi ini Pak Man rasa begitu senang hati. Dalam perjalanan ke sekolah, bila masuk saja ke simpang kg.Semantan, orang kampung yang ada di tepi-tepi jalan semua nya mengangkat tangan, ada yang mengangguk-angguk kepala, ada yang menunjukkan isyarat'bagus'.
Wah ...begitu sekali kesan nya. Mungkin berita 2 orang pelajar mendapat 5A telah tersebar ke seluruh kampung.
Ada yang sedang minum di kedai kopi, melambai sambil menunjukkan isyarat 'ajak minum'. Yang naik motorsikal membunyikan hon. Ohhh..terharunya.
Ini makin menaikkan lagi semangat Pak Man. Perjuangan untuk mendidik anak bangsa di pedalaman ini akan Pak Man teruskan selagi terdaya.
Semoga Allah kurniakan kami semua dengan kesihatan yang baik.

Thursday, November 13, 2008

Gambar Hari Anugerah Kecemerlangan

Murid-murid Pra-sekolah bersama dengan guru-guru mereka di hari graduasi, senyum....senyum..


Persembahan murid Tahun6 dan murid Pra-sekolah, tarian ala pop yeh-yeh 60 an.


Ibubapa menjamu selera selepas upacara penyampaian hadiah. Inilah rezeki kita pada hari ini.



Persembahan tarian oleh murid Pra-sekolah. Joget Kelantan......rajin cikgunya mengajar.



Cenderahati dari pihak sekolah untuk Pengurus Bank Rakyat Cawangan Raub. Terima kasih daun keladi.
Sebentar tadi Pak Man mendapat berita dari kawan Pak Man di Dubai. Beliau mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar kami yang berjaya mendapat 5A. Beliau akan mengirimkan sejumlah wang untuk setiap seorang pelajar tersebut sebagai hadiah galakan. Terima kasih banyak-banyak sahabat!
Semoga Allah membalas jasa baik sahabat itu dengan menganugerahi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin yaa rabbal aalaamin.
Gunung Daik nampak berbayang,
Orang baik Allah sayang.