Maut tersusuk buluh bendera parti
MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
12 April 2013
Nor Fatihah
(kanan) yang menunggu di Hospital Mersing tidak dapat menahan kesedihan
selepas suaminya itu disahkan meninggal dunia.
Sofian Iskandar Suharto
ROMPIN – Belum pun sempat melelapkan mata, Nor Fatihah Abdul Khalid,
25, tergamam apabila melihat suaminya yang baru pulang berlumuran darah
selepas dikatakan tertusuk buluh bendera parti politik sebaik saja tiba
di rumahnya di Kampung Salang, Pulau Tioman, awal pagi, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa, Sofian Iskandar Suharto, 27,
dikatakan tertusuk buluh bendera di bahagian leher sewaktu menunggang
motosikal untuk pulang ke rumah selepas memeriksa botnya di Jeti Kampung
Salang.
Bagaimanapun, Sofian Iskandar yang mengalami pendarahan teruk di
bahagian leher terpaksa dikejarkan ke Hospital Mersing menaiki bot
ambulans dan disahkan meninggal dunia di hospital itu pada jam 1.40
tengah hari.
Nor Fatihah berkata, sebaik saja suaminya itu sampai di rumah, dia
terkejut apabila pakaian Sofian berlumuran darah sambil kedua-dua
tangannya menutupi leher akibat kesakitan dialami.
“Saya baru hendak tidur, kemudian dikejutkan sepupu yang memberitahu
suami pulang dalam keadaan berlumuran darah dan mengerang kesakitan.
“Saya terus melulu ke arah suami dan membalut lehernya dengan tuala,
tetapi darah masih keluar menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan
orang kampung menghantarnya ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek,” katanya
kepada Sinar Harian.
Menurut Nor Fatihah, suaminya itu tidak banyak bercakap selain hanya
mampu beristighfar dan mengucap sepanjang perjalanan menaiki bot ke
klinik kesihatan itu.
“Dalam keadaan hujan, saya gagahkan diri meminta bantuan orang kampung
untuk menghantar suami ke klinik kesihatan agar dia dapat dirawat segera
memandangkan darah di leher mengalir semakin banyak,” katanya.
Nor Fatihah berkata, bagaimanapun, suaminya diarah untuk mendapatkan
rawatan lanjut di Hospital Mersing memandangkan kecederaan yang
dialaminya serius.
“Hanya doa saja yang dapat saya lakukan ketika itu, selain berharap
supaya suami kembali sembuh, apatah lagi melihat keadaannya yang tidak
bermaya seolah-olah seperti ayam baru kena sembelih,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia reda apabila doktor mengesahkan suaminya
tidak dapat diselamatkan selepas mengalami pendarahan yang teruk.
“Saya terima ketentuan Ilahi kerana ajalnya sudah tiba. Saya hanya
mampu berdoa dan berusaha, kerana semua itu atas kehendak-Nya,” katanya.
“Saya pun rasa pelik, kerana arwah tidak banyak bercakap dan suka
menyendiri, mungkin itu tanda dia akan meninggalkan kami
selama-lamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Jenazah Sofian Iskandar dituntut keluarganya untuk
dibawa ke Pulau Tioman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Salang, selepas Isyak.