Ditembak ketika bersama ibu Anggota forensik polis melakukan siasatan bagi mencari bahan bukti kejadian tembakan di bulatan Taman Billion, Cheras.
 
Kuala Lumpur: Seorang tukang gunting rambut maut selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal ketika berada dalam kereta bersama ibunya di Taman Billion, Cheras, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Karikaalan Rajakuru, 29, dari Taman Puchong Hartamas, Puchong, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dihampiri suspek ketika berhenti di lampu isyarat bulatan Taman Billion.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek yang berhenti di sebelah kanan kereta jenis Nissan Grand Livina milik mangsa melepaskan antara lapan hingga 10 das tembakan di cermin sisi hadapan bahagian pemandu.


Dua das kena dada

Hasil pemeriksaan, dua das tembakan mengena dada dan kepala Karikaalan manakala dua das mengena kaki ibu mangsa yang duduk di sebelahnya.

Siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan pistol semi-auto berikutan penemuan peluru 9mm dalam kereta mangsa dan kawasan berhampiran, katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, mangsa yang dikejarkan ke hospital oleh orang awam disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 tengah hari manakala ibunya yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) .
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat nombor pendaftaran, jenis dan warna motosikal dinaiki suspek, menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.