Tuesday, April 30, 2013

Punca manifesto PR dapat sambutan.

Punca manifesto PR dapat sambutan
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
30 April 2013
wacana siri19
Wan Saiful Wan Jan mempengerusikan Wacana Sinar ke-19 Manifesto PRU13 BN vs PR. Ahli Panel (dari kanan) Dr Maszlee, Dr Shaharuddin dan Dr Mansor.
SHAH ALAM - Manifesto Pakatan Rakyat (PR) lebih diterima rakyat berbanding yang dirangka Barisan Nasional (BN) kerana ia berjaya menyentuh hati mereka termasuk dalam soal hasil mahsul negara yang jelas tidak diagihkan seadilnya.

Menurut Ketua Kluster Etnisiti dan Pekerjaan, Institut Kajian Etnik (Kita), Profesor Dr Mansor Mohd Noor, sebab itu masyarakat lebih dekat dengan manifesto PR yang lebih memahami keperluan mereka.

"Hinggakan jumlah 10 peratus yang kaya ini menguasai 70 peratus harta negara hatta pendapatan negara.

"Jadi kita yang lain-lain ini sengih sahaja," ujar beliau pada siri Wacana Sinar ke-19 yang bertajuk "Manifesto PRU13 Barisan Nasional vs Pakatan Rakyat" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, setakat ini manifesto yang dibentangkan oleh PR juga tidak mampu menyelesaikan masalah utama negara.

"Masalah terbesar kita ialah kita gagal menguruskan kekayaan negara ini. Ini yang saya nampak Umno tidak faham kerana mereka ini parti pemerintah.

"Kedua-dua manifesto ini tidak menguruskan masalah. Ini hanya akan membankrapkan negara kerana akhirnya sumber yang ada ini terhad," ujar Mansor.

Disebabkan inilah ujarnya, kuasa rakyat begitu penting dalam menentukan kekayaan negara bukan hanya diagihkan kepada rakyat, namun pada masa yang sama digunakan bagi tujuan pembangunan negara.

"Kita sekarang ini hanya membazirkan sumber kita. Bagi saya kedua-dua pihak terlibat. Inilah yang menyebabkan kuasa rakyat lebih utama.

"Saya lebih yakin dengan kebijakan rakyat. Kita rugi sebenarnya kerana tidak tahu penyakit kita. Kita tak boleh biarkan yang kaya dan akhirnya rakyat menderita," ulas beliau lagi.

Minggu lalu, Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaysia (Umcedel) yang berkongsi hasil kajiannya menunjukkan manifesto PR lebih memenuhi harapan rakyat berbanding manifesto BN.

Dalam kajian terhadap 1,407 responden pengundi berdaftar yang dibuat pusat kajian itu, 42 peratus dari mereka bersetuju terhadap manifesto PR dan hanya 36 peratus bersetuju dengan manifesto BN manakala 22 peratus memilih tidak pasti.

Kajian tersebut dijalankan bermula pada 3 April iaitu hari pembubaran Parlimen sehingga ke hari penamaan calon pada 20 April.

Antara tawaran paling memberi kesan kepada pengundi adalah tawaran penurunan harga minyak yang dijanjikan Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai pentadbiran negara.

Tawaran lain yang turut disokong pengundi termasuklah menghapuskan tol, menurunkan harga kereta, penurunan caj elektrik dan harga air lebih rendah, penghapusan PTPTN, pemberian permit teksi individu serta gaji minimum.

No comments: