Thursday, October 9, 2008

Half-baked Idea

(Ini adalah pendapat peribadi Pak Man, kalau ada yang tak setuju tak apa, Pak Man tak kata pendapat ini betul 100%, tapi fikir-fikirkan lah)

Masa Pak Man mula-mula belajar menulis, membaca, dan mengira dalam darjah satu (1971)di SK Badak, satu kelas tu belum tahu membaca lagi. Kami sama-sama mula mengenal huruf pada waktu yang sama. Tak ada yang dah kenal huruf, tak ada yang dah kenal nombor, jauh sekali lah yang dah boleh membaca.

Kami sama-sama menyebut huruf yang di ajar oleh cikgu(Hjh.Azizah Hj.Yatim), A….B…..C….bergema satu kelas, sampai keluar pagar boleh dengar. Selepas itu tulis dalam buku garis tiga. Huruf kecil dan huruf besar. Minggu seterusnya , pelajaran makin tinggi. BA….BI….BU….BE….BE(tanda)…BO..sebut sama-sama dan tulis dalam buku garis tiga.

Ilmu Hisab pun begitulah, kami sama-sama mengenal nombor, sama-sama belajar mengira (campur, tolak , kali, dan bahagi). Tulis dalam buku petak besar. Gemulah Cikgu Mohammad Omar yang ajar kami. Bila dapat belajar sesuatu yang baru, kami rasa seronok sangat.

Ini amat kontras sekali dengan apa yang Pak Man perhatikan sekarang. Bila cikgu nak perkenalkan ABC… setengah daripada murid akan buat tak tahu saja. Ada lah dua tiga orang yang nak dengar. Yang lain tu cakap, “saya dah tahu cikgu”. Cikgu pun ajarlah murid yang belum tahu lagi tu. Biarkan yang dah tahu dengan aktiviti bebas. Nampak tak ada semangat ‘bersatu’atau ‘berpasukan’ seperti zaman Pak Man dulu. Sama-sama sebut, sama-sama tulis.

Kalau sekali pandang nampak kerja cikgu sekarang lagi senang , tapi kalau dua kali pandang nampak susah pula. Terpaksa merancang aktiviti berbeza untuk dua atau tiga tahap murid yang berbeza.

Murid yang dah pandai akan pandang rendah kepada yang masih baru nak belajar. Sebenarnya yang baru nak belajar tu lah yang betul. Belajar membaca mesti dimulakan dalam pelajaran tahun satu. Peringkat tadika atau pra-sekolah tu sebenarnya masa untuk belajar bergaul. Kenal huruf dan nombor sikit-sikit tu boleh lah. Maaflah kalau ada yang tak setuju dengan Pak Man.

Kalau dah tahu banyak sangat, nanti masuk tahun satu akan ada masalah. Murid akan rasa bosan, cikgu ajar benda yang dia dah tahu. Mulalah berputik rasa tak hormat guru, besar kepala, pandang rendah kepada kawan, dan otak mula kreatif fikir macam-macam nak memenuhi tuntutan diri yang rasa ‘aku dah tahu semua nya’. Biasanya mereka ini datang dari keluarga yang agak tegap ekonominya. Lagilah dia rasa dia punya segalanya.

Pak Man rasa, biarlah budak tadika tu bermain dahulu, jangan nak paksa mereka supaya pandai membaca sebelum masuk tahun satu. Jangan rampas kebahagiaan zaman kanak-kanak mereka. Cikgu tahun satu ada cara bagaimana nak ajar mereka membaca. Jangan lah berebut nak hantar anak ke tadika yang semua murid keluarannya boleh membaca. (ini pendapat perbadi Pak Man).

Pak Man pernah cakap dengan seorang kenalan(bukan guru) tentang pendapat Pak Man ini, tapi nampaknya orang itu tak setuju. Dia kata,”Cikgu, you tahu tak di Amerika ada cara yang lagi canggih, dia orang berlumba-lumba nak bagi anak cepat pandai. Ada tu, umur 15 tahun dah masuk ‘U’.
“Janganlah you nak cakap idea you yang macam ni, nanti orang ketawa , malu. Orang putih cakap idea yang macam ni, ‘half-baked idea’. "

Pak Man tak berapa jelas dengan maksud perumpamaan Inggeris itu, (perunpamaan ke?)tapi Pak Man lawan juga. “Encik pernah baca tak pasal kesah budak pandai baca semasa umur 3 tahun, dalam tahun 1974. Gempar satu Malaysia. Masuk surat khabar. Jins Shamsuddin ambil budak tu berlakun dalam filem ‘Tiada Esok Bagi Mu’. Tup-tup 23 tahun kemudian keluar pula kesah budak yang sama dalam surat khabar mengatakan yang budak ini sekarang kerja buat roti canai dan ditahan polis di bawah akta dadah berbahaya”.(Pak Man geram betul kalau orang yang cakap tu sikit-sikit bagi contoh Amerika.) Pak Man rasa budak ni ada sikit rasa besar kepala dan malas belajar semasa di sekolah, sebab tu lah tak berjaya dalam pelajaran. Andaian saja!

Balik rumah Pak Man buka kamus, cari makna ‘half-baked idea ’ ; maknanya idea yang tidak dirancang dengan betul(has not been properly planned). Orang tadi tu faham ke dengan apa yang dia cakapkan? Ke dia saja nak tunjuk ‘eks’ dengan orang yang pakai baju pagoda ni. Cakap, terus bagi contoh Amerika, macamlah Amerika tu bagus sangat. Bagi Pak Man ‘half-baked’ tu kira ok juga lah, jangan ‘half-naked’ sudah lah.

5 comments:

Anonymous said...

Cikgu Man,
Tak tahulah ana nak kata setuju ke tak. Ana kurang pengalaman mengajar. Masih perlu diberi tunjuk ajar. Tapi situasi anak murid dah belajar benda yang kita nak ajar tu selalu ana alami. Mula-mula rasa tensen juga. Tapi lama-lama dah rasa biasa. Selalunya ana buat muka sardin je. Dan alasan yang ana selalu bagi - ala..ni cikgu pulak yang ajar. tak berdosa kan? (Ayat power tu! hehe)

Apa yang jadi masalahnya, mak ayah akan banding-bandingkan anak diorang ngan anak-anak jiran atau anak sedara yang dah pandai membaca yang datang dari tadika atau pra sekolah lain.

Harap-harapnya anak-anak ana pandai bawa diri dan tekun belajar masa Tahun Satu nanti.

Tepi Sungai Batu said...

catz,
Ada ayat power, itu satu strategi membela diri.Lama-lama cikgu akan ada cara tersendiri mengatasinya.Pengalaman mendewasakan kita.

Anonymous said...

Cikgu Man,
betul tu pengalaman akan mendewasakan kita. Sila beri tunjuk ajar..

Anonymous said...

Salam uncle oman;

Yun tertarik dengan "half-baked" tu.Baru-baru nih ade candidate untuk prog. internship company, the best thing is dia gunakan istilah "half-baked trees" yang merujuk kepada pokok-pokok yang bermasalah.

Moralnya,pastikan istilah yang kita guna tu tepat, janganlah sebab nak bagi nampak "bombastic" kita meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya..apa pun, belajarlah melalui kesilapan, tapi kalau boleh elakkan kesilapan tu elakkan lah =)lagi bagus

Terima kasih untuk definisi istilah tersebut yea uncle oman =)

Tepi Sungai Batu said...

Nurul,
Tq kerana bagi respon.
Semoga Nurul mendapat sesuatu dari blog Uncle Oman ni...tak lah baca cerita kosong jeer.
Beritahu ayah, harga getah dah jatuh...RM 2.50 sekilo.