Friday, December 2, 2011

Penyu Rayu Lanjutan.

SELEPAS terdesak mendapatkan khidmat pemain import berkualiti untuk diserap dalam skuad Liga M musim depan, juara Piala FA musim ini, Terengganu menagih simpati dan meminta jasa baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melanjutkan tempoh pendaftaran yang berakhir 8 Disember ini.


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, jika FAM terus tidak berganjak daripada keputusannya, Terengganu mungkin tidak menggunakan khidmat awang import musim depan kerana masa untuk mendaftar hanya tinggal tujuh hari.

Menurutnya, walaupun hingga kini sudah 10 pemain import termasuk dari Brazil, Nigeria, Zambia dan England datang mencuba nasib bersama Terengganu, mereka gagal memenuhi kriteria ditetapkan PBSNT.

“Hingga kini, 10 pemain yang beraksi di posisi tengah dan serangan gagal menambat hati panel pemilihan dan semua pemain akan dihantar pulang sementara menunggu beberapa lagi pemain yang bakal tiba hujung minggu ini dan minggu depan.

“Dengan tempoh yang begitu singkat, saya percaya PBSNT sukar memilih pemain berkualiti untuk diserapkan dalam pasukan. kerana pemain yang ada tidak memenuhi kriteria yang kita tetapkan.

“Justeru, PBSNT meminta FAM melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import bagi memberi peluang kepada semua persatuan termasuk PBSNT memilih pemain berkualiti untuk beraksi dalam pasukan masing-masing musim depan.

“Masa yang mencukupi untuk memilih pemain import amat diperlukan bagi mengelak daripada memilih pemain kurang berkualiti dan boleh merugikan persatuan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Padang Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu sebaik selesai perlawanan persahabatan dengan T-Team yang berkesudahan Terengganu tewas 0-1, petang semalam.

Menurut Che Mat, Terengganu yang juga bakal beraksi dalam pentas Piala AFC tahun depan selepas muncul juara Piala FA musim ini akan mendapatkan dua pemain import terbaik untuk memperkuatkan bahagian tengah dan serangan untuk digandingkan dengan pemain sedia ada.

Pandangan Che Mat juga turut disokong jurulatih T-Team, Yunus Alif yang turut menyifatkan tempoh pendaftaran itu terlalu singkat dan meminta FAM melanjutkan tempoh memandangkan saingan Liga M bakal bermula 10 Januari depan.

“Hingga kini T-Team hanya mempunyai seorang pemain import dari Zambia iaitu Zacharia Simokonda dan dengan masa yang semakin suntuk amat sukar buat kami untuk memilih pemain berkualiti dan meminta FAM melanjutkan tempoh pendaftaran,” katanya.

Harian Metro.

2 comments:

Cikli said...

orang suruh letak jawatan tak nak.

Tepi Sungai Batu said...

Cikli,
yo lah.......dia ni memang BETAP....