Saturday, March 23, 2013

Kerajaan Kelantan tak halang PPR

Kerajaan Negeri Kelantan tidak halang PPR
Wartawan Sinar Harian
21 Mac 2013
KOTA BHARU - Kerajaan negeri menyangkal dakwaan kononnya menghalang pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wakaf Mek Zainab sebagaimana anggapan Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan sehingga kini Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menerima apa-apa permohonan untuk diproses.

Takiyuddin berkata, sepatutnya sebelum sebarang pembangunan dibuat, pemaju atau kontraktor perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM) kepada pihak berkuasa tempatan untuk dinilai .

“Jadi setakat ini tidak ada apa-apa KM dipohon. Apa yang patut ada dalam KM ini ialah mengenai projek yang hendak dibuat itu seperti jumlah unitnya, kemudahan-kemudahan yang disediakan dan sebagainya.

“Oleh itu saya ingin menyangkal tuduhan bahawa kerajaan negeri menghalang projek ini. Tidak timbul soal halang kerana tidak pernah buat permohonan. Kalau nak kata kita menghalang adalah sama ada tolak atau tidak luluskannya,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di sini, semalam.

Takiyuddin berkata, permohonan tersebut perlu dibuat di bawah Akta Perancang Bandar dan Desa atau Akta 172, tetapi akta ini di bawah kerajaan pusat kerana kerajaan negeri ini tidak ada akta terbabit.

“Bagi memenuhi keperluan akta itu, yang disebut sebagai pihak berkuasa perancang dalam MPKB ini ialah MPKB-BRI.  Jadi kita minta supaya pemaju perumahan tersebut mengemukakan permohonan barulah supaya kita boleh teliti, dan barulah kita boleh menentukan sama ada projek ini boleh diluluskan atau tidak,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang projek dari mana-mana pihak untuk kebaikan rakyat bagaimanapun pemaju perlu memenuhi syarat-syaratnya sebelum kelulusannya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Mohd Fatmi yang menganggap kerajaan negeri sepatutnya menyokong perancangan pembinaan PPR dan bukannya bertindak menghalang atau menyusahkan dalam merealisasikan pembinaannya.

Majlis pecah tanah projek 1,000 unit rumah itu disempurnakan Perdana Menteri, Jumaat lalu.

1 comment:

Cikli said...

Perlukah jadi bodoh jika sokong umno?