Thursday, February 21, 2013

Biasanya mana-mana Presiden Persatuan Bola Sepak yang kritik FAM akan digantung.

Tunku Ismail minta FAM bertindak

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, (PBNJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan segera terhadap mutu pengadilan yang dikatakan lemah, bukan sahaja pada perlawanan membabit- kan Johor Darul Takzim (Johor DT) tetapi juga dalam semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M).
Tunku Ismail dalam sidang medianya kelmarin memberitahu, tindakan beberapa pengadil yang dianggap 'menutup mata' terhadap kekasaran atau kesalahan pemain, jelas menunjukkan tiadanya 'standard' dalam mutu pengadilan.
Malah, Tunku Ismail juga mempersoalkan FAM dan mana-mana pihak yang gagal mengambil tindakan terhadap perkara ini.
"Saya hanya nak persoalkan apakah tindakan yang dibuat FAM terhadap pengadil, sebab mereka ini tiada standard sama ada mereka tidak layak atau sebaliknya?" katanya.
Menurut baginda lagi, PBNJ sudah mengambil semua rakaman video dan akan menyerahkannya kepada pihak tertentu untuk menjalankan siasatan.
Baginda menyatakan kekecewaannya dengan mutu pengadilan tempatan yang dianggap tidak adil dan ia jelas dapat dilihat dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia setakat ini.
"Perkara ini sudah berlaku sejak dari awal musim liga dan kita telah mengharungi tujuh perlawanan, namun perkara sama tetap berulang. Di mana mutu pengadilan sebenar?
"Perkara ini sangat mendukacitakan buat penyokong setia, penaja, para pemain dan saya sendiri sebagai Presiden PBNJ," katanya.
Sementara itu, Tunku Ismail menjelaskan yang baginda sanggup menerima segala kecaman dan hukuman FAM sekiranya apa yang dinyatakannya salah.
"Sekiranya apa yang saya cakap salah, hukum saya, sekurang-kurangnya saya sudah luahkan apa yang selama ini menjadi permasalahan besar.
"Apa yang saya buat ini adalah untuk memastikan mutu pengadilan kita diyakini semua dan saya perjuangkan yang benar, kita sudah bekerja keras, menang atau kalah itu lain cerita.
"Sekarang ini kita jadi mangsa dan ia sesuatu yang sangat mengecewakan sebab kita sudah berusaha untuk meningkatkan mutu bola sepak tetapi tiada orang peduli," katanya.
Baginda mengambil contoh dalam beberapa perlawanan terdahulu, terutamanya perlawanan membabitkan ATM menentang Selangor yang mencetuskan kontroversi, namun sehingga kini masih tiada tindakan.
"Saya tidak menuduh sesiapa, cuma siasatan perlu dijalankan. Saya hanya kesal dengan prestasi pengadil dan saya harap perkara sebegini tidak akan didiamkan begitu sahaja," jelasnya.

No comments: