PETRONAS beli dua  blok minyak Brazil RM2.6b
Syarikat kuasai 40 peratus ekuiti dalam 2 lapangan di Campos Basin

PETRONAS terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara syarikat minyak dan gas terkemuka dunia apabila membeli dua blok minyak di Brazil membabitkan pelaburan AS$850 juta (RM2.6 bilion).

Pembelian berkenaan juga menandakan penyertaan sulung syarikat minyak dan gas kebangsaan itu dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak di negara yang memiliki antara rizab hidrokarbon terbesar di dunia itu.
PETRONAS, menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Brasil E&P Limitada semalam mengumumkan membeli 40 peratus kepentingan dalam dua blok lapangan minyak luar pesisir di Campos Basin, yang dikenali sebagai Blok BM-C-39 dan BM-C-40.



Paling prolifik

Ia dibelinya daripada OGX Petroleo e Gas SA's (OGX), iaitu syarikat pengeluar minyak persendirian yang dikuasai jutawan Brazil, Eike Batista.

Dua blok berkenaan yang terletak kira-kira 95 kilometer di luar pantai Rio de Janeirodi adalah antara medan pengeluaran utama dalam lapangan pembangunan minyak Tubarao Martelo, iaitu kawasan pengeluaran minyak paling prolifik di Brazil.
Tubarao Martelo yang bermakna Jerung Tukul atau Hammerhead shark dalam bahasa Portugis, iaitu jenis jerung yang dikategorikan sebagai paling bahaya kepada manusia, dijangka mula mengeluarkan minyak mentah menjelang akhir tahun ini.

“Brazil dianggap sebagai antara pemilik rizab hidrokarbon utama dunia dengan rizab minyak
berjumlah kira-kira 145 bilion tong.

“PETRONAS melihat pengambilalihan itu sebagai satu peluang yang sangat menarik dari segi kualiti aset dan untuk pertumbuhan masa depan strategik di Brazil,” kata syarikat minyak dan kebangsaan itu dalam kenyataannya.

Katanya, urus niaga pengambilalihan pegangan ekuiti OGX itu bakal dimuktamadkan sebaik memperoleh kelulusan agensi kawal selia berkaitan.


Pertumbuhan strategik

Bank of America Merill Lynch dilantik sebagai penasihat kewangan eksklusif manakala Mattos Filho, Viega Filho, Marrey Jr. e Quiroga Advogados ialah penasihat undang-undang PETRONAS bagi urus niaga itu.

Pembelian ekuiti OGX dalam dua blok minyak itu juga adalah janji niaga terbesar kedua yang dibuat syarikat minyak dan gas kebangsaan itu dalam tempoh dua tahun ini.

Tahun lalu, PETRONAS mengumumkan pengambilalihan Progress Energy Resources Corp dari Kanada dengan nilai RM15.8 bilion.

Pengambilalihan itu, selain akan menyediakan PETRONAS dengan sumber gas strategik jangka panjang di kawasan stabil dari segi geopolitik, turut mengukuhkan kedudukan PETRONAS sebagai peserta LNG global utama.

PETRONAS memulakan aktiviti pengambilalihan aset tenaga di luar negara seawal 1990-an, kebanyakannya membabitkan negara membangun.

Sehingga kini, ia telah mengumpulkan kepentingan hidrokarbon di lebih daripada 22 buah negara merangkumi Asia Tenggara, Asia Barat, Asia Tengah, Amerika Latin dan Afrika, yang menghasilkan jumlah kira-kira satu perempat daripada keseluruhan rizab gas minyaknya.