Thursday, May 2, 2013

Petronas umum kejayaan penggerudian di medan minyak terbesar Malaysia.

Petronas umum kejayaan penggerudian di medan minyak terbesar Malaysia

2 Mei 2013
Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
 
KUALA LUMPUR - Syarikat minyak nasional, Petronas, hari ini mengumumkan kejayaan penggerudian telaga nilaian Cendor Graben-2 dalam Blok PM304, di luar pantai Semenanjung Malaysia.

Dalam satu kenyataan di sini, Petronas berkata telaga itu digerudi hingga kedalaman lebih 1,000 meter dan mengesahkan kewujudan reservoir yang mengeluarkan minyak  dan gas.

Penggerudian itu dilaksanakan oleh Petrofac (Malaysia PM304) Ltd, pengusaha Blok PM304, bersama dengan rakan kongsi usaha sama, Petronas Carigali Sdn Bhd, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company dan PetroVietnam Exploration Production Corporation Ltd.

Medan Cendor ditemui oleh Amerada Hess pada 2001.     Bagaimanapun, penemuan itu pada mulanya dianggap kecil dengan anggaran sumber yang boleh diperoleh sebanyak 12 juta tong (MMstb) minyak, dan dengan demikian dianggap terlalu berisiko dan tidak ekonomik bagi pembangunan, katanya.

Pada Mei 2004, Petrofac memberi kepentingan Amerada Hess dan mengambil alih hak pengendalian Blok PM304.

Berlandaskan strategi Petronas untuk meningkatkan sumber, pengeluaran dan nilai, satu penilaian agresif dan kempen pembangunan telah dilaksanakan, dan berikutan itu,  langkah-langkah untuk meraih hasil kewangan daripada medan yang dianggap kecil ini, diambil.

Petronas berkata usaha-usaha yang dijalankan telah berjaya mengubah Cendor daripada sebuah medan yang dianggap kecil kepada medan minyak terbesar di Malaysia.  

Cendor telah dibangunkan dengan menggunakan Unit Pengeluaran Operasi Mudah Alih (MOPU) yang disewa dan minyak pertama telah dihasilkan pada September 2006.

Ini juga merupakan penggunaan pertama MOPU di Malaysia dan dianggap penyelesaian pembangunan baharu ketika itu.

Sejak pengeluaran minyak pertama itu, medan Cendor mencapai prestasi melebihi jangkaan, dan ini telah mendorong kegiatan-kegiatan selanjutnya di medan itu dan di kawasan-kawasan sekitar Blok PM304.

Ini membawa kepada pembangunan Cendor Fasa 2 dan pembangunan-pembangunan baharu lain di PM304, yang meningkatkan anggaran sumber boleh diperoleh kepada lebih 200 MMstb, yang merupakan peningkatan lebih 16 kali daripada semasa ia mula-mula ditemui, kata Petronas.

Pembangunan-pembangunan lain di PM304, melalui usaha agresif dalam dua tahun kebelakangan ini, dijangka memulakan pengeluaran secara berperingkat di sepanjang  2013 yang akan memacu pengeluaran ke arah mencapai kira-kira 30,000 tong sehari menjelang akhir tahun.

Peningkatan sumber juga dijangkakan di medan-medan minyak dan gas lain di Malaysia, seperti Berantai RSC dan Balai RSC.

Medan Berantai yang memulakan pengeluaran pada 2012, mencapai peningkatan anggaran gas boleh diperoleh sebanyak 15 peratus berbanding 2011, hasil daripada usaha-usaha pembangunan.

Kerja-kerja pra-pembangunan di Kluster Balai juga menunjukkan tanda-tanda  awal tentang peningkatan anggaran sumber.

Sebagai pemilik projek, Petronas berkata ia akan menerima kelayakan 100 peratus bagi pengeluaran daripada Berantai dan Balai RSC.

Sebagai pemegang amanah sumber-sumber petroleum Malaysia, Petronas akan terus mengusahakan pertumbuhan sumber dan menambah nilai kepadanya.

Kejayaan Cendor, Berantai dan Kluster Balai, antara banyak yang lain, adalah hasil daripada usaha bersama, tegas Petronas. - Bernama

No comments: