Bila melalui Jalan Mahmood, di Kota Bharu, Pak Man akan teringatkan masa Pak Man sedang menganggur dulu. Tahun 1985 dan 1986. Kami akan berkumpul di rumah kayu depan klinik gigi kepunyaan keluarga Zaha. Dulu tepi jalan ini ada sederet kedai ,bukan kedai macam yang ada sekarang ni, kedai dulu diperbuat dari papan dan atap zink. Tokey kedai semua kami kenal, Moktar tukang jahit, Mat Roji kedai kopi, Kak Wook nasi lemak dan hujung sekali kedai cina buat papan tanda. Pokok besar di belakang 'bus stop' itu lah tapak rumah atau markaz kami semua. Di depannya klinik gigi. 'Bus stop' itu memang ada di situ dari dulu lagi.
Kami bukan lepak-lepak kosong, setiap hari ada saja perbincangan(brain storming) tentang macammana nak memajukan diri. Biasanya Zaha akan muncul dengan berbagai-bagai usul berkaitan perniagaan.
Salah satu dari idea nya ialah jual goreng pisang. Zaha ada kenal seorang bekas tukang masak MAS, orang ni ada kilang buat tepung untuk goreng pisang. Kalau kita nak berniaga dengan menggunakan tepung dia, kita kena ikut syarat-syarat nya. (Sistem francais lah ni, tapi dulu istilah francais ni tak popular lagi). Kami kena guna gerai khas yang direka olehnya. Sewa lah. Operasi ikut cara dia. Tak boleh sesuka hati. Pembungkus mesti buat seperti yang diajarnya.(bag kertas macam MC D punya). Zaha yang pergi belajar semua tu dan kami belajar dari Zaha.
Dipendekkan cerita, maka bermula lah perniagaan kami, pagi sebelum buka gerai kami akan tentukan siapa yang nak berniaga hari tu, keluar duit modal seorang RM 10. Pergi pasar beli pisang, kertas minyak, gam, minyak masak.
Buat persiapan, buat beg kertas, potong kertas, lipat, gam kan. Perniagaan berjalan lancar hari demi hari. Setiap hari orang berniaga berbeza-beza, hari ni Zaha dan Baseed, esok, Rozmin dan Lokman, lusa Pak Man dan Nawi, begitu lah seterusnya.
Untung bagi sama banyak, tolak duit modal, makan tengah hari dan minum petang, dapat lah RM10 seorang. Cukuplah untuk kami meneruskan hidup tanpa minta duit mak bapa.
Dipendekkan cerita seorang demi seorang meninggalkan negeri Kelantan kerana dapat kerja yang lebih bagus. Lama-lama perniagaan itu berkubur.
1 comment:
Man baguslah. Masukkanlah cerita-cerita lama kat ITM dulu-dulu. Masa lepas grade ITM. Kemana hala tuju bawa diri. Kawe nok dengar sangat ni.
Post a Comment