Monday, October 6, 2008

Ayah Dan Ibu


Pak Man rasa bersyukur kerana masih ada ayah dan ibu. Kedua-dua mereka sudah berumur 70 tahun lebih. Kalau nak dibandingkan dengan orang lain, Pak Man rasa Pak Man sudah cukup bertuah dilahirkan kedunia ini sebagai anak mereka.


Ada setengah orang sudah tiada kedua-duanya. Tiada lagi tangan untuk dicium dipagi raya.


Ada setengah orang sudah tiada salah seorang daripada mereka, yang ada itu jagalah baik-baik sebelum kedua-duanya menjadi tiada.


Ada setengah orang masih ada keduanya, tapi dibiarkan mereka hidup berdua sahaja. Mungkin malu nak balik ke rumah buruk(tempat kita dilahir dan dibesarkan), atau mungkin saja tak nak balik(mungkin sibuk mengumpul harta yang akan kita tinggalkan suatu hari nanti). Tak ada perasaan apa-apa terhadap mereka.


Ada setengah orang tak pernah kenal dengan kedua-duanya semenjak dilahirkan. Tak tahu sama ada masih hidup atau sudah tiada. Dibesarkan di rumah anak-anak yatim.



Ada setengah orang masih ada keduanya, dijaga dengan cukup kasih sayang. Beri mereka kebahagiaan dan jaga hati mereka. Sebagaimana mereka berdua menjaga kita dahulu.

Ada setengah orang tergamak menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Menghabiskan sisa-sisa hidup mereka tanpa kasih sayang anak dan cucu.

Ada setengah orang tak pernah menatap wajah kedua mereka kerana mereka telah tiada semasa orang itu bayi lagi.

Tidak kiralah sama ada kita masih mempunyai kedua-duanya, atau hanya ada seorang saja, cubalah sebaik mungkin membalas jasa-jasa mereka. Mengikut pengalaman orang-orang yang sudah tidak mempunyai kedua-duanya, mereka rasa amat menyesal kerana tidak lagi dapat menjaga dan memberi kasih sayang kepada keduanya. Bila sudah pergi, mereka tidak akan kembali lagi. Peluang tidak akan datang untuk kali kedua. Menangislah air mata darah sekalipun.

Renungkan lah, kita berada dalam kumpulan yang mana. Masih ada masa untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sebenarnya ini adalah ingatan Pak Man untuk diri sendiri dan anak-anak Pak Man.

Salam manis.

2 comments:

Udin said...

Ayah dan ibu, jasamu tak terbalas.
Moga2 tiada kesalahan kita yang tidak diampunkan mereka.

Moga Mok & Chek sentiasa sihat selalu

Tepi Sungai Batu said...

Insyaallah!