Kontroversi Mat Yo, KAFA berterusan
PENYERANG Johor Darul Takzim (Johor DT), Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo perlu melunaskan bayaran tidak kurang daripada RM1 juta bagi menyelesaikan segala episod kontroversi antara dia dan bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, jumlah tersebut adalah cukup relevan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk bayaran penamatan kontrak, yuran perpindahan dan pinjaman serta pelbagai insentif yang diberikan oleh persatuan itu.
Menurutnya, Norshahrul menamatkan kontraknya bersama Kelantan pada 1 November lalu, 13 bulan lebih awal sebelum kontrak sebenarnya tamat dan penamatan kontrak sebelah pihak seharusnya tidak menimbulkan sebarang kontroversi sekiranya kesemua peraturan dituruti.
"Apa yang kita politikkan mengenai isu ini? Saya bukan dua hari jaga bola. Pemain kita berpindah, ada bayaran perpindahan, bila pemain menamatkan kontrak lebih awal, ada pampasan, bila pemain berpindah sebelum dia main dengan pasukan lain, dia kena dapatkan sijil perpindahan. Satu dunia tahu peraturan itu.
"Dalam kes Norshahrul, terdapat dua isu iaitu mengenai perpindahan dan penamatan kontrak. Kita telah rujuk dan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan dia boleh pindah kerana kita tak bantah tapi kita akan pertahankan hak- hak kita termasuk mengenai jumlah bayaran perpindahan dan sebagainya," katanya ketika ditemui semalam.
Annuar sebelum itu menghadiri majlis penyampaian bonus dan hadiah kemenangan kepada para pemain Kelantan yang berjaya menjulang Piala Malaysia dan kejuaraan trebel musim lalu di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pertanian Kemubu (KADA) di Kota Bharu.
Beliau menambah, apa yang berlaku tidak begitu rumit kerana sebelum ini sudah terdapat kes yang hampir sama dan berjaya diselesaikan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan tuntutan kelab Al-Ahly (Mesir) dan FC Sion dari Switzerland.
Katanya, penamatan kontrak 13 bulan lebih awal melibatkan nilai lebih RM300,000 manakala yuran perpindahan seperti yang ditetapkan oleh FAM adalah RM250,000.
"Pinjaman mudah yang diberikan KAFA, insentif serta kerugian ekoran penarikan penajaan juga perlu diambil kira.
"Apakah bayaran RM250,000 yang mahu diberikan oleh Norshahrul kononnya sebagai yuran perpindahan seperti yang diumumkan oleh pihak-pihak tertentu itu sudah memadai?
"Sudah tentu ia sama sekali tidak betul dan jika rujukan FIFA diambil kira, kos tersebut juga melibatkan kontrak lama dan kontrak baharu pemain tersebut dengan pasukan baharu.
"Secara nyatanya, Nor- shahrul adalah satu-satunya pemain yang berjaya merangkul anugerah pemain paling bernilai selama tiga tahun berturut-turut, merupakan seorang penyerang kebangsaan dan masih memiliki kontrak bersama pasukan lamanya, sudah tentu nilai RM250,000 yang ingin dibayar itu adalah tidak masuk akal," ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, KAFA ada menerima bank draf daripada peguam Norshahrul Idlan berjumlah RM250,000, namun masih sangsi tujuan pembayaran tersebut kerana tidak dinyatakan jenis pembayaran berkenaan.
"Kita masih menunggu penjelasan mengenai bayaran tersebut. Mungkin juga mereka menganggap ia merupakan bayaran perpindahan seperti yang mereka faham menurut peraturan Artikel 39.2, saya kurang pasti.
"Pada pemahaman saya juga, setiap pemain yang berpindah perlu mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) jika mahu beraksi dengan pasukan baharu dan dalam kes Norshahrul tidak ada pihak yang datang kepada kita untuk mendapatkan sijil tersebut.
"Mungkin FAM boleh memberikan sijil sementara tetapi akhirnya kita juga yang akan mengeluarkan sijil tersebut," jelasnya.
2 comments:
mat yo kata ptptn tak payah bayar, jadi buat apa bayar hak ni..he..he..
Hutang beli rumah......tak kan tak nak bayar. Sengkek sungguh.
Post a Comment