Kay Kim: Saya juga layak kritik sukan negara
11 Januari 2013
TIDAK menjadi satu kesalahan jika ahli sejarah memberi pendapat mengenai sukan kerana semua yang berlaku dalam hidup berkait rapat dengan sejarah termasuk mengenai bola sepak negara, kata
pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Kay Kim berkata, jika ada pihak yang menyifatkan beliau tidak layak untuk memberi komen mengenai sukan bola sepak di negara ini, ia bermakna mereka juga tidak tahu sejarah.
"Mereka tidak tahu latar belakang saya. Sekiranya tidak tahu, mereka tidak sepatutnya membuat komen. Kalau hendak berbincang tentang bola sepak di televisyen, saya sanggup hadir bertemu dengan mereka.
"Jika mereka tidak pernah hidup pada zaman dahulu, mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku ketika itu," katanya ketika ditemubual menerusi program Dalam Radar terbitan Bernama Radio24, semalam.
Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal dikatakan 'mengajar' media supaya soalan berkaitan pembangunan bola sepak hanya perlu diajukan kepada mereka yang bertauliah dan benar-benar mempunyai kredibiliti.
Kay Kim, seorang sejawaran negara, turut kecewa kerana masyarakat sekarang dilihat tidak faham dan tidak memberi perhatian kepada sejarah yang meliputi semua aspek dan bukan tertumpu kepada perkara berkaitan dengan politik dan peperangan.
Beliau berkata, sekiranya ahli sukan tidak boleh menerima teguran, maka mereka perlu sentiasa menunjukkan prestasi yang baik.
"Jika tidak suka kena tegur, menanglah selalu... itulah yang kami lakukan dahulu. Ketika zaman dahulu, semua yang menjadi wira ialah ahli sukan bukannya yang mendapat 24 'A' dalam peperiksaan," katanya.
Penganalisis bola sepak, Reduan Abdullah pula berpendapat sejarah adalah panduan utama bagi mengukur prestasi skuad profesional bola sepak negara untuk terus berada pada tahap yang konsisten dalam setiap perlawanan.
"Sejarah dan pembangunan bola sepak negara berkait rapat, pendapat orang lama penting kerana mereka ada pada zaman kegemilangan bola sepak negara pada era 70-an. Kalau tidak berpandukan kepada sejarah macam mana kita mahu tentukan hala tuju pembangunan bola sepak negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Malaysia mempunyai pemain bola sepak bertaraf profesional namun dari segi aspek pengurusan pasukan masih di tahap amatur.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata, usaha ke arah pembangunan bola sepak masa kini perlu lebih realistik dengan pengendalian organisasi yang lebih profesional.
"Sejarah penting untuk kita lihat apa yang pernah kita capai iaitu panduan untuk masa depan sesuatu sukan. Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada sejarah semata-mata dan berpuas hati dengan pencapaian terdahulu kerana kejayaan itu telah pun berlalu. Ada sesuatu perkara yang tidak lagi relevan untuk digunakan masa kini.
"Dalam soal bola sepak, kita perlu terima hakikat bahawa skuad kebangsaan perlukan banyak perubahan. Saya percaya setiap organisasi yang bertanggungjawab sentiasa memikirkan soal pembangunan bola sepak negara," katanya. - Bernama
#dipetik dari Sinar Harian.
No comments:
Post a Comment