Kontroversi Mat Yo, KAFA berterusan
Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my
ANNUAR tetap mempertahankan pendirian mengenai jumlah yang perlu dibayar oleh Norshahrul kepada KAFA.
PENYERANG Johor Darul Takzim (Johor DT), Norshahrul Idlan Talaha atau
Mat Yo perlu melunaskan bayaran tidak kurang daripada RM1 juta bagi
menyelesaikan segala episod kontroversi antara dia dan bekas majikannya,
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, jumlah tersebut
adalah cukup relevan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk
bayaran penamatan kontrak, yuran perpindahan dan pinjaman serta pelbagai
insentif yang diberikan oleh persatuan itu.
Menurutnya, Norshahrul menamatkan kontraknya bersama Kelantan pada 1
November lalu, 13 bulan lebih awal sebelum kontrak sebenarnya tamat dan
penamatan kontrak sebelah pihak seharusnya tidak menimbulkan sebarang
kontroversi sekiranya kesemua peraturan dituruti.
"Apa yang kita politikkan mengenai isu ini? Saya bukan dua hari jaga
bola. Pemain kita berpindah, ada bayaran perpindahan, bila pemain
menamatkan kontrak lebih awal, ada pampasan, bila pemain berpindah
sebelum dia main dengan pasukan lain, dia kena dapatkan sijil
perpindahan. Satu dunia tahu peraturan itu.
"Dalam kes Norshahrul, terdapat dua isu iaitu mengenai perpindahan
dan penamatan kontrak. Kita telah rujuk dan Jawatankuasa Status
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan dia boleh
pindah kerana kita tak bantah tapi kita akan pertahankan hak- hak kita
termasuk mengenai jumlah bayaran perpindahan dan sebagainya," katanya
ketika ditemui semalam.
Annuar sebelum itu menghadiri majlis penyampaian bonus dan hadiah
kemenangan kepada para pemain Kelantan yang berjaya menjulang Piala
Malaysia dan kejuaraan trebel musim lalu di ibu pejabat Lembaga
Pembangunan Pertanian Kemubu (KADA) di Kota Bharu.
Beliau menambah, apa yang berlaku tidak begitu rumit kerana sebelum
ini sudah terdapat kes yang hampir sama dan berjaya diselesaikan oleh
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan tuntutan kelab
Al-Ahly (Mesir) dan FC Sion dari Switzerland.
Katanya, penamatan kontrak 13 bulan lebih awal melibatkan nilai lebih
RM300,000 manakala yuran perpindahan seperti yang ditetapkan oleh FAM
adalah RM250,000.
"Pinjaman mudah yang diberikan KAFA, insentif serta kerugian ekoran penarikan penajaan juga perlu diambil kira.
"Apakah bayaran RM250,000 yang mahu diberikan oleh Norshahrul
kononnya sebagai yuran perpindahan seperti yang diumumkan oleh
pihak-pihak tertentu itu sudah memadai?
"Sudah tentu ia sama sekali tidak betul dan jika rujukan FIFA diambil
kira, kos tersebut juga melibatkan kontrak lama dan kontrak baharu
pemain tersebut dengan pasukan baharu.
"Secara nyatanya, Nor- shahrul adalah satu-satunya pemain yang
berjaya merangkul anugerah pemain paling bernilai selama tiga tahun
berturut-turut, merupakan seorang penyerang kebangsaan dan masih
memiliki kontrak bersama pasukan lamanya, sudah tentu nilai RM250,000
yang ingin dibayar itu adalah tidak masuk akal," ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, KAFA ada menerima bank draf
daripada peguam Norshahrul Idlan berjumlah RM250,000, namun masih sangsi
tujuan pembayaran tersebut kerana tidak dinyatakan jenis pembayaran
berkenaan.
"Kita masih menunggu penjelasan mengenai bayaran tersebut. Mungkin
juga mereka menganggap ia merupakan bayaran perpindahan seperti yang
mereka faham menurut peraturan Artikel 39.2, saya kurang pasti.
"Pada pemahaman saya juga, setiap pemain yang berpindah perlu
mendapatkan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) jika mahu beraksi dengan
pasukan baharu dan dalam kes Norshahrul tidak ada pihak yang datang
kepada kita untuk mendapatkan sijil tersebut.
"Mungkin FAM boleh memberikan sijil sementara tetapi akhirnya kita juga yang akan mengeluarkan sijil tersebut," jelasnya.