RENCANA UTAMA
Hanya ada di Gua Musang
Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad@kosmo.com.my
Durian kunyit yang isinya kuning keemasan mampu mencecah harga hingga RM28 sekilogram.
--------------------------------------------------------------------------------
PERTAMA
kali melawat ke sebuah dusun durian kunyit di Gua Musang, Kelantan,
timbul tanda tanya apa istimewanya dusun tersebut berbanding dusun-dusun
durian lain di seluruh negara.
Bersama jurugambar, HAFIZ JOHARI,
kami menyusuri jalan raya sejauh lebih 200 kilometer dari Kota Bharu
menerusi Kuala Krai ke pekan Gua Musang.
Sehari sebelumnya, penulis telah membuat temu janji dengan pemilik dusun tersebut, Tina Chong, 40.
Pada
hari yang dijanjikan kami diundang ke kediamannya sebelum dibawa ke
dusunnya yang terletak di Kampung Pulai, lebih kurang 15 kilometer dari
pekan Gua Musang. Ia mengambil masa hampir 45 minit.
Untuk ke
dusunnya, kami terpaksa meredah kawasan yang dilitupi hutan hujan
Khatulistiwa yang belum terusik kecuali beberapa projek kuari yang
kelihatan rakus menarah bukit.
Perjalanan ke dusun tersebut
sejauh lima kilometer dari jalan utama hanya boleh menggunakan kenderaan
pacuan empat roda. Ini kerana laluannya begitu sukar dan mencabar
apabila terpaksa melalui lereng-lereng bukit, jalan berbatu dan
berlumpur.
Kami mengagumi kebolehan Tina kerana selain
mengusahakan dusun durian, beliau begitu cekap mengendalikan kenderaan
pacuan empat roda.
Detik paling mencabar ialah apabila kami
terpaksa merentasi sebatang sungai yang hanya menggunakan dua batang
kayu selebar tayar kenderaan tersebut yang dijadikan titi.
DURIAN kunyit memerlukan 100 hari untuk masak dan gugur selepas ia mula berputik.
--------------------------------------------------------------------------------
Setelah mengharungi perjalanan yang cukup mencabar, kami bagaikan tergamam dan teruja dengan keindahan dusun tersebut.
Selain
keindahan buah-buah durian yang berjuntaian di dahan pokok, dusun
tersebut begitu bersih dan dijaga rapi tanpa rumput dan lalang.
Tina
yang sangat mesra mula bercerita tentang dusunnya yang berkeluasan 10
hektar itu. Kebanyakannya ditanam dengan durian kunyit.
Selain
itu, dusun tersebut juga mempunyai pokok buah-buahan lain antaranya
durian D24, durian kampung, rambutan, duku dan dokong.
"Saya menggemari buah durian sejak kecil dan pernah memasang impian untuk memiliki kebun durian sendiri suatu masa dulu.
"Pada
mulanya kebun ini dimiliki oleh kakak saya tetapi 10 tahun lalu beliau
menyatakan hasrat untuk menjual dusun tersebut dan saya tidak melepaskan
peluang untuk memilikinya," kata Tina.
Dusunnya itu memiliki
lebih 300 pokok durian kunyit. Buahnya boleh dijual pada harga yang
sangat tinggi iaitu mencecah RM28 sekilogram.
Bersama adiknya
Jenny Chong, 36, dan rakan kongsi mereka, Chong Wan Yoong, 46, hampir 90
peratus daripada hasil kebun itu terutama durian kunyit dieksport ke
luar negara termasuklah Singapura.
Penjagaan yang rumit Jenny
memberitahu, Wan Yoong, bertanggungjawab sepenuhnya dalam aktiviti
penjagaan dusun tersebut. Penjagaan durian kunyit sangat rumit kerana ia
terlalu sensitif terhadap cuaca selain proses pembajaan yang berterusan
diperlukan.
Jelasnya, hujan lebat dan angin kuat boleh
merencatkan proses tumbesaran pokok selain bunga yang terlalu lemah dan
mudah gugur jika ditiup angin kencang.
"Sebab itu, durian ini
bukan tiap-tiap tahun ada, memang susah untuk menjadi. Bila ia berbunga,
masa itu kita kena jaga betul-betul kalau tidak bunganya akan gugur.
"Kadang-kadang
kita tengok bunganya lebat tetapi jika hujan lebat atau angin kencang
semua akan gugur. Proses pembajaan juga diperlukan untuk mengelak
daripada ancaman penyakit," ujarnya musim durian kunyit bermula dari
bulan Jun hingga Ogos.
JENNY CHONG (kiri), Chong Wan Yoong dan Tina mengusahakan dusun durian kunyit di Gua Musang sejak sedekad yang lalu.
--------------------------------------------------------------------------------
Jelas
Tina, durian kunyit memerlukan 100 hari dari tempoh ia mula berputik
untuk masak dan gugur. Buah yang baik boleh mencapai berat sehingga tiga
kilogram sebiji.
Katanya, bermula daripada ia berputik, proses
penjagaan rapi amat diperlukan kerana jika tidak buah akan gugur sebelum
tempoh matangnya.
Seperti kebun-kebun lain, dusun juga tidak terlepas daripada ancaman binatang buas, sementelah ia berada jauh ke dalam hutan.
Jelas
Tina, beliau terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menghalang
binatang buas daripada menceroboh dusunnya dan memakan buah-buah yang
gugur.
"Memang banyak, selalunya gajah, babi hutan dan harimau
yang masuk. Kami biasa gunakan mercun untuk menghalau dan sekarang saya
sedang membina pagar-pagar yang lebih kukuh untuk menghalang haiwan
liar.
"Ketika musim durian kami adakalanya terpaksa tidur di
dalam pondok di dusun untuk menjaga tanaman dan buah-buahan," kata bekas
peragawati sambilan dan pendandan rambut profesional ini.
Bercerita
mengenai keenakan durian kunyit Tina memberitahu, mungkin tidak ramai
yang mengetahuinya kecuali jika disebut Musang King.
Durian tersebut dijual di pasar raya-pasar raya dipek dan dijual mengikut ulas.
SIAPA sangka, Tina sebelum ini merupakan seorang pendandan rambut profesional dan bekas peragawati sambilan.
--------------------------------------------------------------------------------
Kepada
penggemarnya, harga bukan satu masalah tetapi adakalanya mungkin
membuatkan kita terfikir, betulkah dua ulas durian Musang King harganya
sampai RM15?
"Durian ini dikenali sebagai durian kunyit kerana
warna isinya yang kekuningan seakan kunyit selain rasanya yang berbeza
daripada durian biasa serta tekstur isinya.
"Saya difahamkan, Musang King adalah spesies yang sama dengan durian kunyit.
"Kononnya
durian jenis ini hanya ada di Gua Musang manakala King pula merujuk
pada 'gelaran' raja buah-buahan itu," ujar wanita yang masih bujang ini.
Tina
memberitahu, dusunnya mampu mengeluarkan sehingga dua tan durian kunyit
untuk tempoh tiga bulan setiap musim dan mampu memperoleh pendapatan
sehingga RM300,000," ujar Tina.
No comments:
Post a Comment