8 Disember 2017
DURIAN Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit,
mempunyai isi berwarna kuning pekat, durinya bersegi, sementara pangkal
tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.
Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang Mohd
Auzaie Koma rudin berkata ini merupakan antara ciri-ciri utama durian
D197 yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 1993.
Beliau berkata masyarakat Cina tempatan gemar menggelarkan raja buah
itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud raja kucing gunung iaitu
merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip posisi seekor kucing sedang
tidur.
“Panggilan itu terus digunakan secara meluas sehingga perkataan ‘Mao
Shan’ ditukar kepada sebutan Musang dan ‘Wang’ ditukar kepada King
sehingga dikenali sebagai Musang King hingga kini,” katanya mengenai
durian itu yang banyak didapati di sekitar Raub, Pahang.
Beliau berkata untuk itu, pembeli perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli durian Musang King supaya tidak ditipu penjual.
“Musang King yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan lebih lonjong
seperti bola ragbi berbanding baka lain yang berbentuk bulat, selain
mempunyai corak seakan bintang pada bawah buahnya,” katanya kepada
Bernama ketika ditemui di Ladang Bandar Jabatan Pertanian, Serdang dekat
sini hari ini.
Mohd Auzaie berkata isi durian Musang King lebih tebal ditambah rasa
lemak yang sedikit pahit dan bijinya pula kecil berbanding baka lain.
“Musang King cukup diminati penggemar durian sehingga dijual agak mahal
bermula RM50 sekilogram di pasaran atau 30 hingga 40 peratus lebih
mahal daripada jenis durian yang lain. Malah terdapat sesetengah
peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang
King, walhal ia merupakan baka lain,” katanya.
Beliau berkata pembeli perlu memeriksa ciri-ciri durian itu terlebih dahulu sebelum membelinya bagi mengelakkan ditipu.
Bagi mengenali baka anak pokok Musang King pula, beliau berkata pokok
duriannya memiliki daun yang lebih nipis, berbentuk tirus dan sedikit
beralun.
"Anak pokok ini sesuai untuk ditanam di tanah terbuka apabila sudah
mempunyai sekurang-kurangnya lapan helai daun dan kebiasaannya hasil
tanaman boleh mula dinikmati seawal lima tahun setelah ditanam,”
katanya. - Bernama