Pada aksi menentang Ceres Negros di Stadium Panaad Park, Bacolod City itu, Farizal gagal mengawal emosi apabila menolak pengadil perlawanan Fu Ming di penghujung masa tambahan babak kedua.
Insiden itu berlaku sejurus pasukan tuan rumah meraih gol kemenangan menerusi penalti kontroversi yang disempurnakan Fernando Rodriguez pada minit ke-94.
Bagi Serbegeth atau Shebby, kelakuan Farizal tidak ubah seperti samseng bola sepak dan tindakan agresif pemain berkenaan amat mengecewakan.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya benar-benar malu dengan kelakuan Farizal. Itu bukan cara kita rakyat Malaysia bertindak. Dia perlu dihukum di atas kelakuannya itu... anda tidak letak tangan anda pada pengadil.
“Saya pernah lihat pemain dilarang seumur hidup kerana berkelakuan seperti itu. Jadi kelakuan itu tidak patut. Tiada profesionalisme. Ya, kita semua beremosi, kita semua ghairah mengenai permainan. Tetapi berkelakuan seperti itu, saya maksudkan ini adalah kelakuan samseng.
“Saya bercakap berdasarkan hati saya, sebagai anak Johor, saya berharap Farizal tidak bermain untuk JDT lagi kerana dia telah benar-benar memalukan kira-kira 3.6 juta rakyat Johor di Malaysia,” kata Shebby.
Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil pendekatan positif dan memberi sokongan penuh kepada penjaga gol kebangsaan itu.
“Kepada Farizal Marlias, saya bersama anda.
“Kepada penyokong-penyokong setia JDT, pemain JDT sayang sayang anda," katanya.
Pada masa sama, Tunku Ismail turut menasihati penyokong JDT supaya jangan cepat melatah dengan kekalahan tersebut.