Kertas BI UPSR dipecah dua gred mulai 2016
Wartawan Sinar Harian
28 September 2015
PUTRAJAYA - Kertas Bahasa Inggeris (BI) bagi Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) untuk pemahaman dan penilaian dipecahkan menjadi dua gred
berasingan mulai tahun depan, kata Pengarah Lembaga Peperiksaan Datin
Nawal Salleh.
Beliau berkata pada UPSR sebelum ini, ujian pemahaman dan penilaian
bagi subjek BI digabungkan sebagai satu gred sahaja dan hanya kertas
Bahasa Melayu (BM) yang mempunyai dua gred.
"Langkah mengasingkan gred pemahaman dan penilaian bagi kertas BI
dibuat sejajar dengan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris dalam kalangan pelajar," katanya dalam sidang media mengenai
format baharu peperiksaan pusat UPSR 2016 di sini hari ini.
Berikutan pengasingan ujian kertas BI itu, calon UPSR bagi Sekolah
Kebangsaan (SK) akan mendapat enam gred mulai tahun depan berbanding
hanya lima gred sekarang manakala calon Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)
Cina SJK Tamil akan memperoleh lapan gred berbanding tujuh.
Ketika ini, calon UPSR untuk SK diberi lima gred berdasarkan subjek BM
yang dipecahkan kepada pemahaman dan penilaian; BI; Matematik dan Sains
manakala calon SJKC dan SJKT diberi tujuh gred berdasarkan subjek BM
(pemahaman dan penilaian); BI; Matematik; Sains serta dua lagi
masing-masing melibatkan kertas Bahasa Cina dan Tamil.
Nawal berkata bermula tahun depan juga, kertas UPSR bagi subjek BM, BI,
Bahasa Cina dan Bahasa Tamil untuk ujian pemahaman akan mempunyai
soalan dalam bentuk subjektif berbanding hanya objektif ketika ini.
Beliau berkata format ujian pemahaman dalam bentuk subjektif itu antara
lain bertujuan menguji pengetahuan dan kefahaman sistem bahasa pelajar;
menguji kemahiran aplikasi maklumat serta menguji kemahiran kreatif dan
apresiasi bahasa calon.
Pada masa sama, katanya, Lembaga Peperiksaan juga akan mengurangkan
soalan dengan objektif aneka pilihan, sebaliknya menambah bilangan
soalan berbentuk objektif pelbagai bentuk sejajar dengan usaha untuk
membudayakan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Katanya, mana-mana pihak yang ingin melihat dan meneliti format serta
contoh instrumen UPSR mulai 2016 boleh berbuat demikian dengan melayari
laman sesawang www.lp.edu.my mulai hari ini. - Bernama