SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), BIMB Holdings Berhad, Datuk Johan Abdullah sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2016.

Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penyandang jawatan itu, Tan Sri Ismee Ismail menyerahkan tugasnya selaras dengan Pelan Penggantian TH yang telah dirancang sejak Januari tahun lalu.

“Kepimpinan dan visi Tan Sri Ismee telah banyak menyumbang kepada kejayaan TH sehingga memperoleh pengiktirafan dan penghormatan di peringkat antarabangsa.
“Kami berbangga dan berterima kasih dengan kepimpinannya sepanjang tempoh melebihi sepuluh tahun, TH telah berjaya melalui transformasi yang telah meningkatkan prestasi kewangan ke tahap yang membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Johan Abdullah sebelum ini menyertai TH pada 15 Januari 2015 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan.

Beliau berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Morehead State, Amerika Syarikat (AS) selain memegang Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) dari Universiti Eastern Michigan, AS.
Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang Ismee menerajui TH, institusi kewangan itu berjaya mempelbagaikan portfolio pelaburan serta aliran pendapatannya.

“Buat kali pertama, pendapatan TH mencecah lebih RM4 bilion manakala keuntungan selepas zakat dan cukai melebihi RM3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
“Dalam tempoh sepuluh tahun, sejak awal 2006 sehingga 2015, TH mencatatkan keuntungan terkumpul melebihi RM18 bilion. Dalam tempoh yang sama, TH juga telah berjaya menanggung subsidi operasi haji berjumlah RM815 juta dan mengekalkan bayaran haji muassasah sebanyak RM9980 sejak 2009,” katanya.

Selain itu, TH juga telah mencatatkan kejayaan dalam mempelopori pelaburan hartanah ke luar negara termasuk di Tanah Suci, United Kingdom dan Australia.
Dana pendeposit meningkat lebih empat kali ganda dari RM13.3 bilion (awal 2006) kepada RM62.5 bilion pada akhir Disember 2015.

Pertumbuhan dan kecemerlangan TH menyaksikan peningkatan bayaran bonus pendeposit dari RM0.6 bilion pada tahun 2006 kepada RM3.2 bilion pada tahun 2015 (pada kadar purata 6.6 peratus selepas ditolak zakat), adalah jauh lebih tinggi daripada kadar simpanan Perbankan Islam.