• Belalang beras goreng sedap 
  •  Pak Do Kob menunjukkan belalang goreng yang sedia untuk dimakan.
3 / 3
SAWAH padi sememangnya menjana banyak sumber rezeki untuk penduduk kampung tidak kira dengan hasil padi secara langsung atau musim senggang yang mengundang pelbagai unggas dan haiwan yang boleh dijual.

Antaranya, sebelum musim membajak akan menjadi tumpuan siput sedut dan ikan darat. Manakala, ketika musim menuai pula unggas seperti belalang juga akan bertumpu di lokasi tertentu, termasuk di Kampung Serdang Tua, Pak Badol, Bachok.

Menurut kitab Al-Tib Al-Nabawwi (halaman 311), khasiat makan belalang amat baik bagi mengubati beberapa jenis penyakit.

Jika dimasak secara kukus, ia dikatakan dapat mengubati penyakit kencing tidak lawas dan penyakit buasir. Jika dimakan belalang yang belum bersayap dengan dibakar, ia dipercayai mampu menghilangkan bisa racun kala jengking dan bisa binatang lain.

Malah dikatakan, jika diamalkan memakan secara berterusan, serangga ini juga dapat menguruskan badan namun, belalang mudarat bagi mereka yang mengalami sakit kepala dan lumpuh.

Jana pendapatan lumayan

Bagi seorang warga emas, Ismail Mamat, 64, aktiviti mencari belalang yang bermula sebagai hobi ketika musim menuai kini menjadi rutin sejak lebih 30 tahun lalu.

Ismail, yang lebih dikenali sebagai Pak Da Kob berkata, dia sendiri gemar memakan makanan eksotik itu yang enak dimakan bersama nasi seperti lauk lain.
“Belalang biasanya digoreng sebelum dimakan. Spesies yang biasanya ditangkap ialah belalang beras yang mendapat permintaan tinggi.

“Adakalanya, pakcik mampu mendapat hasil sehingga RM800 sebulan. Selain dijual kepada peraih, biasanya ada pelanggan tetap di sekitar kampung yang buat tempahan awal. Pakcik juga pernah jual hampir 15 kilogram belalang kepada seorang penggemar belalang,” katanya yang turut mempunyai pelanggan dari Pasir Puteh.

Cari belalang waktu malam

Pak Do Kob berkata, waktu sesuai menangkap belalang ialah sekitar jam 11 malam dan jika cuaca hujan, dia akan keluar lebih awal kerana lebih banyak belalang diperoleh.

Katanya, kaedah menangkap belalang ini menggunakan alat khas iaitu ‘sauk belalang’ yang dibuat daripada karung guni yang diikat bersama dua batang kayu.

“Harga belalang biasanya RM5 bagi secupak (900 gram). Boleh dikatakan setiap hari ia habis dijual dan pakcik perlu cari belalang hampir setiap malam,” katanya.

Pak Do Kob berkata, belalang yang ditangkap akan dibersihkan dua kali bagi mengelakkan pemakannya berasa gatal dan ia kemudian diperap bersama garam kunyit sebelum digoreng garing bagi membolehkannya tahan lebih lama.

Goreng bersama santan

Manakala, isteri Pak Da Kob, Zariah Yusof, 60, berkata, bagi menambah rasa lemak dan lazat pada belalang, dia menggunakan santan ketika menggoreng makanan eksotik itu.

“Ada juga penggemar belalang yang menggunakan serbuk dan daun kari bagi menambah rasa pedas dan mempelbagaikan kaedah masakan mengikut cita rasa masing-masing.

“Tetapi bagi penghidap resdung, makanan ini tidak sesuai kerana boleh menyebabkan alahan pada kulit,” katanya.