• Kelantan
1 / 1
PENYANDANG juara, Kelantan memastikan slot final Piala Malaysia menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan timbal-balik di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam ini.
Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan oleh Kelantan sudah memadai untuk mereka beraksi di pentas akhir pada 3 Nov ini di Stadium Shah Alam.

Pasukan pantai timur itu yang terkenal dengan jolokan 'The Red Warriors' sebelum ini mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas ATM pada separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lepas.
Pada perlawanan hari ini, penyerang import ATM, Marlon Alex James membuka tirai jaringan pada minit ke-18 apabila beliau memanfaatkan situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan Kelantan.
Kelantan terus ketinggalan apabila Marlon menggandakan jaringan untuk pasukan 'The Gladiators' pada minit ke-35 selepas beliau menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Mohd Affize Faisal Mamat.

Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan mengatur semula jentera serangan dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-82 apabila Ahmad Fakri Saarani melepaskan rembatan kencang, sekaligus menewaskan penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun.
Kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi menjadi wira pasukan kendalian Bojan Hodak selepas menyempurnakan hantaran lintang daripada pemain gantian, Zairol Fitree Ishak pada minit ke-85 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Pahang dan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, esok akan bertemu Kelantan di pentas final.
Untuk rekod, Pahang mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Sarawak pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lepas. - Bernama